PERKASAKAN PTPTN & BUKANNYA MANSUHKAN

 
Assalamualaikum wwb,

Ini merupakan cubaan kedua Pengarang untuk mengupas sedikit sebanyak isu yang berkaitan dengan PTPTN. Isu ini mula dipopularkan ketika ceramah PKR di Papar sekitar bulan Februari 2012. Pengarang yang turut hadir pada sesi ceramah tersebut juga turut mendengar pemansuhan PTPTN keluar dari mulut DSAI. Pengarang tidak tahu samada ketika itu, DSAI terlepas cakap atau memang idea yang memang terancang sebelum beliau menyampaikan ceramah kepada penyokong-penyokong PKR yang hadir.

Pengarang dari awal lagi tidak bersetujuh dengan pemansuhan PTPTN ini. Hal ini adalah kerana, pemansuhan PTPTN hanya akan membunuh peluang anak-anak melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak dari golongan miskin dan berpendapatan rendah untuk melanjutkan pelajaran di IPTA/S tempataan. Pengarang lebih memilih pendekatan agar usaha untuk memperkasakan PTPTN itu diambil perhatian sewajarnya. Terdapat dua (2) perkara yang pengarang kenalpasti wujud ketika peminjam menerima PTPTN dan mohon sekirnya pihak berwajib yang membaca isu ini dapat mengambil tindakan yang sewajarnya. 


ISU 1: PEMBERIAN WANG PENDAHULUAN (RM1500.00)
Tiada masalah yang pengarang kenal pasti ketika wang pendahuluan diberikan dan sehinggalah habis dibelanjakan oleh graduan untuk membeli kelengkapan pembelajaran, tiket kapal terbang (graduan Sabah dan Sarawak), membayar yuran dan lain-lain lagi. Wang ini dikenal pasti mendatangkan masalah kepada graduan ketika berada di semester dua (2). Kenapa pengarang berkata demikian?, bagi mereka yang meminjam PTPTN mereka tahu masalah yang wujud daripada wang pendahuluan ini. 

Pada semester dua (2), mereka yang menerima wang pendahuluan RM1500.00, jika jumlah wang yang sepatutnya diterima bagi semester berkenaan RM2300.00 (jumlah bersih setelah ditolak yuran pengajian), Pelajar hanya akan mendapat jumlah bersih sekitar RM800.00. Kenapa jadi RM800.00 pula, ini adalah kerana ianya telah ditolak dengan wang pendahuluan RM1500 (RM2300 - RM1500). 

Jumlah RM800.00 untuk satu (1) semester adalah angka yang paling sedikit untuk dibelanjakan oleh seorang pelajar. Itu tidak termasuk duit makan, duit buku dan lain-lain perbelanjaan ketika di kampus. Oleh yang demikian, janganlah terkejut jika pengarang katakan bahawa, semester dua (2) adalah semester untuk mengikat perut. Ketika inilah, ramai graduan akan cuba menjimatkan duit dengan memakan mee maggi untuk menjimatkan duit. bagi mereka yang sedikit berkemampuan, akan menghubungi keluarga untuk mendapatkan sedikit bantuan kewangan.

CADANGAN:
Pengarang mencadangkan agar pemotongan sekaligus (RM1500) diperhalusi. Mungkin pihak pengurusan PTPTN boleh mengambil inisiatif dengan melakukan pemotongan secara berperingkat-peringkat untuk baki lima (5) semester. Samada pemotongan RM300 untuk setiap semester untuk baki lima (5) semester berikutnya ataupun boleh juga diaplikasikan pemotongan RM500.00 untuk tiga semester berturut-turut. Terpulanglah kepada budi bicara pihak pengurusan PTPTN selaku pihak yang memberi pinjaman.


ISU 2: LATIHAN INDUSTRI (PRAKTIKUM) 
Latihan industri atau praktikum yang selalunya melibatkan tempoh masa sekitar tiga (3) bulan merupakan suatu tempoh yang penuh dengan kesukaran untuk pelajar IPTA/S. Selalunya pelajar-pelajar yang menjalani latihan industri baik di sektor awam atau swasta tidak diberikan elaun. Duit poket atau elaun daripada firma yang menerima pelajar praktikum ini banyak bergantung kepada budi bicara firma atau organisasi terlibat. 

Isu yang cuba dibincangkan di sini adalah, masalah kewangan yang dihadapi oleh pelajar-pelajar ini. Bagi yang menerima sedikit imbuhan daripada firma, maka tidak akan wujud isu. Apa pula nasib pelajar-pelajar yang tidak menerima elaun atau sedikit imbuhan daripada firma?. Inilah masalah yang harus diambil perhatian oleh setiap pihak, dan bukannya memberi cadangan yang hanya bersifat memancing populariti menjelangnya PRU13.

CADANGAN:
Pengarang mencadangkan agar diwujudkan potongan sekurang-kurangnya RM150-200 setiap semester. Potongan tersebut akan berfungsi sebagai tabungan bagi setiap pelajar-pelajar yang boleh dibelanjakan ketika menjalani latihan industri (praktikum). Jika potongan ini diluluskan, maka pelajar bakal memiliki simpanan untuk dibelanjakan ketika latihan industri sekitar RM900 - 1200. Berdasarkan pola dan sikap berbelanja pelajar IPTA/S, tidak ramai yang mampu memyimpan walaupun sedikit daripada wang yang diterima setiap semester. Hanya segelintir sahaja pelajar yang mampu berbuat demikian (berbelanja secara berhemah dan memiliki simpanan).

Pengarang terpanggil untuk menbicarakan isu ini kerana melihat pembangkang yang ada sekarang lebih terarah fokusnya kepada usaha untuk menabur janji-janji politik semata-mata untuk mendapatkan populariti yang bertindak sebagai bekalan ampuh untuk digunakan ketika PRU13. Pembangkang sekarang tidak lagi berperanan untuk memperbaiki kelemahan yang wujud daripada dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan, malah lebih parah lagi, segala dasar-dasar baik kerajaan yang mampu memberi manfaat kepada rakyat ditentang kerana risau populariti mereka (Pembangkang) di mata rakyat akan menurun.
  

No comments:

Post a Comment