DAKWAT KEKAL DAN KESIHATAN



Assalamualaikum... Semoga sahabat pembaca sihat2 hendaknya.....
Rasa-rasanya kalau pihak DKM Sabah yang mengulas berkaitan penggunaan dakwat kekal ini dengan hanya berbekalkan pendapat dan firasat hati. Pastinya ramai yang tidak berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut soal penggunaan Dakwat Kekal dan impaknya terhadap kesihatan kita. Syukur, berkat minat pengarang untuk membeli majalah berunsur dakwah, secara tidak sengaja terbaca satu topik yang menarik berkaitan penggunaan dakwat kekal pada PRU13 yang telah berlalu.

Dipetik Daripada: Majalah i (Bil 126/ April 2013)
Penulis: Dr. Zubaidi Bin Hj Ahmad
Artikel Penuh Milik: Majalah i
Muka Surat (Majalah i: APR 2013> MJI 39


Baru-baru ini, kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) mengumumkan akan menggunakan dakwat yang kekal (indelible ink) untuk pilihan raya ke 13.

Penggunaan dakwat yang kekal menjadi perdebatan ilmiah dan politik di kalangan ramai rakyat Malaysia. Saya (Dr. Zubaidi) sendiri tidak percaya bahawa penggunaan dakwat ini dapat mengurangkan ketidaktelusan ketika pengundian yang dijalankan.

Secara peribadinya saya (Dr. Zubaidi) melihat penggunaan dakwat ini hanya melambangkang 'rasa tidak percaya terhadap sistem pengundian yang dijalankan' oleh SPR. Penggunaan dakwat ini belum tentu dapat meningkatkan ketelusan pilihan raya atau mendatangkan rasa puas hati pada pihak-pihak yang bertanding.

Mencalitkan dakwat Indelible Ink pada jari pengundi hanya bermakna pengundi telah melakukan sekali undian dan menjadi bukti bahawa dia tidak boleh mengundi lagi.

Satu calitan dakwat ini pada jari pengundi akan memberi tanda coklat kehitaman yang akan kekal selama beberapa hari. Ia dianggap sebagai kaedah yang terbaik untuk mengelakkan penipuan undi atau pengundi yang membuang undi lebih daripada sekali.

Ketidaktelusan pilihanraya (jika berlaku) boleh dilakukan dengan cara ini. Rasa tidak puas hati yang kalah dengan mengadakan pelbagai alasan akan tetap berlaku.

Contohnya india telah menggunakan kaedah calitan jari pengundi ketika pilihan raya sejak tahun 1962 lagi. Tetapi penganalisa politik dunia masih meragui ketelusan pilihan raya di sana.

Saya (Dr. Zubaidi) serahkan kepada rakyat Malaysia untuk menilai kebaikan penggunaan dakwat kekal (indelible ink) dalam PRU13 kerana penggunaanya juga akan melibatkan peruntukan wang yang besar.

Saya (Dr. Zubaidi) cuma tertarik kepada kesan terhadap kesihatan akibat penggunaan dakwat (indelible ink) ini.


Uji Kaji Khas

Berdasarkan laporan uji kaji komposisi kimia yang dilakukan oleh Jabatan Kimia Malaysia, dakwat yang diimport daripada India ini mengandungi tiga jenis bahan utama iaitu air, ethanol (55 peratus) dan Silver nitrate.

Apa yang menjadi persoalan dalam isu kesihatan ialah adakah penggunaan unsur 'Silver Nitrate' selamat untuk orang awam terutama kepada wanita hamil dan wanita yang menyusukan anaknya?

Penggunaan dakwat kekal (Indelible ink) tidak akan mendatangkan sebarang mudarat jika digunakan pada kuku dan jari.

Mengikut panduan yang diberikan oleh United States Environmental Protection Agency pada tahun 1991, dos yang dibenarkan untuk mengelakkan kesan buruk kesihatan ialah harus kurang daru 5 µg/kg dalam sehari. Oleh itu ia selamat jika dicalitkan sedikit di kulit jari atau kuku. (rujuk: Fung MC, Bowen DL (1996). “Silver products for medical indications: risk benefit assessment”. Journal of Toxicology 34 (1), 119-26)

Ia hanya akan mendatangkan kesan buruk pada kesihatan sekiranya termakan atau terminum dalam kuantiti yang banyak.

