Saturday, April 23, 2016






UNTUK SIARAN SERTA MERTA

MAKLUM BALAS TERHADAP LAPORAN NEGARA MENGENAI HAK ASASI MANUSIA DI MALAYSIA 2015 OLEH JABATAN NEGARA AMERIKA SYARIKAT

Kerajaan Malaysia merujuk kepada Laporan Negara Hak Asasi Manusia 2015 mengenai Malaysia yang dikeluarkan oleh Amerika Syarikat sebagai sebahagian daripada Laporan Tahunan Hak Asasi Manusia Negara-Negara yang merangkumi di 195 buah negara dan wilayah.
 
Kerajaan Malaysia ingin menjelaskan bahawa laporan yang dikeluarkan adalah berdasarkan maklumat yang tidak berasas dan sebahagian besarnya bergantung pada sumber-sumber yang objektivitinya boleh dipersoalkan. Kerajaan Malaysia kesal bahawa dakwaan yang terkandung dalam laporan berkenaan bersifat selektif dalam memberi gambaran yang negatif terhadap Kerajaan Malaysia, serta tidak mengambil kira usaha-usaha Kerajaan Malaysia dalam melindungi hak asasi manusia. Laporan tidak berasas Amerika Syarikat ini disediakan tanpa melibatkan konsultasi rasmi dengan pihak Kerajaan, walaupun Malaysia dan Amerika Syarikat mempunyai hubungan dua hala yang baik. Malangnya, pendekatan berat sebelah yang diambil oleh Amerika Syarikat menolak pemahaman sebenar yang seimbang mengenai fakta-fakta bagi kes serta dakwaan yang dinyatakan dalam laporan berkenaan. Laporan berkenaan juga jelas mencerminkan penilaian Amerika Syarikat yang berat sebelah berhubung perspektif Kerajaan serta mengabaikan komitmen dan usaha Kerajaan Malaysia berkaitan amalan hak asasi manusia di Malaysia.
 
Amerika Syarikat terus mengabaikan hak kedaulatan Malaysia dalam menentukan hal ehwal dalamannya, yang mengambil kira keadaan sedia ada dan ancaman kepada masyarakatnya serta tanggungjawab Kerajaan untuk melindungi keselamatan negara dan mengekalkan keamanan dan ketenteraman di negara ini. Malaysia amat menghargai hubungan dua hala yang progresif dan dinamik dengan Amerika Syarikat dan percaya bahawa hubungan tersebut mampu diperkukuhkan lagi sekiranya Amerika Syarikat memahami dengan jelas isu-isu domestik di Malaysia.
 
Kerajaan Malaysia terus komited dalam memastikan kenikmatan kebebasan hak asasi seperti yang dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Malaysia akan terus mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi memastikan setiap rakyat menikmati kebebasan hak asasi tanpa menjejaskan hak orang lain atau ancaman kepada keselamatan dan kestabilan negara.

KEMENTERIAN LUAR NEGERI
PUTRAJAYA
22 APRIL 2016


Kredit: DLA
Share this Article on :

No comments:

Post a Comment

 

© Copyright DKM SABAH 2010 -2011 | Design by Herdiansyah Hamzah | Published by Borneo Templates | Powered by Blogger.com.