SOLUSI ISU 56: MANIFESTO WAJIB PEMIMPIN MUSLIM



Ketika artikel ini ditulis, negara masih dalam suasana pilihan raya umum ke-13. Ketika artikel ini diterbitkan, pilihan raya sudah selesai.

Sepanjang tempoh tersebut, polemik bermusim muncul kembali. Antaranya persoalan besar tentan hukum pilihan raya itu sendiri. Ada pihak yang menegaskan bahawa hukumnya wajib. Tidak kurang juga yang yakin bahawa ia haram kerana tidak berasal daripada Islam.

Saya turut tertarik untuk mendalami hal ini. Beruntungnya saya terjumpa satu tesis yang bertajuk al-Intikhabat wa ahkamuha fi al-Fiqh al-Islami. Maksudnya, pilihan raya dan hukum-hakamnya dalam Fiqah Islam. Saya sempat menelaah tesis tersebut.

Menarik sekali! Perbincangan yang dimuatkan cukup matang. Di akhir kajiannya, pengkaji menyenaraikan sejumlah maslahah atau kebaikan dan mafsadah atau keburukan pilihan raya.


Pilihan Raya "Tiada" dalam Islam

Suatu hakikat yang perlu diterima ialah pilihan raya umum seperti yang kita laksanakan pada hari ini sebenarnya tidak pernah wujud pada zaman awal Islam. Dengan kata lain, ketika itu tiada peruntukan hak untuk orang awam dalam memilih pemimpin.

Ketika itu pemimpin yang diangkat ialah hasil pemilihan yang hanya boleh dilakukan oleh ahl al-hal wa al-'aqd. Kemudiannya rakyat akan memberi baiah kepada pemimpin yang dipilih.

Walau bagaimanapun, sistem pemerintahan negara pada hari ini sudah berbeza. Maka pilihan raya ialah persoalan baru. Penentuan hukumnya mestilah berdasarkan kajian maslahah dan mafsadah yang terjadi hasil pelaksanaan pilihan raya.

Berikut adalah antara standard yang ditetapkan ulama dalam menentukan keharusan berpilihan raya:
* Hendaklah maslahah pilihan raya lebih besar daripada keburukannya.
* Hendaklah ia menjadi cara terbaik dalam merealisasikan maslahah syarak.

Mengisi Kemenangan

Isu utama yang saya ingin kongsi kali ini ialah agenda selepas pilihan raya. Kuasa pemerintahan yang diberikan kepada pihak yang menang hendaklah digunakan bagi mencapai maqasid pemerintahan dalam Islam.

Oleh sebab itu, parti yang menang wajib menggunakan mandat yang diberikan oleh majoriti rakyat dengan amanah. Seperti yang dinyatakan oleh para ulama, maqasid utama pemerintahan dalam Islam ialah memelihara dan menjaga agama.

Ibn Taymiah dalam al-siasah al-shari'iyyah menegaskan: "Maqasid pemerintahan ialah memulihara maslahah agama manusia yang jika ketiadaannya, mereka akan menjadi orang yang sangat rugi dan nikmat dunia yang diperoleh tidak akan memberi manfaat kepadanya."

Walau bagaimanapun, kemenangan yang sebenar hanya akan diberikan kepada orang yang menolong Allah dengan menegakkan suruhan agama. Kemenangan inilah yang akan berkekalan.

Allah berjanji: "iaitu mereka yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumu nescaya mereka mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menyuruh berbuat kebaikan dan melarang berbuat kejahatan." (Surah al-Hajj 22:41)


Aku Janji Pemimpin Muslim

Al-Shanqiti dalam Adwa' al-Bayan mengulas: "Golongan yang diberikan kuasa memerintah dan kekuatan di bumi, sedangkan dalam masa yang sama tidak mendirikan solat, menunaikan zakat atau melaksanakan amar makruf dan nahi mungka, maka mereka tidak dijanjikan dengan kemenangan dan pertolongan daripada Allah.

