Pengundi Beaufort, Utamakan kepentingan umum, Bukan Individu: Rosnah




BEAUFORT - Kepentingan umum tidak harus dikorbankan demi kepentingan individu apatah lagi jika individu berkenaan 'menjadi duri dalam daging' yang meletakkan kepentingan diri lebih utama dari kepentingan parti dan bangsa, kata Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat khususnya Puteri Umno supaya mempertahankan dan mengutamakan perjuangan parti demi masa depan yang cerah.
Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kesihatan turut menekankan pentingnya perpaduan terutama dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
"Parti Umno tidak akan kalah dalam pilihan raya jika anggotanya sentiasa meletakkan semangat perpaduan sebagai perkara paling utama dalam parti.
"Jika semua anggota berpegang dengan nilai ini, Umno bukan sahaja pastimencapai kemenangan, malah akan turut mampu mencipta kejayaan besar," katanya dalam kenyataan di sini hari ini susulan lawatannya ke Parlimen Beaufort bagi merasmikan mesyuarat perwakilan pergerakan Puteri Umno Bahagian Beaufort, Sabtu lepas.

Parlimen Beaufort kini diwakili bekas anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Lajim Ukin yang baru-baru ini menyatakan sokongan terbuka kepada pakatan
pembangkang.

Rosnah berharap masalah sabotaj dan budaya 'tikam belakang' tidak berlaku dalam pilihan raya umum ke-13.
"Saya minta semua ahli pergerakan Puteri UMNO supaya menggunakan peluang mesyuarat di cawangan dan bahagian ini untuk menyuarakan apa juga masalah yang berkaitan dari peringkat akar umbi dan bersama-sama mencari jalan penyelesaian.
"Langkah ini sangat perlu bagi memastikan rakyat terutama golongan muda terus menyokong BN, sekaligus memastikan Parlimen Beaufort terus kekal menjadi kubu kuat BN," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment