19 terselamat pesawat masuk longkang

Dipetik: BHarian



Pesawat Twin-Otter milik Syarikat MASwings tergelincir ke dalam longkang ketika mendarat di lapangan Terbang Marudi, semalam. - Foto ihsan pembaca NSTP

Miri: Dua juruterbang serta 17 penumpang terselamat selepas sebuah pesawat ringan jenis Twin-Otter milik MASwings tergelincir dengan bahagian depannya terperosok ke longkang, ketika mendarat di landasan terbang Marudi, semalam.

Dalam kejadian jam 2.33 petang, pesawat 19 penumpang yang berlepas dari Lapangan Terbang Miri pada jam 2.19 petang sedang membuat pendaratan, tetapi terbabas dan tergelincir pada jarak 40 meter dari landasan ke longkang.
Ketua Polis Daerah Marudi/Baram, Deputi Superintendan Abu Bakar Mokhtar, berkata keadaan cuaca baik ketika pesawat MH3562 berkenaan mendarat.

Terjunam dalam longkang

“Akibat kejadian berkenaan, pesawat membawa penumpang berusia 20 hingga 40-an menjunam ke dalam longkang berhampiran,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, semua penumpang dilaporkan selamat, namun seorang penumpang wanita berusia 26 tahun dilaporkan cedera di kaki kanan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di sebuah klinik di Marudi.

“Sehingga kini, Lapangan Terbang Marudi masih ditutup bagi membolehkan kerja mengalihkan pesawat itu dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam MASwings, Melissa Crocker, dalam satu kenyataan berkata, semua penumpang terselamat dalam kejadian itu.

Beliau berkata, pihaknya akan menghantar satu pasukan dari Miri untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

  

No comments:

Post a Comment