TEKS BAJET 2013 NEGERI SABAH (2)



Sambungan: Teks Bajet 2012 Negeri Sabah


Pembangunan Modal Insan Dan ICT

Tuan speaker,

Modal Insan
Sesungguhnya  Kerajaan  amat  menitikberatkan   pembangunan Modal  Insan.  Modal  Insan  yang berkualiti,  yang  berkemahiran  dan terlatih adalah amat penting untuk memastikan pembangunan negeri ini berjalan lancar. Pada tahun 2013, Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM261.27  juta  untuk melaksanakan  program-program  latihan  untuk semua  golongan rakyat khususnya belia. Kajian Sabah Manpower Planning  Requirement  2010-2025  Fasa  2  yang  akan  dilaksanakan bertujuan  untuk merangsang  pembangunan  modal  insan  yang  lebih kompeten dan memenuhi keperluan industri dan pembangunan negeri.

Dalam   memupuk   minat   membaca   di   kalangan   masyarakat, Kerajaan  akan  terus  mempergiat dan   memantapkan  pelaksanaan program dan aktiviti ke arah  meningkatkan mutu perkhidmatan dalam bidang  keilmuan   untuk   pelbagai  golongan  masyarakat.  Sebanyak RM18.9 juta diperuntukkan kepada Jabatan Perpustakaan Negeri untuk memantapkan dan meningkatkan koleksi perpustakaan sesuai  dengan keperluan maklumat kepada rakyat.

Kerajaan   juga   akan   membina   beberapa   buah    bangunan Perpustakaan baru pada tahun hadapan, antaranya di  Tambunan dan Kota Kinabalu.  Cadangan pembinaan  Perpustakaan baru Wilayah Kota Kinabalu yang canggih, bercirikan teknologi hijau dan mesra pengguna, dianggarkan menelan belanja dalam lingkungan RM40 juta. Pembiayaan bagi   pembinaannya   adalah   secara   pembiayaan   bersama antara Kerajaan dengan syarikat konsesi air, Lahad Datu Water Supply Sdn. Bhd, yang merupakan suatu tanggungjawab sosial korporat syarikat berkenaan.   Bangunan perpustakaan tersebut yang bakal dibina bersebelahan dengan pusat riadah Taman Perdana Tanjung Aru, akan menjadi pusat tumpuan ramai, sama ada mereka yang datang untuk beriadah atau menimba ilmu pengetahuan di perpustakaan yang moden itu.

Sebagaimana yang kita ketahui,  Kementerian Pelajaran Malaysia menyediakan  Skim  Bantuan  Buku Teks  untuk  subjek  akademik  di semua sekolah rendah dan menengah.   Oleh  kerana sekolah agama islam  yang  ditadbir  oleh  kerajaan  negeri  tidak  diliputi  dalam  skim tersebut,  maka  saya mencadangkan  peruntukan  berjumlah  RM3.625 juta dalam  Bajet  2013 bagi pembelian buku teks untuk kegunaan sekolah agama Islam di Sabah.   Disamping itu, kerajaan juga  akan mengkaji masalah kekurangan guru-guru agama untuk sekolah-sekolah agama di Sabah.

Pembangunan ICT

Tuan Speaker,
Sebanyak RM73.49 juta disediakan untuk pembangunan ICT pada tahun 2013. Seiring dengan kemajuan teknologi masakini,  penumpuan dan  penekanan akan terus  diberikan  untuk  mempertingkatkan kualiti perkhidmatan  maklumat  khusus  untuk   memenuhi  permintaan  yang meningkat  daripada  masyarakat yang  mendambakan  maklumat  dan ilmu dengan cepat dan  efisien. Dengan peruntukan sebanyak RM28juta, kerajaan akan meneruskan usaha untuk merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar melalui penganjuran Latihan dan Kursus ICT;  Program memperkasakan Usahawan Tekno serta Program Kreatif Arama-IT di semua daerah.  Satu kajian awal mengenai pewujudan Knowledge   Park   juga akan   dijalankan.   Di   samping   itu,   usaha peningkatan rangkaian Sabah.Net ke semua pejabat Kerajaan di seluruh negeri akan diteruskan. Untuk itu, sejumlah RM29.5 juta diperuntukkan bagi meneruskan Program E-government.