Kesan buruk juga boleh berlaku jika pendedahan pada jangka masa yang lama biasanya berlaku secara beransur-ansur pada dos antara 50 ppm hingga 200 ppm sehari.

Ini boleh berlaku apabila seorang pekerja kilang yang membuat dakwat terhidu unsur Silver ketika sedang bekerja atau terdapat sedikit unsur silver (silver toxicity) dan ia akan berkumpul pada rambut, kulit, ginjal, hati, jantung dan otot.

Pendedahan pada jangka waktu yang lama juga akan menyebabkan kulit dan kuku mengalami keadaan yang dinamakan skin argyria, di mana kulit akan bertukar menjadi warna yang lebih gelap. Namun tidak mungkin berlaku pada calitan yang sedikit dalam waktu yang pendek.

D, Park B, Hoang M, Jacobe HT (August 2005). “Argyria secondary to ingestion of homemade silver solution”. Journal of the American Academy of Dermatology 53 (2 Suppl 1): S105-7.

Keracunan ini juga boleh menyebabkan sawan, kegagalan fungsi jantung dan hati, sering rasa lemah dan rasa selesa pada abdomen dan kulit menjadi rosak.

(rujuk: Mirsattari SM, Hammond RR, Sharpe MD, Leung FY Young GB (April 2004). “Myoclonic status epilepticus following repeated oralingestion of colloidalsilver” Neurology 62 (8): 1408-10)

Calitan yang sedikit tidak merbahaya kepada kulit kecuali kepada orang yang mengalami alahan pada silver atau dakwat yang digunakan.

Dalam hal ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kerajaan Malaysia harus memberikan pilihan kepada rakyat Malaysia yang mempunyai alahan kulit agar dikecualikan. Cara terbaik ialah pengundi harus mengemukakan surat pengesahan daripada doktor kulit.

Walaupun mempunyai risiko kecil, saya (Dr. Zubaidi) selepas membuang undi, harus segera membasuhnya selepas masa pengundian tamat. Ini mengelakkan kesan buruk yang mungkin terjadi pada sesiapa saja terutama wanita hamil dan wanita yang menyusukan anak.

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang pada 8 Ogos 2007 telah membuat keputusan mengenai hokum penggunaan Indelible Ink dalam Pilihan Raya Malaysia.

Oleh kerana ia tidak mengandungi bahan-bahan najis yang diharamkan oleh syarak, tidak mendatangkan mudarat kepada kesihatan dan tidak menghalang air untuk samai ke kulit apabila digunakan, penggunaannya dibenarkan (harus) oleh syarak kerana ia tidak akan menimbulkan masalah kepada ibadah sebahagian besar umat Islam.

Berdasarkan kajian, penggunaan Indelible Ink pada kuku boleh dihilangkan dalam tempoh tiga (3) hari dan jika digunakan pada kulit, ia akan hilang dalam tempoh tujuh (7) hari.

Tetapi untuk kegunaan dalam pilihan raya, SPR hanya akan mencalit Indelible Ink tersebut dalam kuantiti yang sedikit yang dijangka dapat bertahan sekurang-kurangnya 24 jam.

Saya (Dr. Zubaidi) mencadangkan agar setelah selesai mengundi, kita harus menghilangkan kesan dakwat ini. Bagi kita yang tidak ada kepentingan politik, tidak ada gunanya menyimpan bekas dakwat ini pada jari kita.


Lagipun menyimpannya akan melambang keperibadian seorang yang tidak bersih dan dapat mengurangkan kemudaratannya. Walaupun dakwat kekal ini mungkin sukar ditanggalkan, namun ia masih lagi boleh ditanggalkan.

Antara langkah-langkah yang boleh dilakukan, dapatkan alcohol swab (yang digunakan untuk membersihkan kulit sebelum melakukan suntikan) dari farmasi. Setelah itu boleh membilasnya menggunakan sabun dan air mengali yang bersih. Kemudian bersihkan dengan kain yang bersih dan kering.










No comments:

Post a Comment