AL-KAFI #682: HUKUM SOLAT BAGI MEREKA YANG BEKERJA DI BENGKEL ATAU WORKSHOP

Solat Wudhu Workshop



SOALAN
Assalamualaikum. Apakah hukum solat orang yang bekerja di bengkel/workshop kerana tangan mereka tangan mereka sentiasa dalam keadaan berminyak. Bagaimanakah cara mengambil wuduk yang betul bagi orang yang bekerja di bengkel?


JAWAPAN
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Secara umumnya, bagi mereka yang bekerja di bengkel kebiasaan rutinnya tidak akan terlepas dengan penggunaan minyak hitam atau apa-apa minyak. Perkara ini adalah lumrah kebiasaan bagi mereka yang bergelar mekanik (pembaiki motokar). Oleh itu, golongan seperti ini akan menghadapi kesulitan dalam mengambil wuduk disebabkan anggota wuduk mereka yang terkena minyak tersebut.

Wuduk bermaksud perbuatan tertentu yang dimulai dengan niat atau menggunakan air pada anggota tertentu (muka,dua tangan,kepala,dua kaki) yang dimulai dengan niat. (Rujuk Mausuah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 43/315). Kewajipan untuk menunaikan wuduk ini dapat dilihat dalam firman Allah SWT seperti berikut:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ
Maksudnya : “Wahai orang-orang Yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) Iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.” (Surah al-Maidah : 6)

Menurut al-Maraghi berkaitan ayat di atas bahawa berwuduk untuk setiap kali solat adalah satu keharusan bagi orang yang telah batal wuduknya. Tetapi bagi yang tidak batal wuduk dipandang lebih baik. Ringkasnya, berwuduk hanya diwajibkan kepada orang yang berhadas sedangkan bagi orang yang masih berwuduk disunatkan mengulangi wuduk setiap kali hendak mengerjakan solat. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 3/1497)


Demikian juga hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda :
لاَ يَقْبَلُ اللَّهُ صَلاَةَ أَحَدِكُمْ إِذَا أَحْدَثَ حَتَّى يَتَوَضَّأَ
Maksudnya : “Allah SAW tidak menerima sembahyang seseorang antara kamu jika dia berhadas sehingga dia berwuduk.” [Riwayat al-Bukhari (6954) dan Abu Daud (60)]
Justeru, isu meratakan air wuduk ke atas anggota-anggota wuduk perlu dititikberatkan oleh semua orang Islam kerana tuntutan wuduk tersebut adalah untuk melaksanakan solat yang merupakan sebagai rukun Islam yang lima. Dalam satu hadis Nabi SAW mencela bagi mereka yang lalai dalam meratakan air ke atas anggota wuduk.

Daripada ‘Aisyah R.Anha, Nabi SAW bersabda :
وَيْلٌ لِلأَعْقَابِ مِنَ النَّارِ
Maksudnya : “Kecelakaan bagi tumit-tumit (yang tidak terbasuh) dengan hukuman neraka.”
Riwayat al-Bukhari (165) dan Ibn Majah (451)


Merujuk kepada persoalan di atas, kewajipan untuk menyampaikan air ke seluruh anggota wuduk adalah wajib bagi mereka yang hendak menunaikan solat.
إذا كان في أعضاء الطهارة شيء يمنع وصول الماء إلى الأعضاء التي يجب تطهيرها، فإن الواجب عليك أن تحسب الحساب، وأن تتقدم في إزالة هذا المانع حتى يأتي الوقت، وقد زال وتوضأت وضوءاً صحيحاً
Maksudnya : “Sekiranya ada sesuatu pada anggota yang menghalang air untuk sampai pada anggota yang wajib disuci, maka wajib ke atas kamu untuk membuat pertimbangan dengan mendahulukan untuk menghilangkan penghalang tersebut sehingga masuk waktu. Maka penghalang itu hilang dan berwuduklah dengan wuduk yang sahih.” (Rujuk Majmu’ wa Rasail, 11/146)

KESIMPULAN
Dalam perkara ini, kami berpandangan bahawa wajib kepada seorang muslim itu sebelum menyempurnakan wuduk untuk menanggalkan atau menghilangkan terlebih dahulu apa-apa yang menghalangi air untuk sampai pada kulit anggota wuduk dengan sempurna. Hal ini kerana terdapat ancam yang jelas daripada Nabi SAW kepada mereka yang lalai dalam meratakan air ke seluruh anggota wuduk seperti mana hadis di atas. Sekira penghalang tersebut hilang, maka berwuduklah dan solatlah dengan khusuk.

Namun begitu, bagi golongan yang menghadapi kesukaran dalam berbuat demikian disebabkan oleh pekerjaan mereka seperti tukang cat atau mekanik (pembaiki motokar), maka bagi mereka kelonggaran bagi kesan-kesan yang sedikit seperti cat yang sedikit atau minyak yang sedikit setelah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menghilangkannya. Ini kerana mengambil kira pekerjaan mereka yang bergelumang dengan perkara tersebut.

Wallahua’lam.
Pautan ke laman web rasmi PMWP 




No comments:

Post a Comment