Pembangunan Belia dan Sukan
Negeri Sabah aman sentosa
Masyarakat hidup seia sekata
Belia progresif harapan bangsa
Mereka pewaris negeri tercinta
Tuan Speaker,
Dalam    Bajet  2013,  sebanyak  RM80.07  juta  disediakan  untuk program pembangunan belia dan sukan di bawah  Kementerian Belia dan Sukan. Dengan memfokuskan kepada  pembangunan sukan untuk semua   dan   sukan   berprestasi   tinggi,   teras   utama   Perkhidmatan Pembangunan Kecemerlangan   Sukan   adalah:   Penglibatan      aktif Persatuan  Sukan  Peringkat  Negeri; Pengukuhan Sukan  Berprestasi Tinggi;   Pembangunan Industri Sukan; Pembangunan Kejurulatihan dan Kepegawaian Sukan,   serta penyediaan  kemudahan dan kelengkapan sukan. Ini adalah seiring dengan  harapan kerajaan untuk mewujudkan generasi yang terdiri daripada ahli sukan yang mampu mengharumkan nama negeri dan negara di persada sukan kebangsaan dan juga antarabangsa.

Tuan Speaker,
Kerajaan menyedari hakikat bahawa belia adalah aset  terpenting dan pewaris pucuk kepimpinan negeri di masa hadapan. Komuniti belia adalah kelompok terbesar yang berpotensi memacu  pembangunan  dan kemakmuran    negeri  khususnya  dan  negara  amnya.    Justeru,    kita mempunyai  tanggungjawab  untuk menyediakan  landasan  dan  asas yang   kukuh serta persekitaran yang kondusif untuk mencetuskan transformasi  pembangunan  belia  perkasa  dan  modal  insan   yang mempunyai mindset yang tepat. Peruntukan sebanyak  RM14.46 juta disediakan   kepada   Kementerian   Belia   dan   Sukan khusus bagi pelaksanaan pelbagai program  pembangunan belia pada tahun 2013, seperti  Program Pembangunan  Kepimpinan,  Program  Pembangunan Kemahiran   dan  Keusahawanan;  Program Jaringan Kerjasama  dan Program   Pembangunan   Sosial   dan   Perpaduan.      Kerajaan   juga menyediakan peruntukan sebanyak RM240.68 juta untuk  pelaksanaan pelbagai program yang melibatkan belia yang akan  dilaksanakan oleh kementerian   dan  jabatan   lain  seperti   Kementerian Pembangunan Sumber dan  Teknologi  Maklumat,   Jabatan  Pembangunan  Sumber Manusia, Jabatan Pertanian dan lain-lain lagi.

Pembangunan Sosial Dan Kebajikan Am

Tuan Speaker,
Kerajaan juga amat prihatin untuk meringankan beban rakyat yang memerlukan bantuan.  Bajet 2013 memperuntukkan sejumlah RM87.05 juta untuk membiayai program Pembangunan Sosial dan Kebajikan Am serta  pelaksanaan  pelbagai  skim  bantuan  kepada  rakyat.  Daripada jumlah  tersebut,  sebanyak RM57.95  juta  disalurkan  kepada  Jabatan Perkhidmatan   Kebajikan  Am  Sabah  untuk melaksanakan pelbagai program  seperti  Skim  Bantuan  Am,  Skim  Bantuan  Anak  Yatim  dan Miskin, bantuan untuk orang kurang upaya dan kanak-kanak istimewa, bantuan   alat-alat   ortopedik,   tabung   derma   dan penyelenggaraan bangunan warga emas.

Pembangunan Wanita
Bersukaria di kebun nyonya
Bawa sejambak bunga Melati
Golongan wanita apa kurangnya
Sentiasa menyumbang menabur bakti

Sumbangan wanita memberi impak yang besar dalam  pelbagai aspek pembangunan negeri. Sebagai sumber modal insan yang penting, kerajaan adalah komited dalam usaha memperkasa kaum wanita yang meliputi semua golongan  termasuklah ibu-ibu tunggal, ibu-ibu bekerja, suri rumah dan pelajar. Melalui jentera sedia ada termasuk pertubuhan atau persatuan-persatuan wanita, pelbagai program telah dirancang untuk dilaksanakan supaya wanita terus aktif dalam pembangunan dan memacu pertumbuhan ekonomi di negeri ini. Bajet 2013 memperuntukkan  sebanyak  RM10.96  juta  untuk  melaksanakan program-program pembangunan wanita. Program-program kepimpinan, keusahawanan, keilmuan, perundangan, akan terus dilaksanakan di samping memperkukuh aspek kesihatan dan sosio-ekonomi golongan wanita. Kerajaan telah menyediakan pelbagai bentuk sokongan merangkumi bantuan kewangan, khidmat bimbingan dan nasihat serta kemudahan berniaga  dan perlindungan untuk kesejahteraan wanita.

