SOLUSI ISU 52: TALHAH PAHLAWAN SYAHID YANG HIDUP

Gambar Hiasan
Talhah bin Ubaidillah merupakan sahabat Nabi Muhammad s.a.w yang tinggal di Makkah. Nama beliau amat jarang dikenali oleh masyarakat kini berbanding para sahabat lain, sedangkan beliau merupakan salah seorang yang dijamin oleh Baginda akan masuk syurga bersama sembilan orang sahabat lain.

Terdapat 10 orang sahabat diberikan berita gembira iaitu jaminan dimasukkan ke dalam syurga Allah di akhirat kelak dan dikenali sebagai "Mubashsharin bi al-Jannah". Sudah tentu mereka memiliki keistimewaan kerana tergolong dalam jaminan Nabi Muhammad s.a.w.


Profil Talhah Bin Ubaidillah

Nama penuh beliau ialah Talhah bin Ubaidillah bin Uthman bin 'Amru bin Ka'ab bin Sa'ad bin Taym bin Murrah. Berasal daripada suku Taym bin Murrah. Sering disebut sebagai Talhah al-Quraishi al-Taymi. Memiliki 14 orang cahaya mata; 10 lelaki dan 4 perempuan. Kesemua anak lelakinya dinamakan dengan nama para nabi bertujuan mendapat keberkatan para nabi dan mengikut langkah mereka. Anak perempuannya bernama Aisyah berkahwin dengan Zubair bin al-"Awwam. Manakala seorang anak perempuannya bernama Ummi Ishaq dikahwinkan dengan cucu Nabi Muhammad s.a.w. iaitu Hasan bin Ali. Meninggal dunia pada tahun ke-36 Hijrah pada usia 60 tahun ketika pulang dari medan peperangan Jamal kerana dipanah oleh pasukan pimpinan Marwan bin al-Hakam.


Bertemu Seorang Pendeta

Talhah bin Ubaidillah memeluk Islam sewaktu beliau menyertai satu rombongan perjalanan ke Basrah. Seorang Nasrani datang menemui rombongan itu dan bertanya: "Siapakah dalam rombongan ini datang dari Tanah Haram (Makkah)?"

Anggota rombongan kehairanan dengan soalan tersebut dan memikirkan tujuan soalan tersebut diajukan. Tiba-tiba, Talhah bin Ubaidillah tampil dan berkata: "Ya, saya."

Pendeta tersebut bertanya kepadanya: "Adakah ada seorang lelaki bernama Ahmad sudah diisytiharkan di sana?"

Talhah bertanya kembali: "Siapa Ahmad? Nama seperti itu belum pernah kami dengar."

Pendeta Nasrani menjelaskan: "Ahmad merupakan putera kepada Abdullah bin Abdul Mutalib. Sudah tiba waktu perutusannya. Beliau merupakan penutup sekalian nabi dan rasul yang akan lahir di Tanah Haram (Makkah), kemudian dia akan berhijrah ke Yathrib (Madinah). Aku berpesan agar kamu jangan tinggal daripada mengikutinya ke sana."

Mendengar penjelasan pendeta Nasrani tersebut, Talhah tertarik untuk bertemu lelaki yang disebutkan. Sekembalinya ke Makkah, beliau terus bertanya kepada teman-temannya mengenai lelaki yang bernama Ahmad sebagaimana yang diceritakan oleh pendeta Nasrani itu.

Mengetahui Talhah sedang mencari Nabi Muhammad s.a.w. yang disebutkan oleh pendeta Nasrani sebagai Ahmad, lantas Abu Bakar menemuinya lalu menceritakan mengenai kenabian Nabi Muhammad s.a.w. Akhirnya Talhah meminta Abu Bakar membawanya menemui Nabi s.a.w. untuk menyatakan keislamannya.

Kisah pengislaman Talhah mengambarkan bahawa keimanan beliau sudah terbit di hati sejak bertemu pendeta Nasrani lagi sebelum lisannya mengatakan keimanan ketika berjumpa Nabi Muhammad s.a.w. Beliau memeluk Islam menerusi jasa Abu Bakar selain Uthman bin 'Affan, Sa'ad bin Abi Waqqas, Zubair bin al-'Awwam dan lain-lain.


Beriman Walau Ditentang Ibu

Ketika di Makkah, Talhah menerima seksaan dan ujian kerana keislamannya, sebagaimana yang dihadapi oleh beberapa sahabat. Bahkan beliau  dan Abu Bakar pernah ditangkap oleh Nawfal Bin Khuwailid bersama gerombongannya dan diikat dengan tali kerana mereka memeluk Islam.

Lebih memilukan apabila ibunya sendiri menghalang beliau dan memaki hamunnya hanya disebabkan beliau memilih Islam. Perasaan kasih sayang yang wujud dalam diri ibunya bertukar benci dan menjadi musuh kepadanya.

Mas'ud bin Kharrash r.a meriwayatkan bahawa ketika beliau melalui di antara bukit Safa dengan bukit Marwah, beliau melihat sekumpulan manusia datang dan menangkap seorang pemuda lalu mengikat tangannya di belakang lehernya.

Melihat perkara tersebut, Mas'ud bertanya: "Siapakah pemuda ini yang kamu lakukan seumpama seorang hamba abdi?"

Kumpulan tadi menjawab: "Inilah Talhah anak si Ubaidillah. Ini merupakan balasan bagi mereka yang berani menukar agamanya."

