AL-KAFI #681: HUKUM PENDAPATAN YANG DIJANA DARIPADA SYARIKAT YANG TIDAK BERSTATUS SIJIL HALAL


Apakah hukum saya bekerja di syarikat food and beverage yang tidak ada sijil halal kerana ada menjual arak. Namun, syarikat tersebut telah berhenti menjual arak. Adakah pendapatan saya sebelum ini dikira haram disisi syarak?

JAWAPAN
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Islam menuntut kepada penganutnya untuk sentiasa mencari rezeki yang halal lagi baik dalam memenuhi keperluan seharian. Hal ini bertetapan dengan firman Allah SWT berikut :
وَكُلُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّـهُ حَلَالًا طَيِّبًا
Maksudnya : “Dan makanlah dari rezeki Yang telah diberikan Allah kepada kamu, Iaitu Yang halal lagi baik..” (Surah al-Maidah : 88)

Menurut al-Maraghi dalam menafsirkan ayat di atas menyatakan bahawa : “Makanlah rezeki yang diperolehi secara halal dan bukanlah barangan seperti riba’, suht (yang di usahakan secara haram), dan barangan curi. Di samping itu, rezeki itu hendaklah sedap dimakan, tidak kotor, sama ada kerana zatnya sendiri, kerana rosak atau berubah akibat terlalu lama disimpan.” (Rujuk Tafsir al-Maraghiy, 4/1673)
Demikian juga hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda :
يَأْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ، لاَ يُبَالِي الْمَرْءُ مَا أَخَذَ مِنْهُ أَمِنَ الْحَلاَلِ أَمْ مِنَ الْحَرَامِ
Maksudnya : “Akan datang kepada manusia suatu zaman di mana seseorang tidak peduli apa yang dia ambil, apakah dari hasil yang halal atau yang haram.” [Riwayat al-Bukhari (2059)]


Berdasarkan persoalan di atas, terdapat larangan kepada umat Islam untuk melibatkan diri dalam apa-apa proses yang berkaitan dengan arak. Nas ini dinyatakan seperti berikut :

وَإِنْ الخمرَ حرامٌ وَثَمَنُهَا حَرَامٌ، وَإِنَّ الْخَمْرَ حَرَامٌ وَثَمَنُهَا حَرَامٌ، وَإِنَّ الْخَمْرَ حَرَامٌ وَثَمَنُهَا حَرَامٌ
Maksudnya : “Dan sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram, Sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram, Sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram.” Riwayat Ahmad (17995) dalam Musnad [Syuaib al-Arnaut berkata hadis ini sahih li ghairih]

Demikian juga hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A :
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصِرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَشَارِبَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ، وَسَاقِيَهَا، وَبَائِعَهَا، وَآكِلَ ثَمَنِهَا، وَالمُشْتَرِي لَهَا، وَالمُشْتَرَاةُ لَهُ
Maksudnya : Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan: “Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya.” [Riwayat al-Tirmizi (1295) dalam Sunan]

Justeru bagi seorang muslim hendaklah dia bertaqwa kepada Allah SWT dengan menghindari dirinya daripada terlibat dengan apa-apa pekerjaan yang melibatkan arak, walau dengan apa cara sekalipun. Namun begitu, jika pendapatan seseorang itu bercampur baur antara haram dan yang halal, maka menerima harta yang diberikan oleh majikan tersebut adalah tidak haram kerana tidak yakin pemberian itu bersumberkan mutlak yang haram sahaja.

Justeru di sini kami sertakan garis panduan seperti berikut:
1. Jika pendapatan yang mereka perolehi ialah daripada hasil jualan barang-barang yang halal dan haram, maka hukumnya adalah tidak haram mengambilnya tetapi makruh.

2. Jika pekerja itu terlibat dengan jual beli arak itu contohnya di kaunter, maka hukum perbuatan itu adalah haram sekalipun dengan martabat yang lebih rendah daripada meminumnya. Syeikh Mulla Ali al-Qari dalam al-Mirqah Sharh al-Misykah dalam menghuraikan hadis riba: “Mereka sama dari sudut mendapat dosa tetapi berbeza daripada segi tingkatannya.”

3. Sebaiknya berusaha dengan sebaik mungkin untuk memisahkan kaunter barangan yang halal dan barangan yang haram, atau mengikut pekerja, dan ini adalah tanggungjawab majikan yang perihatin terhadap kebajikan agama para pekerja Muslim.

KESIMPULAN
Dalam perkara ini, kami berpandangan bahawa rezeki yang diperolehi daripada hasil jualan barang-barang yang bercampur halal dan haram, maka hukumnya adalah tidak haram tetapi makruh. Namun begitu, kami juga mencadangkan agar carilah pekerjaan yang tiada sebarang syubhah kerana ia bersifat lebih aman dan tenang jiwa. Sabda Nabi SAW:
فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وَعِرْضِهِ
Maksudnya : “Barangsiapa yang memelihara dirinya daripada sebarang syubah maka sebenarnya dia telah menyelamatkan agama dan maruahnya.” [Riwayat Bukhari (52) dan Muslim (20)]

Justeru, dengan mencari-cari sumber yang halal dan menjarakkan diri daripada sebarang keraguan, maka sudah tentukan ia menatijahkan lagi kebaikan dan keberkatan dalam hidup.

Wallahua’lam

Pautan ke laman web rasmi PMWP: MuftiWP















No comments:

Post a Comment