Jangan jadi Ibu Bapa yg Derhaka!!
Anak-anak mungkin gagal mengikut cakap kita, tetapi mereka tidak mungkin gagal mengikut sikap kita. Justeru, cara terbaik mendidik anak-anak ialah melalui sikap bukan cakap.Ini kerana manusia lebih mempercayai matanya berbanding telinga. Sikap dapat dilihat, cakap cuma dapat didengar.
Mendidik anak-anak boleh dilihat sebagai amanah yang sangat mudah. Kita hanya perlu menjadikan diri yang baik. Kemudian kebaikan itu dapat dilihat oleh anak lalu diteladani oleh mereka. Namun, mendidik juga boleh dilihat sebagai amanah yang amat berat. Ini kerana bukan mudah untuk memperbaiki diri kita sendiri. Ia perlukan proses mujahadah (melawan hawa nafsu) yang panjang dan berterusan.
Ibu bapa mana yang tidak inginkan anak yang baik, soleh dan solehah. Malangnya, harapan itu tidak kesampaian kerana kita gagal mempamerkan teladan yang baik untuk anak-anak. Anak-anak sering mendapat petunjuk yang bertentangan antara apa yang kita cakap dan apa yang kita buat. Kebanyakan kita masih mengajar, bukan mengajak anak-anak untuk melakukan satu kebaikan.
Apa bezanya antara "mengajar" dan "mengajak"? Mengajar hanya melalui kata-kata. Kita suruh mereka solat misalnya, tetapi kita masih leka dengan aktiviti lain. Kita arahkan mereka belajar, sedangkan kita asyik menonton TV!
Cara terbaik ialah kita mengajak mereka. Jika menyuruh mereka solat, kita sama-sama solat. Apabila kita mengarahkan mereka membaca buku, kita juga duduk dan sama-sama membaca sesuatu. Mungkin ada ibu bapa yang menyoal, buku apa yang kita hendak baca? Bukankah musim persekolahan atau pengajian kita sudah berlalu? Alangkah salahnya jika kita berpandangan begitu. Umat Islam ialah umat yang sentiasa belajar. Apabila kita berhenti belajar etinya kita berhenti memimpin. Tugas belajar ialah tugas sepanjang hayat- dari buaian hingga ke liang lahad. Ibu bapa seharusnya menambah ilmu (samada ilmu agama atau ilmu kemahiran) untuk menangani cabaran proses mendidik anak-anak yang semakin rencam dan pelbagai.
Semua ibu bapa sayangkan anak-anak. Malangnya, dengan tidak mempamerkan sikap atau teladan yang baik kita hakikatnya menghancurkan masa depan mereka. Bukan sahaja masa depan di dunia sahaja tetapi masa depan di akhirat. Dengan tidak menunjukkan teladan yang baik dalam soal beriman kepada Allah dan hari akhirat, mendirikan solat, mengamalkan akhlak yang baik dalam pergaulan dan lan-lain, anak-anak hakikatnya terbiar liar.
Ironinya, jika ada segelintir ibu bapa yang sanggup mendera anak-anak mereka dengan api daripada puntung rokok di dunia, namun lebih ramai ibu bapa yang bakal mendera anak-anak mereka dengan api neraka. Ibu bapa ini adalah ibu bapa yang tidak menunjukkan teladan yang baik dalam mendidik anak-anak. Inilah ibu bapa yang derhaka!
Bagi kami, anak derhaka itu hakikatnya adalah "produk" daripada ibu bapa yang derhaka. Terimalah peringatan ini walaupun pahit!
~Dipetik dari dariEditor-Pahrol Mohd Juoi, Solusi isu 16- Ibu Bapa Derhaka~
Rancangan Semanis Kurma penah membincangkan topik berkenaan dengan isu IbuBapa Derhaka.
Petikan cerita dari rancangan Semanis Kurma...
Seorang lelaki telah datang menemui Khalifah Umar al-Khattab r.a. mengadukan hal kederhakaan anaknya. Lalu Umar memanggil anak lelaki itu dan memarahinya kerana derhaka kepada bapanya serta lupa kepada hak-hak bapanya. Anak itu menjawab: “Wahai Amirul Mukminin, tidakkah anak mempunyai hak ke atas bapanya?” Umar menjawab: “Ya.” Dia bertanya lagi: “Apakah ia wahai Amirul Mukminin?” Jawab Umar: “Memilih ibunya, memberikan nama yang baik dan mengajarnya al-Kitab (al-Quran).” Anak itu berkata: “Wahai Amirul Mukminin! Sesungguhnya bapaku tidak pernah melakukan satu pun perkara tersebut. Mengenali ibu saya, dia dahulunya seorang hamba berkulit hitam dan tuannya seorang Majusi. Saya pula dinamakan “Ju’olan”iaitu sejenis kumbang biasa berwarna hitam. Dia juga tidak pernah mengajarkan aku walau satu huruf pun dari al-Quran. Umar lantas berkata kepada lelaki itu: “Kamu telah datang mengadukan kederhakaan anakmu, walhal kamulah yang telah menderhakainya. Kamulah yang telah berlaku buruj dan jahat sebelum dia berlaku demikian terhadapmu.” Begitulah, Saidina Umar meletakkan kesalahan kepada si bapa, lantaran kecuaiannya dalam mendidik anaknya sendiri.
Ada tiga perkara yang bapa patut buat;
1. pilih isteri yg baik supaya dapat didik anak dengan sempurna
2. beri nama yang baik kepada anak supaya menjadi doa sepanjang hayatnya
3. ajar anak dengan al-Quran
Dipetik daripada blog: Myra Roslan
0 Comments