Pada 16 Mac 2013 selang beberapa hari lalu, bertempat di Dewan Masyarakat Papar telah berlangsung program Bicara Minda bersama negarawan ulung (Tun Mahathir). Program yang bertemakan "Jalan Hadapan Malaysia, Apa Pilihan? telah dianjurkan oleh Pusat Khidmat Wakil Rakyat P.175 Papar dengan kerjasama UPKR Parlimen Papar.

Artikel yang pengarang terbitkan ini bukan bertujuan untuk mengulas segala apa yang terkandung dalam teks ucapan Tun Mahathir, tetapi lebih kepada lontaran persepsi yang keluar dari minda pengarang sedari selesainya sesi soal jawab bersama Tun M (Tun Mahathir). Umum mengetahui penganjuran program tersebut berada pada kelasnya yang tersendiri, meskipun rakyat Sabah khususnya dan pengundi-pengundi di Parlimen Papar amnya masih lagi dibayangi oleh insiden pencerobohan di Lahad Datu.

Persepsi negatif mula melingkari minda dan pemikiran pengarang bila mana seorang hadirin (Nadia Hj Abdul Jalil) wakil Putri UMNO Caw. Sri Pekan - Papar yang bangkit mengajukan soalan kepada Tun M. Beliau yang bertanyakan jika terdapat peluang untuk pemuda, wanita dan pemimpin lain menggantikan wakil rakyat yang sudah terlalu lama berkhidmat "seolah-olah jawatan wakil rakyat itu adalah milik mereka sehingga akhir hayat".

Apa yang menjadi persoalan pengarang kini, kenapa isu ini disentuh buat kali kedua oleh Daily Express. Mula diulas diruangan Daily Express edisi tempatan pada 19.03.2013 (Selasa) (m/s 6) bersamaan tiga (3) hari selepas program tersebut berlangsung dan disusuli dengan artikel penuh di Muka Hadapan Daily Express bertarikh 20.03.2013 edisi Bahasa Inggeris yang juga menyentuh tajuk serupa. Sebelum pengarang melanjutkan hujah, terlebih dahulu izinkan pengarang memetik amanat yang disampaikan oleh Ketua Pergerakan Putri UMNO Malaysia pada PAU2012 sekaligus memberi gambaran dan jawapan ringkas kepada persoalan yang dikemukakan oleh  Nadia Hj Abdul Jalil;  

"...... Permata-permata UMNO yang saya hormati sekali,

Ombak pilihan raya sudah benar-benar menghampiri kita, bisa saja menjadi badai atau bayu yang membelai,

Saat ini jika kita masih berpeluk tubuh.............. Kita berdosa kepada parti.

Jika kita segarkan rasa iri hati, dengki dan menuding jari........kita berdosa kepada parti.

Jika kita tidak berpangkat, berjawatan dan berkedudukan..... kita hanya biar mereka yang
mendapat mandat sahaja menyusun langkah......... kita juga berdosa kepada parti.

Jika kita berpura-pura di depan bikin kerja tetapi di belakang bikin cerita...... kita juga berdosa kepada parti.

Disaat rakan-rakan kita berjuang, kita canang kononnya mereka ini petualang..... kita juga berdosa kepada parti.

Jika kita berdendam tidak bertepi, cemburu membuta tuli..... kita juga berdosa kepada parti.

dari sekian dosa yang kita lakar tanpa sedar..... KITALAH PENGKHIANAT DAN PETUALANG YANG SEBENAR.

....... kayakan jiwa kita dengan keikhlasan di dalam berjuang!....


Ketika beliau (Nadia Hj Abdul Jalil) bangkit dengan soalan, hati pengarang terasa seakan-akan berang dengan tindakan sebegini. Walau apapun tujuan dan matlamat yang tersirat di balik soalan tersebut, beliau seharusnya mendahulukan rasionaliti dan bukan emosi semata-mata. Tatkala wira kita berhempas pulas membertahankan negara dan negeri kita dari diceroboh, kita pula sibuk mencantas sesama sendiri. Insiden LD seharusnya menjadi batu loncatan untuk semua jentera parti bagi sama-sama menghadapi cabaran PRU13 yang pastinya bakal menyaksikan persaingan sengit dalam sejarah PRU di Malaysia.

Jawapan pengarang mudah;
Siapa lebih berkuasa, pilihan parti atau pilihan rakyat? 
Jika ada yang menjawab, majoriti daripada pengundi di Parlimen P175 Papar merupakan ahli UMNO, maka suara parti adalah suara majoriti!..... pengarang akan menjawab, belum tentu lagi ahli parti akan menyokong calon sedia ada dan ini sekaligus membuktikan pilihan rakyat kembali mengatasi pilihan parti. Perlu diingat, YB Parlimen dan ADUN bukan hanya berkhidmat kepada parti, tetapi hakiki tugas dan keutamaan khidmat mereka lebih kepada RAKYAT.

