Menjawab hujah yang mengatakan: GST HARAM

KONSEP PERCUKAIAN ISLAM: SATU TINJAUAN DARI SUDUT PELAKSANAAN CUKAI BARANGAN DAN PERKHIDMATAN (GST)

Disediakan Oleh:
Seksyen Muamalat, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia


LATAR BELAKANG
Sistem percukaian adalah salah satu mekanisme untuk menjana kemakmuran ekonomi dalam  sesebuah  negara.  Oleh  yang  demikian,  salah  satu  sumber  negara  yang  telah diamalkan  hampir  seluruh  negara  di  dunia  hingga  ke  hari ini  ialah  melalui  konsep percukaian. Percukaian dalam pelbagai bentuk yang dirasakan sesuai akan dikenakan kepada rakyat jelata demi kepentingan mereka.

2.  Dalam  Islam,  sesebuah  kerajaan  mempunyai  hak  untuk  mengadakan  dasar percukaian  dalam  memungut  hasil  kepada  negara, asalkan  dasar  tersebut  digubal menepati prinsip yang adil dan tidak membebankan individu rakyat (sektor swasta). Hak ini diasaskan kepada hadis Nabi SAW:

3.  Mengikut  Marghinani, jika  sumber  pendapatan  negara  tidak  mencukupi,  negara perlu  memungut  cukai  daripada  rakyat  untuk  membiayai  kepentingan  umum  (al-Marghinani: 1996). Begitu juga pandangan Imam Abu Yusuf yang menjelaskan bahawa kadar  cukai negara  boleh  menaik  atau  menurun mengikut  kemampuan  rakyat (Abu Yusof:1979).

4.  Jika disingkap  tentang  sejarah  percukaian  dalam  Islam, ia  telah  bermula  sejak zaman  Nabi  Muhammad  SAW  apabila  cukai  yang  dikenali  sebagai  jizyah  telah diperkenalkan pada ketika itu. Jizyah merupakan cukai kepala yang dikenakan kepada golongan  bukan  Islam  yang  menetap  di bawah  pemerintahan  Islam (al-Mausuah  al-Fiqhiyyah:  2001). Dengan  cukai jizyah,  mereka  berhak  mendapat  perlindungan  dan penjagaan terhadap segala aspek sama ada harta, keluarga, darah dan sebagainya.

5.  Pada  zaman  Umar  al-Khattab  pula,  beliau  telah  mewujudkan  cukai  tanah (kharaj), cukai  perdangangan  (ushur)  dan  lain-lain  cukai  telah  dikembang  serta diselaraskan  agar  dapat  memberikan  dana  yang  mencukupi  bagi  pembangunan negara. Dalam  konteks  cukai  tanah  (kharaj),  ia  dikenakan  ke  atas  tanah-tanah  yang dibuka  oleh  orang  Islam  secara  peperangan. Cukai kharaj mula  dilaksanakan  dengan meluas  apabila  Khalifah  Umar  al-Khattab  berdasarkan  ijtihadnya dan  beliau telah mengarahkan  supaya  tanah  yang  diperolehi  daripada  hasil  peperangan  tidak  lagi dibahagikan  kepada  tentera  yang  berperang  secara ghanimah. Sebaliknya  tanah tersebut  dijadikan  wakaf  bagi  kepentingan  orang-orang  Islam  dan  bukan  Islam. (Abu Yusuf: 1952)

6.  Pada asalnya, cukai bukanlah suatu perkara yang dibebankan secara berterusan kepada  rakyat  dan bukan  sesuatu  yang  fardhu  iaitu  sama  seperti  kefardhuan  zakat yang  tanggungjawabnya  secara  berterusan  dan  dikeluarkan  dengan  kadar  yang  tetap setiap  tahun. Sebaliknya, ia  ialah  satu  pungutan  yang  diperlukan,  sesuai  dengan kehendak dan keperluan negara semasa serta selari dengan konsep siyasah syari’yyah yang digariskan oleh Islam.




ASAS-ASAS PERTIMBANGAN
7.  Cukai  didefinisikan  sebagai  pungutan  berbentuk  wang  oleh  kerajaan  terhadap individu dan organisasi yang berkaitan dengan negara untuk kegunaan negara secara langsung atau secara tidak langsung kepada pembayar cukai sebenar yang menerima beban cukai itu (Kamus Dewan: 2010).

8.  Manakala  cukai langsung ialah cukai yang dikenakan terhadap pembayar cukai secara langsung atau terus dan tidak boleh dipindahkan kepada orang lain. Contohnya ialah cukai pendapatan. Cukai tidak langsung ialah tanggungan beban cukai yang boleh dipindah  oleh  pembayar  cukai  kepada  pihak  ketiga  atau  penerima  manfaat  akhir terhadap  barangan  atau  perkhidmatan  itu.  Contohnya  cukai  kastam,  cukai  jualan. (Wang Leng Whatt: 2013)

9.  Terdapat  pelbagai  pandangan  yang  dikemukakan  oleh  ulama  mengenai  cukai antaranya: 

Ibn Hazim
Ketika  membahaskan  tentang permasalahan  cukai,  beliau tidak  menggunakan perkataan  cukai (dharibah)  tetapi  menggunakan  perkataan  yang  sama  erti dengan  cukai.  Beliau  telah  menggunakan  perkataan penet apan  pemerintah dalam  bentuk  kewangan  ke  atas  rakyat  apabila  berlaku  sebab  tertentu.  (Ibn Hazim:  2003).  Pandangan  ini  bersandarkan  kepada  dalil-dalil  al-Quran,  hadis dan pendapat sahabat.

