BN Sabah akan sedia ‘terms of reference’ RCI mengenai PATI





KOTA KINABALU: Jawatankuasa Kewarganegaraan Barisan Nasional (BN) Sabah akan menyediakan “terms of reference” atau bidang tugas Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang dicadangkan ditubuhkan bagi menangani masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.

Pengerusinya Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata pihaknya menjangka akan menyiapkan ‘terms of reference’ itu dalam masa terdekat dan akan menyerahkan kepada pucuk pimpinan BN untuk tindakan lanjut.

“Kami perlukan masa dalam seminggu untuk menyediakan dokumen berkaitan “terms of reference” yang akan diserahkan kepada pucuk pimpinan BN dan Perdana Menteri,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di sini, kelmarin.

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) itu berkata, mesyuarat turut meminta kerajaan Persekutuan mempercepatkan penubuhan RCI.

Beliau berkata antara garis panduan yang dicadangkan termasuk undang-undang penguatkuasaan dan pencegahan PATI dan keanggotaan RCI yang akan diwakili oleh semua komponen parti.

Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata penubuhan RCI itu penting berikutan kebimbangan di kalangan orang awam mahupun badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini termasuk terdapat kewujudan sindiket haram membuat kad pengenalan (IC) kepadaPATI atau projek IC.

No comments:

Post a Comment