Sumber: Utusan Borneo
KOTA KINABALU: Satu cara akan diilhamkan bagi mendapatkan senarai sahih para pemandu teksi di Malaysia agar mereka dapat dibekalkan bantuan insuran.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim berkata pihaknya akan bekerjasma dengan Jabatan Penerangan dalam usaha mencari seranai sahih sebagai satu senarai panduan terhadap pemandu teksi yang tidak dilindungi insuran.
Katanya, perlindungan insuran penting kepada pemandu teksi kerana ia mampu menyediakan bantuan perubatan dan bantuan kepada keluarga pemandu jika sesuatu yang malang terjadi kepada pemandu.
“Dalam masa terdekat ini, saya akan mengemukakan perkara itu kepada pihak berkuasa yang berkaitan seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad) atau terus kepada Jemaah Menteri sendiri.
“Perkara itu harus difikirkan oleh kerajaan apa yang perlu dilakukan untuk menghargai sumbangan dan khidmat teksi pada masa akan datang,” katanya ketika merasmikan Program Penghayatan 1Malaysia bersama Pemandu dan Pengusaha Pengangkutan Awam Zon Sabah/Wilayah Persekutuan Labuan di sini kelmarin.
Rais berkata, pihaknya juga memahami Persatuan Pemandu Teksi Malaysia (Petekma) Cawangan Sabah yang mengalami pelbagai kesusahan. Namun apa yang perlu didahulukan adalah soal pentadbiran persatuan itu.
Oleh itu, Rais juga mengumumkan pihaknya akan menyerahkan RM20 ribu kepada Petekma dalam usaha membantu melancarkan perjalanan pentadbiran persatuan itu.
“Saya sebagai salah seorang pemimpin Kerajaan Pusat akan terus bersama Petekma dalam usaha membimbing dan mencari jalan bagaimana kebajikan persatuan ini akan diambil berat oleh pihak-pihak berkuasa berkaitan seperti Spad, Jawatan-jawatankuasa Kabinet atau Kerajaan kita sendiri.
“Apabila perkara ini telah dicapai, saya akan bertemu kembali dengan Petekma dan persatuan-persatuan teksi yang lain untuk memaklumkan apa inisiatif yang berjaya diperolehi dalam bentuk-bentuk yang munasabah kepada para pemandu teksi,” jelasnya.
Menurutnya, Kerajaan Malaysia telah dan akan melakukan pelbagai usaha demi kebaikan para pemandu teksi di Malaysia.
Antara pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun Razak, adalah seperti pengecualian 100 peratus duti exsais dan cukai jualan ke atas pembelian teksi baru buatan tempatan.
Selain itu katanya, dalam masa akan datang, pengecualian bayaran balik duti exsais dan cukai jualan ke atas teksi yang berusia lebih daripada tujuh tahun yang dijual atau ditukar milik, pemansuhan cukai jalan ke atas teksi bajet persendirian, pemberian subsidi dengan kadar faedah sebanyak dua peratus untuk memiliki teksi baru buatan tempatan, dan pemberian bantuan untuk menggantikan teksi lama berusia tujuh hingga 10 tahun sebanyak RM3,000 dan seribu kepada teksi yang berusia lebih 10 tahun.
Rais juga mencadangkan agar dibuku-kecilkan kebaikan yang telah diberikan kepada para pemandu teksi oleh kerajaan dan simpankan buku itu dalam saku.
“Sebarkan kebaikan yang telah kerajaan berikan kepada anda semua dan kalau Sabah mempunyai 7,000 pemandu teksi, maka ia merupakan satu kekuatan dalam masyarakat.
“Kekuatan itu mampu menterjemahkan kebaikan kepada negara kita,” katanya.
Beliau juga menyeru kepada semua pemandu teksi di Malaysia agar sentiasa senyum, berbudi bahasa, bersopan santun dan teksi sentiasa berada dalam keadaan bersih agar penumpang akan berasa selesa ketika menumpang.
“Kita mesti tunjukkan budi bahasa kita sebagai masyarakat Malaysia yang bersopan santun dan buktikan bahawa negara ini mengamalkan konsep 1Malaysia,” tambahnya.
0 Comments