Najib: RCI Diberi Masa Enam Bulan Siasat Masalah Pendatang Tanpa Izin Di Sabah

Dipetik: SSK



KOTA KINABALU, 11 Ogos (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak semasa mengumumkan perincian dan terma rujukan Suruhanjaya Siasatan Pendatang Asing (RCI) Sabtu berkata suruhanjaya itu diberi masa enam bulan untuk menyiapkan siasatan mengenai masalah kebanjiran pendatang asing tanpa izin di Sabah.

Perdana Menteri berkata tempoh enam bulan itu bermula dari tarikh tauliah pelantikan pengerusi dan anggota RCI dikeluarkan dan laporan siasatan itu perlu dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Katanya suruhanjaya itu akan dipengerusikan oleh bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong manakala Ketua Setiusaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Saripuddin Kasim dilantik sebagai setiausahanya.

RCI akan dianggotai empat pesuruhjaya iaitu bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Datuk Dr Kamaruzaman Ampon, bekas Peguam Besar Negeri Sabah Tan Sri Herman Luping, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk K.Y Mustafa dan Timbalan Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia yang juga bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Henry Chin Poy Wu, katanya.

Cadangan kerajaan persekutuan bagi penubuhan suruhanjaya itu mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin Barisan Nasional (BN) negeri di Bangunan Umno, dekat sini. Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Perdana Menteri turut mengumumkan terma rujukan suruhanjaya itu yang bermatlamat untuk menyiasat jumlah pendatang asing di Sabah yang diberikan kad pengenalan atau kewarganegaraan.

Beliau berkata siasatan akan menjurus kepada sama ada pemberian kad pengenalan biru atau kewarganegaraan kepada pendatang asing di Sabah adalah menurut peruntukan undang-undang.

Suruhanjaya juga akan menyiasat sama ada pendatang asing di Sabah yang memegang kad pengenalan biru, resit pengenalan sementara (biru) atau kewarganegaraan secara tidak mengikut undang-undang telah didaftarkan dalam daftar pemilih, katanya.

Selain itu, Najib berkata RCI juga akan menyiasat sama ada pihak berkuasa yang berkenaan telah mengambil apa-apa tindakan atau membuat apa-apa penambahbaikan kepada prosedur amalan standard, kaedah-kaedah dan peraturan bagi mengelakkan apa-apa ketidakteraturan daripada segi undang-undang.

Siasatan lebih lanjut juga perlu berhubung prosedur amalan standard, kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan berhubung dengan pemberian kad pengenalan biru atau kewarganegaraan kepada pendatang asing di Sabah dengan mengambil kira standard dan norma antarabangsa yang terpakai bagi Malaysia, katanya.

"Ia mengesyorkan apa-apa pindaan atau perubahan untuk memantapkan dan menambah baik prosedur amalan standard, kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan itu," katanya.

Najib berkata RCI juga ditubuhkan bagi tujuan menyiasat sebab-sebab peningkatan populasi di Sabah mengikut pelbagai kategori iaitu warga Sabah yang menetap di Sabah, termasuk mereka yang diberikan kad pengenalan biru dan kewarganegaraan melalui sijil kelahiran (pendaftaran lewat), pekerja asing (termasuk ahli keluarga), pendatang asing tanpa izin (termasuk ahli keluarga) dan pelarian serta meneliti kesannya terhadap bilangan yang mendaftar dalam daftar pemilih.

"Kita juga menyiasat implikasi sosial ke atas masyarakat di Sabah yang berbangkit daripada pemberian kad pengenalan biru atau kewarganegaraan kepada pendatang asing di Sabah dan menyiasat bilangan pendatang asing di Sabah yang telah diberikan kad pengenalan biru atau kewarganegaraan dengan mengambil kira status mereka sebagai orang yang tidak bernegara".

Najib berkata penubuhan suruhanjaya siasatan itu membuktikan komitmen tinggi kerajaan Persekutuan untuk menyiasat isu-isu yang dibangkitkan berhubung pendatang asing di Sabah.

Beliau berkata kerajaan berharap rakyat Sabah akan mendapat manfaat daripada penubuhan suruhanjaya siasatan berkenaan dan bersama-sama menyokong kerajaan dalam mencari strategi dan pendekatan terbaik bagi menangani masalah yang berkaitan.

Sebelum ini, pelbagai pihak di Sabah termasuk parti komponen BN negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) begitu lantang menyuarakan masalah pendatang tanpa izin yang tidak berkesudahan dan berharap kerajaan BN melakukan sesuatu untuk membetulkan keadaan.

Berdasarkan jawapan di Parlimen tahun lepas, penduduk Sabah yang berjumlah 651,304 pada 1970 meningkat kepada 929,299 sedekad kemudian. Bagaimanapun bagi tempoh dua dekad selepas itu, populasi Sabah meningkat secara ketara kepada 1.5 juta dan dicatat pada 2,468,246 orang menjelang 2000.

-- BERNAMA
 

No comments:

Post a Comment