Kuasa Tempatan

Tuan Speaker,
Dalam Bajet 2013, peruntukan sejumlah RM109.08 juta disediakan kepada  Pihak  Berkuasa Tempatan. Daripada   jumlah  peruntukan tersebut, sebanyak RM76.88 juta adalah  untuk perbelanjaan di bawah perbekalan dan RM32.2 juta untuk  program pembangunan. Kerajaan akan memastikan peruntukan yang disediakan ini dibelanjakan dengan lebih berhemat dan  menumpukan kepada enam strategi utama iaitu: Memantapkan    pembangunan   dan   penyediaan   infrastruktur serta kemudahan-kemudahan asas;  Meningkatkan  program  sosio-ekonomi untuk  membantu  golongan kurang  bernasib   baik; Memartabat  dan memperkasakan   Institusi   Mahkamah    Anak   Negeri;   Menyediakan program-program perumahan  untuk  golongan berpendapatan rendah; dan Membangunkan pekan-pekan baru di beberapa daerah.

Kerajaan   juga   akan   mengkaji   semula   keberkesanan    dan seterusnya   mengemas   kini   Pelan Struktur   Sabah   2020   sebagai instrumen meminda-arah pembangunan secara  makro di Sabah serta menjalankan  kerja  dan  menyediakan   dasar  dan  strategi  mengenai Pengurusan Zon (Zone Management) untuk memastikan habitat  dan khazanah alam  semulajadi di sepanjang kawasan pesisir pantai dan negeri ini sentiasa terpelihara dan terjamin selamat.

Badan Berkanun, Syarikat Kerajaan Negeri Dan Syarikat Berkaitan Kerajaan

Tuan Speaker,
Setakat hari ini, dividen yang diterima oleh Kerajaan Negeri ialah sebanyak  RM655.91  juta.  Antara badan  berkanun   negeri,   syarikat kerajaan negeri dan syarikat berkaitan kerajaan negeri  yang membayar dividen  pada  tahun  2012  ialah   Kumpulan  Sawit  Kinabalu,  Sabah Development Bank   Berhad,    Innoprise    Corporation    Sdn.    Bhd, Perbadanan Pinjaman Sabah, Warisan Harta Sabah Sdn. Bhd., Sabah Energy  Corporation Sdn. Bhd., Progressive Insurance Berhad, Saham Sabah Berhad, Desa Plus Sdn. Bhd.; Desa Lestari Sdn. Bhd. dan Suria Capital  Holdings  Bhd.  Saya  amat berbangga kerana  mereka  telah menunaikan   dan   melaksanakan   tanggung   jawab   mereka   kepada kerajaan. Untuk  itu,  sukacita  saya   mengucapkan  syabas  kepada syarikat-syarikat yang telah saya sebutkan tadi.  Saya menjangkakan beberapa agensi yang  lain juga akan mengisytiharkan dividen kepada kerajaan negeri sebelum penghujung tahun ini.

Dalam usaha berterusan untuk menerapkan amalan baik  tadbir urus korporat, kursus untuk ahli lembaga pengarah yang  pertama kali dianjurkan oleh Kementerian Kewangan Negeri Sabah pada tahun 2011, kini dijadikan   program   tahunan.    Program   ini   bertujuan   untuk memperkasakan   dan  meningkatkan kefahaman   serta   keupayaan (capability)  ahli-ahli tentang hala tuju dan pengurusan strategik badan berkanun selaras dengan amalan terbaik (best practices) tadbir  urus korporat

Tuan Speaker,
Selain  itu,  Jawatankuasa  Polisi  dan  Pengawasan  Tadbir  Urus Korporat untuk Badan Berkanun Negeri telah ditubuhkan dan berfungsi sepenuhnya. Jawatankuasa ini bertujuan untuk menilai kesesuaian dan seterusnya mencadangkan kajian semula  ke atas enakmen, pekeliling dan   garispanduan   yang sedang  digunapakai   oleh   Badan-badan Berkanun Negeri. Ini adalah  selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menambahbaik tadbir urus badan berkanun negeri.