Imam Haramain al-Juwaini
Penetapan  pembayaran  cukai  mengikut  Imam al-Haramain  al-Juwaini  adalah berdasarkan  oleh  ijmak  ulama  yang  menyebut  bahawa  menjadi  kewajipan pemerintah  dalam  mempertahankan  daulah.  Maka  apabila  baitulmal  tidak mampu menampung  perbelanjaan  ketenteraan, maka  pemerintah  boleh mengenakan sistem pembayaran cukai ke atas mereka yang berkemampuan.

Imam al-Ghazali
Menurut Imam al-Ghazali di dalam kitabnya al-Mustasfa (al-Ghazali:1992), tidak harus dikenakan cukai ke atas rakyat jika sekiranya harta benda yang berada di tangan  adalah  mencukupi.  Namun  begitu,  jika  sekiranya  unit  ketenteraan  Islam tidak  memiliki  wang  yang  cukup  dan  baitulmal  tidak  mampu  menanggung perbelanjaan  ketenteraan, maka  harus  kepada  pemerintah  mengenakan  cukai kepada  golongan  yang  kaya  sekadar  jumlah  yang  dapat  menampung perbelanjaan  ketenteraan.  Pemerintah  Islam  harus  memberi  tanah  kerajaan kepada tentera sebagai ganti cukai.

Oleh  itu,  penetapan  cukai  ke  atas  golongan  yang  kaya  adalah  mudharat  yang lebih  ringan  jika  dibandingkan  dengan  tentera  yang  meninggalkan  tugas ketenteraan kerana mencari keperluan hidup.


Ibn Taimiyyah
Dalam membincangkan  tentang  keharusan  sistem  pembayaran  cukai,  Ibnu Taimiyyah (Ibn Taimiyyah:  t.th):  berdalilkan dengan qias aulawi di mana beliau berkata Jika  sekiranya  Allah  mewajibkan  ke  atas  para  sahabat  yang  berjihad dengan  harta  dan  jiwa  raga  mengeluarkan usyur dari  hasil  tanaman  mereka, maka  sepatutnya  lebih  diwajibkan  ke  atas  golongan  yang  berkemampuan  yang tidak  keluar  berjihad  mengeluarkan  kewangan untuk  menampung  perbelanjaan jihad (maslahah umum).

Al-Shatibi
Mengikut  al-Shatibi  (al-Shatibi:  2008),  pengambilan  cukai  menjadi  keharusan apabila  pemerintah  itu  seorang  yang  adil  dan  membelanjakan  harta  tersebut pada jalan yang diharuskan syarak. 

Ibn Khaldun
Mengikut Ibn Khaldun pula dalam karyanya al-Muqaddimah (Ibn Khaldun: 2010), beliau  telah  menggariskan  dasar  khusus  dalam penggubalan  percukaian sesebuah  negara.   Antara  saranan  yang  dinyatakan  beliau  tentang  dasar percukaian ialah: 

"Apabila  taksiran  cukai  dan  kewajipan  membayar  cukai  ke  atas  rakyat  adalah sedikit,  mereka  mempunyai  kesungguhan  dan  semangat  untuk  mengusahakan sesuatu.  Budaya keusahawanan  menjadi  berkembang  dan  meningkat,  sebab pengenaan  cukai  yang  rendah  itu  mendorong kepada  suatu  kepuasan  hati. Apabila  budaya keusahawanan  meningkat,  jumlah  kewajipan  terhadap  orang perseorangan  dan  taksiran  cukai  akan  berlipat  ganda.  Sebagai  akibatnya,  hasil pendapatan  cukai  yang  merupakan  jumlah  keseluruhan  daripada  (taksiran terhadap orang perseorangan) akan meningkat."

Daripada  pandangan Ibn  Khaldun  ini,  antara  yang  ditekankan  dalam  isu percukaian  ialah  pembentukan  cukai  terhadap  rakyat  hendaklah  pada  kadar yang  rendah  kerana  ia  akan  merangsang  semangat  keusahawanan  dan  jika jumlah  cukai  perlu  ditingkatkan,  maka  ia  hendaklah  pada  kadar  yang  minimum.

Selain  itu,  pemerintah  juga  perlu  sentiasa  berwaspada  agar  kemewahan  yang mengakibatkan perbelanjaan negara meningkat perlu sentiasa dikawal.

Ulama Kontemporari
Bagi ulama kontemporari seperti Dr. Yusuf al-Qaradawi, Sheikh Ali Muhyiddin Al-Qurrah  Daghi,  dan  Syeikh  Mahmud  Syaltut, mereka berpendapat  harus pengambilan cukai sebagai tambahan kepada zakat, sedekah, jizyah dan ushur bagi  memastikan  kerajaan  dapat  mengurus  kemaslahatan  ummah  seperti membangunkan  kebajikan  rakyat,  bayaran  gaji  pegawai-pegawai  kerajaan  dan penyediaan  infrastuktur  untuk  kemudahan  rakyat. (Yusuf  al-Qaradawi:  2000) Ini berasaskan kaedah fekah yang masyhur.



No comments:

Post a Comment