Keupayaan YB untuk menguasai media cetak dan media maya bukanlah tiket yang boleh dijadikan modal dalam kempen politik bagi mengaburi kekhilafan diri. Inilah kelebihan orang yang tidak berparti (pengarang) yang bebas meluahkan ekspresi diri tanpa dipengaruhi olen mana-mama pihak. 

Selesai Program pada hari tersebut, pengarang sempat bertanya kepada beberapa orang penduduk yang berlegar berhampiran dengan dewan dan penduduk di kedai kopi sekitar Lok Kawi. Soalan pengarang tertumpu kepada YB pilihan mereka selaku pengundi. Rata-rata memilih YB Gulam selaku calon yang berkelayakan untuk menyandang Kerusi Parlimen Papar. Status Gulam selaku "Kuli/ hamba Rakyat" menjadikan beliau sebagai calon popular untuk menyandang kerusi pada PRU13 kelak. Namun demikian, pendapat mereka bukanlah keputusan mutlak, kerana keputusan berhubung siapa calon yang bakal mewakili Parlimen P175 Papar pada PRU13 kelak hanya akan diketahui sekurang-kurangnya dua (2) minggu selepas parlimen dibubarkan.  

Ingat!
1. Kita seharusnya belajar daripada kekalahan pada PRU 2008 lalu. Salah satu aspek yang menyumbang kepada kekalahan BN pada PRU2008 adalah disebabkan oleh faktor sabotaj dan cantas-mencantas sesama ahli dalam parti terhadap calon. Ketika itu, pilihan parti yang menjadi keutamaan telah memakan diri sendiri (BN) dan seterusnya elemen tersebut (pilihan parti) ditukar dengan elemen winable candidate (pilihan rakyat). Elemen transformasi perlu diperjuangkan seiring dengan landasan dan falsafah perjuangan parti itu sendiri. Jika prinsip yang selama ini teguh diperjuangkan oleh ahli parti telah lari daripada landasannya, adalah menjadi tanggungjawab ahli parti itu sendiri untuk melakukan rombakan dan pembaikan sewajarnya.

2. Persoalan yang menyentuh isu calon sudah terlalu lama seharusnya tidak dipertikaikan jika calon tersebut memberi khidmat dan bakti kepada rakyat seterusnya rakyat juga mengiktiraf sumbangan beliau. Juga tidak seharusnya dipertikaikan jika khidmat beliau masih diperlukan dan ditagih sepenuhnya oleh rakyat. Kita lihat sahaja Tok Guru Nik Aziz yang telah lama berbakti kepada rakyat-rakyat di negeri Kelantan. Jika faktor calon sudah terlalu lama diambil kira, nescaya beliau seharusnya bersara sejak 2008 lagi. Namun beliau enggan bersara kerana tuntutan yang datang daripada parti beliau dan rakyat yang masih menagih khidmat beliau sebagai wakil rakyat. Bukan faktor jawatan tersebut milik beliau seumur hidup, tapi faktor rakyat masih memerlukan khidmat dan bakti beliau kepada rakyat kelantan. Demikian juga Tun M, tiada siapa yang menginginkan beliau untuk melepaskan jawatan beliau selaku Perdana Menteri suatu ketika dahulu.

3. Harus diingat, ada di antara YB Parlimen dan ADUN yang telah menyandang jawatan masing-masing untuk suatu tempoh yang lama dan enggan bersara bukan disebabkan oleh faktor ketamakan terhadap harta dan pangkat yang terhidang. Sebaliknya mereka mungkin memikirkan, Adakah pengganti mereka kelak akan menabur khidmat yang jauh lebih baik atau jauh lebih buruk daripada khidmat mereka kini. Ingat! berlambak calon di luar sana yang boleh menjadi calon, tapi belum tentu dalam ramai-ramai tersebut ada calon yang sanggup menjadi Kuli Rakyat. 

Pengarang mencadangkan agar (Nadia Hj Abdul Jalil) selaku ahli Putri UMNO menyampaikan pandangan dan pendapat pengarang kepada Ahli Parlimen beliau yang kini bertanding atas Kouta Putri (sila betulkan jika pengarang silap) agar memberi ruang kepada ahli lain untuk bertanding mewakili pergerakan tersebut pada PRU13 kelak. Hal ini selari dengan jawapan Tun M yang merujuk kepada Kepimpinan Melalui Teladan.

Seharusnya tidak menjadi masalah jika konsep  Kepimpinan Melalui Teladan dimulakan sendiri oleh Pergerakan Putri UMNO Papar, yang mana jika tidak silap pengarang penyandang Parlimen kini telah berkhidmat selama dua (2) penggal. Tempoh pemerintahan selama dua (2) penggal juga boleh ditakrifkan sebagai suatu tempoh yang cukup lama dan seharusnya tidak menjadi halangan untuk pergerakan tersebut kini diwakili oleh calon lain yang mungkin lebih berkelayakan dan mempunyai visi yang jelas dalam memajukan kawasan parlimen tersebut. Seharusnya tranformasi dimulakan dari kelompok atau kumpulan sendiri dan bukannya oleh orang lain.