Tuan Speaker,

Pengumuman Khas
Terdapat sepotong pepatah Melayu lama yang berbunyi "Sebahar Budi Kedapatan, Sepanjang Hayat DiSanjung Kenang". Justeru saya gembira kerana Ahli-ahli Yang Berhormat, khususnya para wakil rakyat Barisan Nasional telah menjalankan tanggungjawab mendengar, menyuarakan, memperjuangkan dan seterusnya sentiasa berusaha untuk mengatasi setiap permasalahan masyarakat di kawasan yang mereka wakili. Saya juga amat berterima kasih kepada setiap peringkat kepimpinan masyarakat seperti Pengerusi JKKK/JKDB, Ketua-ketua Daerah, Ketua-ketua Anak Negeri, Ketua-ketua Kampung, Ketua-ketua Masyarakat Cina, Ketua-ketua Agama, Kepimpinan Belia dan Wanita serta seterusnya kalangan masyarakat yang sentiasa berjuang bersama wakil rakyat Barisan Nasional untuk membangunkan negeri Sabah yang kita cintai ini. Oleh yang demikian, sebagai salah satu pemangkin kejayaan dalam melaksanakan pembangunan dan sebagai kesinambungan usaha membantu meringankan bebanan rakyat di setiap kawasan, maka saya mencadangkan supaya Peruntukan Khas sejumlah RM1 juta dikekalkan kepada setiap kawasan Dewan Undangan Negeri. Di samping itu, melalui Bajet 2013 ini, sukacita saya mencadangkan agar peruntukan Sentuhan Kasih sebanyak RM500 ribu diagihkan sekali lagi kepada setiap kawasan Dewan Undangan Negeri. Semoga inisiatif murni ini akan menyemarakkan lagi semangat dan iltizam Ahli-ahli Yang Berhormat untuk terus berkhidmat dan berbakti kepada rakyat, khususnya terhadap golongan akar umbi yang kita kasihi.


"Umpama aur dengan tebing" demikianlah kata  perumpamaan untuk  menggambarkan  hubungan  baik dan  jalinan  kerjasama  antara pemimpin kerajaan dengan para  penjawat awam.   Jika tidak kerana penjawat  awam,  maka  tiadalah  pelaksana  atau  penggerak  program- program   pembangunan   yang kita   rancangkan.      Penjawat   awam merupakan tonggak utama dan nadi dalam pengurusan negeri ini. Jasa dan sumbangan mereka amat dihargai dan disanjung  tinggi. Justeru, bagi menghargai penat lelah serta pengorbanan mereka selama ini, dan sebagai suatu suntikan semangat agar  mereka terus berkhidmat dan berbakti dengan lebih  berdedikasi,  beramanah dan berintegriti, maka setiap penjawat awam yang berjasa ini sewajarnya diberikan ganjaran yang sepadan dan setimpal. Selain daripada pemberian bonus setengah bulan gaji yang telah dibayar pada bulan Ogos yang lepas, maka saya dengan sukacitanya mengumumkan pemberian bonus satu bulan gaji lagi kepada mereka. Pembayaran Bonus ini akan dilaksanakan dengan dua kali ansuran iaitu  pada bulan Disember tahun ini dan Januari 2013. Inilah kelebihan dan keistimewaan Kerajaan Barisan Nasional, Kerajaan yang  prihatin,  jujur dan  ikhlas  dalam  perjuangan,  telus  dan  realistik dalam pentadbiran.  Kebolehpercayaan inilah yang menjadikan Barisan Nasional sebuah parti dan Kerajaan yang menjadi pilihan dan harapan rakyat pada keseluruhannya.


Tuan Speaker,
Dengan mengambil kira kenaikan harga kenderaan pada masa ini dan   bagi   memberi   peluang   dan kemampuan    kepada   anggota perkhidmatan awam untuk memiliki  kenderaan,  maka had kelayakan maksima Skim Kemudahan Pinjaman Kenderaan anggota perkhidmatan awam negeri perlulah  disemak semula. Sehubungan dengan itu, saya mencadangkan agar had pinjaman maksima bagi pembelian kenderaan oleh anggota perkhidmatan awam negeri dinaikkan antara 15 hingga 33 peratus mengikut kategori pegawai. Selain itu, kadar faedah  pinjaman juga akan diturunkan daripada 4 kepada 3 peratus  dan  had maksima tempoh pinjaman dipanjangkan daripada tujuh kepada sembilan tahun, berkuatkuasa mulai 01 Januari 2013.