Hal ini kerana mereka bukan dari parti Allah. Mereka bukan daripada kalangan wali-Nya yang dijanjikan kemenangan. Bahkan mereka daripada parti dan wali-wali syaitan.

Jikalau mereka meminta pertolongan dan kemenangan daripada Allah sebagai menuntut janji-Nya, maka mereka seumpama pekerja yang tidak mahu melakukan kerjanya tetapi meminta upah. Dan jika keadaan sebegini seolah-olah dia tidak mempunyai akal."

Dari sudut yang lain, ayat tersebut juga menunjukkan empat perkara yang merupakan manifesto yang wajib dilaksanakan sama ada sebelum menang atau selepas menang pilihan raya. Manifesto tersebut juga merupakan manifestasi kesyukuran mereka atas kemenangan yang dikurniakan Allah kepada mereka.

Aku Janji Pemimpim Muslim;
1. Mendirikan Solat
2. Memberi Zakat
3. Menggalakkan Kebaikan
4. Mencegah Kejahatan

Mendirikan Solat
Lafaz yang digunakan ialah "......." (Istilah: sila rujuk Solusi 56: M/s51) menunjukkan ia bukan hanya melakukan solat seperti orang munafik yang hanya menzahirkan solat sahaja sedangkan tidak memahaminya dengan kefahaman sebenar.

Oleh sebab itu, pemerintah hendaklah menjadikan solat sebagai asa utama. Maka rakyat hendaklah selalu diperingatkan mengenai kepentingan solat. Solat menjadi penghubung antara makhluk dengan Allah, Tuhan yang menganugerahkan kuasa tersebut.

Memberi Zakat
Jika solah ialah manifstasi perhambaan dan ihsan kepada Allah secara langsung, zakat ialah manifestasi perhambaan kepada Allah secara tidak langsung. Zakat ialah bentuk ihsan makhluk kepada makhluk yang merupakan sebahagian ibadat ketaatan kepada Allah.

Dengan pelaksanaan solat dan zakat, hubungan pemerintah dan rakyat dengan Allah akan menjadi lebih kukuh dan kuat. Zakat menjadi asas kepada kebaikan dan kemakmuran sesebuah masyarakat kerana wujudnya unsur jaminan sosial dalam pensyariatan zakat.

Menggalakkan Kebaikan, Mencegah Kejahatan
Amar makruf dan nahi mungkar ialah dua perkara yang tidak boleh dipisahkan. Kedua-duanya juga menjadi asas kepada kemakmuran dan kebaikan sesebuah negara. Atas dasar ini pemerintah mestilah mendidik masyarakat supaya beriman kepada Allah dan menunaikan amalan iman di samping melarang daripada segala bentuk syirik dan kejahatan.

Pemerintah Adil
Kesemua perkara di atas terletak dalam inti pati sebenar ajaran Islam iaitu menegakkan keadilan dan menolak kezaliman. Maka, sebab itu pemimpin yang menjalankan amanah dengan penuh keadilan, akan mendapat kebaikan bukan setakat di dunia, malah sehingga di akhirat.

Nabi memuji sifat pemerintah yang adil dalam sabda Baginda: "Tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah di Padang Mahsyar kelah; yang pertama pemerintah yang adil." (Riwayat Muslim)

Mudah-mudahan keadilan dan kesejahteraan dapat dirasai oleh semua rakyat. Amin



NIK ABD. RAHIM NIK ABD. GHANI
(Lulusan Universiti Islam Madinah, Arab Saudi dan Sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Dipetik daripada Majalah Solusi
Kerana minat yang mendalam pada Majalah Solusi yang dilihat
bersesuaian dengan semua peringkat umur mahupun latar belakang masyarakat kini,
maka DKM Sabah berminat untuk memetik 1 atau 2 artikel keluaran Solusi
Sebagai usaha dakwah kepada semua masyarakat



No comments:

Post a Comment