Selain itu, Mas'ud turut terlihat seorang perempuan di belakang Talhah yang terus menerus mencaci dan memaki hamunnya. Wanita tersebut rupanya adalah ibu kandung Talhah!

Walaupun menerima seksaan dan dimaki oleh ibu sendiri, Talhah tetap teguh atas landasan iman. Beliau memiliki keimanan yang tinggi tanpa mempedulikan seksaan yang datang dari segenap sudut.


Mendapat Pahala Badar al-Kubra

Ketika berlaku peperangan Badar al-Kubra pada tahun ke-2 Hijrah, Talhah merupakan antara sahabat yang tidak berada di medan perang. Bukan disebabkan beliau enggan atau beralasan lain, namun beliau mempunyai tugasan lain yang diperintahkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. untuk dilaksanakan.

Nabi Muhammad s.a.w. mengarahkan Talhah dan Sa'ad bin Zaid untuk pergi mengintip kafilah atau kumpulan besar milik peniaga Quraisy di Makkah bahawa kafilah tersebut akan melewati kawasan berdekatan dengan Madinah. Sebaik tiba di tempat yang ditugaskan, kebetula kafilah telah pergi dari tempat tersebut. Mereka berdua bergegas pulang ke Madinah bagi melaporkan perkara tersebut kepada Baginda s.a.w.

Sebaik sahaja tiba di Madinah, mereka mendapati Nabi Muhammad s.a.w. dan tentera Islam sudah menuju ke Badar. Mereka terus mengejar Baginda s.a.w. sehingga ke medan perang. Walaupun begitu, mereka tidak berkesempatan menyertai peperangan kerana peperangan sudah tamat sebaik mereka tiba.

Melihat semangat juang yang mereka miliki dan sifat amanah dalam melaksanakan gerak kerja, Nabi s.a.w. menyatakan mereka tetap memperolehi pahala sebagaimana tentera Islam al-Kubra. Bahkan, mereka turut menerima agihan harta rampasan perang.


Pahlawan Syahid Yang Hidup

Walaupun Talhah belum gugur syahid dalam medan peperangan, Nabi s.a.w. sudah menggelarnya sebagai pahlawan syahid. Sayidatina Aisyah r.ha. meriwayatkan bahawa ketika Nabi s.a.w. bersama-sama para sahabat di ruang tamu, beliau yang berada di dalam bilik mendengar Baginda bersabda apabila Talhah datang kepada mereka, maksudnya: "Sesiapa yang mahu melihat seorang lelaki yang telah syahid berjalan di atas muka bumi, maka lihatlah kepada Talhah."

Dalam satu riwayat lain, seorang lelaki Badwi datang kepada Nabi Muhammad s.a.w. lalu bertanya mengenai rupa orang yang gugur syahid. Baginda berat untuk menjawab sehingga lelaki Badwi tersebut bertanya tiga kali soalan yang sama. Akhirnya, Baginda menjawab yang bermaksud: "Itu orangnya," Sambil menunjukkan kepada Talhah.

Ibn Abbas meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda kepada Talhah yang bermaksud: "Engkau sentiasa dalam penjagaan dan pemeliharaan Allah sehingga engkau menemui-Nya."


Geroda Uhud

Dalam peperangan Uhud, ketika keadaan tentera Islam kucar-kacir disebabkan tentera pemanah yang berada di atas bukit meninggalkan posisi mereka, tentera Musyrikin bawah pimpinan Khalid al-Walid (sebelum memeluk Islam) mengambil peluang itu dengan melancarkan serangan semula dan berusaha membunuh Nabi Muhammad s.a.w.

Melihat keadaan Baginda yang menjadi sasaran pihak musuh, Talhah menghampiri Baginda dan menjadikan dirinya sebagai benteng untuk mempertahankan Baginda daripada dicederakan oleh pihak musuh.

Bahkan ketika Baginda terjatuh ke dalam lubang yang digali oleh pihak musuh, Ali bin Abu Talib dan Talhah bergegas menuju ke lubang tersebut bagi menarik keluar Baginda s.a.w. Puteri Talhah menceritakan bahawa ayahnya menderita sakit disebabkan luka parah dalam peperangan Uhud. Luka tersebut berada di 24 tempat pada tubuh badannya.

Diriwayatkan bahawa Talhah bermandi darah dalam peperangan Uhud. Beberapa orang para sahabat disuruh oleh Nabi s.a.w untuk merawat Talhah. Mereka mendapati luka di tubuhnya berjumlah sekitar 77 kecederaan dan luka kesan tikaman dan sebatang jarinya telah kudung.

Setelah tamat peperangan Uhud, Baginda menemui Talhah lalu menyapu tangan Baginda ke atas tubuh badan beliau yang dipenuhi dengan luka sambil berdoa: "Ya Allah, sembuhkan luka-luka Talhah dan sihatkan dia dengan segera."

Baginda turut memberi penghormatan kepada Talhah atas pengorbanannya yang besar dalam perang Uhud dengan gelaran "Geroda Uhud".


MUHAMMAD ZUHAILI SAIMAN
Dipetik daripada Majalah Solusi
Kerana minat yang mendalam pada Majalah Solusi yang dilihat
bersesuaian dengan semua peringkat umur mahupun latar belakang masyarakat kini,
maka DKM Sabah berminat untuk memetik 1 atau 2 artikel keluaran Solusi
Sebagai usaha dakwah kepada semua masyarakat


No comments:

Post a Comment