Mari melancong ke Pantai Timur, Bersama keluarga membeli belah, Negeri ditadbir aman dan makmu, Penjawat awam tetap dibela!

PENUTUP

Tuan Speaker,
Seperti mana yang saya sebutkan tadi, sesungguhnya Bajet 2013 adalah merupakan bajet yang terbesar dalam sejarah  negeri Sabah. Rakyat   perlu   menghakimi      dan  menilai   secara   jujur   dan   ikhlas kemampuan  dan  prestasi  Kerajaan  Barisan  Nasional  yang  sentiasa berhati-hati,  berhemat  dan  telus dalam    mengurus  kewangan negeri Sabah.   Oleh yang  demikian, saya ingin mengimbau dan menyoroti prestasi  pengurusan kewangan negeri Sabah bagi tempoh 12   tahun yang lepas.

Pada tahun 2001 Akaun Hasil Disatukan hanya  berjumlah   lebih kurang RM100 juta sahaja. Teringat saya pada suatu  ketika  dahulu di mana kita tidak berupaya untuk membayar  kenaikan gaji dan bayaran bonus kepada anggota perkhidmatan awam negeri sebagaimana yang dilakukan    oleh Kerajaan     Persekutuan.    Alhamdullillah,    dengan Pengurusan  Bajet  dan  Pengurusan  Hasil  yang berhemat  dan  bijak, Akaun Hasil Disatukan telah meningkat dari tahun ke tahun dan semakin kukuh. Pada  tahun  2011,  Akaun  Hasil  Disatukan  telah  meningkat kepada RM3.3 bilion dan ini merupakan catatan tertinggi dalam sejarah kewangan negeri Sabah.

Kedudukan  hasil  pada  awal  tahun  2001  pula  ialah  sebanyak RM1.2 bilion sahaja. Hasil tahun 2011 telah meningkat empat kali ganda iaitu  mencecah  jumlah  RM4.4  bilion.  Untuk  makluman  Dewan yang mulia ini, jumlah hasil yang telah dikutip sejak tahun 2001 hingga tahun 2011 adalah berjumlah RM28.14 bilion.

Tuan Speaker,
Manakala bagi  rekod perbelanjaan negeri pula, pada tahun 2001 jumlah perbelanjaan  hanya berjumlah RM1.15 bilion sahaja. Sejak dari itu perbelanjaan negeri terus meningkat dari tahun ke  tahun sehingga mencecah  RM4.36  bilion  pada  tahun  2011.     Ini  membawa  jumlah keseluruhan   Perbelanjaan sepanjang    tempoh   tersebut   sebanyak RM24.93 bilion.  Walaupun dengan perbelanjaan yang meningkat setiap tahun  namun  kita  masih       berjaya       mengukuhkan    Akaun  Hasil Disatukan negeri melebihi  RM3 bilion.

Dengan  izin  Allah  SWT  dan  dengan  sokongan  padu   serta dukungan rakyat Sabah khasnya dan Malaysia amnya,  alhamdullillah, Kerajaan  Barisan  Nasional  telah  melakarkan  sejarah kegemilangan seperti yang dijelaskan tadi.  Rakyat sendiri boleh menilai prestasi dan kecemerlangan yang dihasilkan oleh kerajaan Barisan Nasional selama ini.

Tuan Speaker,


Kerajaan Barisan Nasional adalah kerajaan yang prihatin dan peka terhadap keperluan dan kehendak rakyat. Tidak akan wujud Kerajaan ini jika tidak dengan sokongan dan dukungan rakyat. "Umpama air dicincang tidak akan putus, ibarat isi dengan kuku" – demikianlah dekatnya kerajaan dengan rakyat dan rakyat dengan kerajaan.

Namun Kerajaan sedar akan wujudnya dalang-dalang tertentu yang sentiasa menghasut, mengadu domba dan mengapi-apikan rakyat, supaya rakyat membenci dan memusuhi Kerajaan dengan membuat tuduhan, tohmahan, hasutan serta menabur fitnah. Niat jahat mereka ini termasuklah yang disebarkan menerusi media siber dengan tujuan untuk menjatuhkan pemimpin dan kerajaan. Ini ditambah lagi dengan janji-janji manis pembangkang melalui pembentangan bajet mereka yang bercita-cita besar atau ‘ambitious’ kononnya Sabah akan menikmati kadar royalti minyak yang berlipat kali ganda serta pelbagai janji kosong yang mengasyikkan. Hakikatnya janji-janji populist itu bukan sahaja tidak realistik dan tidak berpijak di bumi nyata umpama angan- angan Mat Jenin yang boleh memufliskan serta menghancurkan masa depan negeri dan negara, akibatnya rakyat juga yang akan sengsara dan menderita.

