KEPENTINGAN SOLAH (BAHAGIAN PERTAMA)


KELEBIHAN SOLAH

HADITH 1

Diriwayatkan daripada Hazrat ‘Abdullah bin ‘Umar r.anhuma katanya Rasulullah s.a.w bersabda, “Islam dibina atas lima (rukun). Bersaksi bahawasanya tiada Tuhan selain Allah s.w.t dan Muhammad adalah hambaNya dan RasulNya, mendirikan solah, mengeluarkan zakat, menunaikan haji dan berpuasa pada bulan Ramadhan.” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)


Keterangan

Kelima-lima perkara di atas merupakan asas Islam yang unggul dan rukun yang penting. Dalam hadith ini, Nabi s.a.w mengibaratkan Islam sebagai sebuah khemah yang ditegakkan oleh lima (5) batang tiang. Tiang tengah ialah kalimah syahadah, sementara keempat-empat tiang diempat penjuru khemah itu merupakan empat lagi rukun Islam yang lain. Tanpa tiang tengah, khemah tersebut tidak boleh ditegakkan sama sekali. Jika khemah itu ada tiang tengah dan salah satu daripada empat tiang tadi tidak ada maka khemah itu masih dapat ditegakkan tetapi penjuru yang tiada tiang itu akan cacat dan condong. Setelah mengetahui sabdaan Nabi s.a.w yang tersebut, kini marilah kita sama-sama menyemak diri kita sendiri sejauh manakah teguhnya khemah yang telah kita dirikan itu dan rukun Islam yang manakah telah dapat kita jaga dengan sempurna? Sebenarnya kelima-lima rukun Islam tersebut amat penting sehingga dijadikan sebagai asas Islam. Sebagai seorang Islam, kita sangat perlu mengambil berat terhadap kesemua rukun Islam itu tetapi amalan yang terpenting sesudah iman ialah solah.

Hazrat ‘Abdullah bin Mas’ud r.a berkata bahawa beliau bertanya kepada Rasulullah s.a.w, “Amalan manakah yang paling disukai oleh Allah s.w.t ?” Baginda menjawab, “Solah”. Saya bertanya lagi, “Selepas solah apa pula?” Jawab Baginda s.a.w “Berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa.” Saya bertanya lagi, “selepas itu apa pula?” Rasulullah s.a.w bersabda, “Jihad”. Mulla ‘Ali Qari rah. Berkata bahawa hadith ini menjadi dalil bagi pendapat ulama yang menegaskan bahawa solah adalah amalan yang paling afdal selepas iman. Pendapat ulama tersebut dikuatkan lagi dengan sebuah hadith sahih yang berbunyi,
yakni, sebaik-baik amalan yang diperintahkan oleh Allah s.w.t kepada hambaNya adalah solah.

Tentang solah yang merupakan amalan paling afdal antara semua ibadah yang lain, diterangkan dengan jelas dalam banyak hadith sahih. Antara hadith tersebut ada yang terkandung dalam kitab ‘Jamiu’ Saghir’
seperti yang diriwayatkan oleh lima orang sahabat iaitu, Hazrat Thauban , Hazrat Ibnu ‘Amr r.anhuma, Hazrat Salamah, Hazrat Abu Umamah dan Hazrat ‘Ubadah r.a. Diriwayatkan daripada Hazrat Ibnu  Mas’ud r.a dan Hazrat Anas r.a bahawa amalan yang terbaik ialah mengerjakan solah tepat pada waktu solah
Diriwayatkan juga daripada Hazrat Ibnu ‘Umar r.anhuma dan Hazrat Ummi Fardah r.anha bahawa amalan yang paling baik ialah solah pada awal waktu. 

No comments:

Post a Comment