SOLUSI 45; ULAMA, SULTAN DAN TENTERA MALAM


Sejarah kegemilangan Islam telah diharumkan oleh raja-raja berjiwa hamba seperti al_Najashi, Umar bin Abdul Aziz, Sultan Salahuddin al-Ayyubi, Sultan Murad II, Sultan Muhammad al-Fatih, Aurangzeb dan juga sultan-sultan di alam Melayu pada zaman pertengahan. Namun, sejarah juga telah memaparkan golongan bangsawan "bersultan di mata, bertuhan di hati" seperti Firaun, Namrud dan raja-raja pada abad ke-20 seperti al-Faruq dan Shah Iran.

Kebangsawanan, harta dan kuasa selalunya beriringan. Siapa raja, dialah berkuasa. Hakikatnya, semua raja ialah hamba yang hina-dina di hadapan Allah s.w.t. Raja-raja yang bijak akan menggunakan nikmat itu untuk berbakti kepada Allah, melalui khidmat kepada manusia. Mereka inilah yang menjadi raja di dunia dan "raja" di akhirat nanti.

Namun, dunia boleh menjadi kepala segala kejahatan. Lebih mudah untuk tidak mencintai dunia semasa ia tiada, daripada ia sudah berada dalam genggaman. Umar al-Khattab menangis ketika dibawakan mahkota maharaja Parsi ke hadapannya, lantas beliau berkata "Sesungguhnya aku takut perkara-perkara inilah (harta) yang akan menjauhkan kita kepada Allah".

Ini disebabkan manusia sering lupa apabila diuji dengan nikmat berbanding diuji dengan bala. walau bagaimanapun, ini tidak bermakna sudah tidak ada jalan untuk para raja membebaskan diri daripada godaan dunia. Mereka boleh berbuat demikian dengan bantuan para ulama. Ulama perlu menjadi penasihat kepada raja; bertindak sebagai "man behind the curtain" dalam mempengaruhi, mendidik dan menasihati raja-raja.

Dengan penuh hikmah, ulama memberi amaran dan peringatan kepada raja-raja untuk melaksanakan suruhan Allah. Raja mempunyai harta dan kuasa, sementara ulama mempunyai ilmu dan kekuatan rohani. Jika semua kekuatan ini digabungkan untuk Islam, nescaya akan menjadi satu kuasa besar yang tiada tolok bandingnya.

Pada zaman kegemilangan Islam, raja-raja sering didampingi oleh ulama-ulama yang ikhlas. Masih basah dalam ingatan kita betapa indah dan tersentuhnya dialog-dialog keramat antara Sayidina Ja'afar bin Abi Talib dengan Maharaja al-Najashi. Dan masih terpahat kukuh dalam hati setiap orang mukmin, hebat dan berwibawanya surat-surat yang diutuskan oleh Rasulullah s.a.w. kepada maharaja-maharaja dunia. 

Ingatan, didikan dan tiupan angin kesedaran dalam surat-surat Rasulullah s.a.w dan kata-kata Ja'afar al-Tayyar itu tidak sedikit pun dicemari oleh kepentingan-kepentingan duniawi. Langkah-langkah inilah kemudiannya menjadi panduan dan ikutan ulama-ulama yang mengelilingi Umar bin Abdul Aziz, Salahuddin al-Ayyubi, Muhammad al-Fatih dan sultan-sultan Islam yang agung dalam sejarah. Di belakang mereka sentiasa ada ulama al-amilin!

Allah s.w.t menyampaikan pesanan-Nya kepada para pemimpin untuk menerapkan hukum kepada manusia sesuai dengan kebenaran yang difirmankan, maksudnya: "Hai Daud, sesungguhnya kami jadikan engkau khalifah di muka bumi. Oleh sebab itu, putuskanlah sesuatu perkara antara rakyatmu dengan kebenaran. Janganlah engkau turuti kemahuan nafsumu, nanti engkau akan disesatkan dari jalan Allah". (Surah Sad 38: 26)

Inilah yang dimaksudkan dengan kata-kata ulama: "Alangkah baiknya seorang raja yang berada di pintu ulama, dan alangkah buruknya seorang ulama yang selalu berada di pintu para rajanya".

Ulama-ulama ini sedar bahawa rakyat sangat dipengaruhi oleh raja-raja mereka. Pada zaman pemerintahan Khalifah al-Walid yang sukakan bangunan  cantik, rakyat ketika itu turut terikut untuk meminati seni bina. Pada zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang warak dan beramal soleh, tindakan rakyat jelatan pun ikut ke arah amal soleh.

Ulama-ulama terdahulu mempengaruhi, bukan dipengaruhi. Ini hanya mampu dilakukan oleh ulama yang bekerja kerana Allah dan berkhidmat untuk manusia. Kita masih ingat ketika seorang ulama; Nizam al-Mulk berkata kepada Raja Malik Shah sewaktu bersiap sedia untuk menawan Constantinopel: "Saya telah menyediakan satu angkatan tentera yang disebut sebagai "tentera malam". Apabila tentera bersenjata tidur, merekalah yang menjadi tentera tuanku. Mereka berdoa ke hadrat Allah dengan linangan air mata dan lidah yang terus-menerus berzikir kepada Allah"


Dipetik daripada Solusi isu 45
Kerana minat yang mendalam pada Majalah Solusi yang dilihat
bersesuaian dengan semua peringkat umur mahupun latar belakang masyarakat kini,
maka DKM Sabah berminat untuk memetik 1 atau 2 artikel keluaran Solusi
Sebagai usaha dakwah kepada semua masyarakat.


No comments:

Post a Comment