Apa diharap padi seberang Padi,
disemai rosak binasa,

Apa diharap pada pembangkang Janji,

manisnya bohong belaka.


Apa diharap padi seberang,
Tidak berisi bertangkai condong,
Apa diharap pada pembangkang,
Bercakap bohong berjanji kosong.


Tuan Speaker,
Kerajaan Barisan Nasional tidak menjanjikan bulan dan  bintang. Kerajaan Barisan Nasional juga tidak berani berjanji kepada rakyat jika kerajaan   tidak   mempunyai   kesanggupan   atau   kemampuan  untuk menunaikan janji.   Lagi pun, apa guna berjanji jika tidak boleh ditepati? Kita berjanji berdasarkan  keupayaan dan pertanggungjawaban. Walhal pembangkang   berjanji   hanya   untuk   menyedapkan telinga   rakyat sedangkan janji mereka adalah janji palsu yang sebenarnya  mustahil untuk dipenuhi.

Tuan Speaker,
Rakyat adalah segala-galanya dalam perjuangan ini.   Rakyatlah yang menentukan jatuh bangunnya sesebuah  kerajaan.   Pada masa sama, negeri tercinta ini adalah warisan turun temurun yang wajib dijaga dan  dipelihara  daripada  para  petualang  yang  ingin  menghancurkan segala kemajuan dan pencapaian yang  telah kita  bina  sejak  sekian lama.

Kita akan pastikan bahawa keharmonian, keamanan, kemakmuran dan kemajuan pesat yang sedang kita nikmati kini kekal terpelihara demi masa depan anak-anak dan cucu cicit kita.  Tidak ada lagi warisan yang paling berharga untuk kita  hadiahkan  kepada generasi akan datang, melainkan sebuah daerah, negeri dan negara yang aman sentosa, maju dan   permai, yang dapat menjamin sebuah masa depan yang menjanjikan  kemakmuran  dan  kebahagiaan  yang  berkekalan   hasil daripada titik peluh serta perjuangan bangsa yang  merdeka,  berdaulat dan berjaya.

Tuan Speaker,
Sempena   pembentangan   Bajet   ini   juga,   saya    mengambil kesempatan untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak; para pemimpin, warga perkhidmatan awam, sektor swasta,  NGOs  dan  seluruh  lapisan rakyat  di seluruh pelosok negeri  ini  di  atas sokongan,  kerjasama  dan  muafakat  yang  telah diberikan   sehingga  kita  berupaya  melonjakkan pembangunan  dan kemajuan negeri Sabah ke tahap yang membanggakan pada hari ini.

Sesungguhnya, kami sedar dan menginsafi betapa rakyat  telah memberikan harapan tinggi dan mandat besar kepada kita dalam PRU- 12 2008. Sebagaimana tingginya harapan dan besarnya mandat rakyat itu,   begitu   jugalah   tingginya   komitmen   dan   iltizam   kami   untuk menunaikan tanggungjawab dan amanah yang dipertanggungjawabkan oleh rakyat kepada kita selama ini.

Oleh  itu,  sekali  lagi  kami  dengan  penuh  tanggungjawab  dan keinsafan  memohon  kepada  seluruh rakyat  untuk  terus  meletakkan harapan dan memberikan kepercayaan, mandat dan sokongan yang jitu dan   padu   kepada   Kerajaan   Barisan   Nasional   bagi   meneruskan kesinambungan   perjuangan membela   nasib   rakyat   dan   memacu pembangunan   negeri   ini   ke   tahap   yang   lebih   tinggi   lagi untuk kesejahteraan dan kemakmuran kita bersama serta generasi yang akan datang.

Berkilau indah batu permata
Tinggi  nilainya jadi idaman
Demi rakyat da negeri tercinta
BN berjuang sepanjang zaman

Tuan Speaker,

Saya mohon mencadang.





 

No comments:

Post a Comment