Banyak syor PSC di luar kuasa SPR

Dipetik: Sinar Harian




 




SHAH ALAM - Kebanyakan pandangan dan syor laporan akhir Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya, yang diluluskan semalam terletak di luar bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan oleh itu, pelaksanaan dijangka memakan masa.

Malah, pelaksanaan sebahagian besar syor PSC juga memerlukan persetujuan Kerajaan Pusat selain pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, sebahagian besar syor tidak dapat dilaksanakan ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, sebahagian besar daripada 22 syor yang dikemukakan oleh PSC melibatkan soal dasar, yang secara langsung akan melibatkan keputusan kerajaan dan pembabitan agensi-agensi lain dalam membuat keputusan.

Katanya, pelaksanaan syor-syor itu memerlukan penelitian dan perbincangan lanjut.

PSC juga mengesyorkan agar sebuah jawatankuasa khas dibentuk untuk memantau pelaksanaan syor-syor yang digariskan dalam laporan awal, yang dibentangkan Disember lalu, dan laporan terakhir semalam.

"Banyak perkara yang disebutkan oleh laporan PSC bukan boleh ditentukan oleh SPR semata-mata... ia perlu diputuskan oleh kerajaan dan juga perlu mendapatkan pandangan agensi-agensi lain," kata beliau kepada Sinar Harian Online.

SPR dijangka akan mengadakan mesyuarat sama ada esok atau Jumaat ini untuk membincangkan syor-syor PSC.

Sehubungan itu, Wan Ahmad tidak menolak kajian dan pelaksanaan syor-syor tambahan PSC akan mengambil masa yang lama, dan kemungkinan besar hanya boleh dilaksanakan selepas PRU13.

"Misalnya, soal sistem pilihan raya yang baru, prapendaftaran pemilih apabila mencecah usia 20 tahun, ini semua memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan kerana ia soal dasar.

"Jadi, saya melihat ini soal dasar, memerlukan kajian mendalam melibatkan banyak agensi, tidak boleh dilakukan oleh SPR sahaja," kata beliau sambil menambah, "ada syor PSC yang boleh dilaksanakan segera ketika PRU13 dan ada yang tidak boleh dilaksanakan dengan segera."

Katanya, penggunaan dakwat kekal dan pengundian awal, sebagai contoh, boleh dilaksanakan dengan segera tanpa melibatkan soal dasar.

Laporan akhir PSC setebal setebal 79 muka surat, yang mengandungi 22 syor penambahbaikan proses pilihan raya yang dibentangkan oleh Pengerusi jawatankuasa berkenaan Datuk Dr Maximus Ongkili yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, di Dewan Rakyat
semalam.

Ia diluluskan tanpa dibahaskan selepas dipulau oleh wakil rakyat Pakatan Rakyat apabila Speaker Dewan Rakyat menolak usul menerima laporan minoriti.

"Perkara-perkara yang dilaporkan untuk diangkat sebagai pertimbangan Dewan adalah perkara yang dikenal pasti sebagai perkara pokok dan penting yang boleh dilaksanakan dalam jangka pendek dan jangka panjang oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dan badan-badan serta agensi yang berkaitan," kata Ongkili.

Selama jawatankuasa menjalankan tugas selama enam bulan, lebih 200 cadangan dan idea baik telah dikemukakan oleh pihak awam untuk dipertimbangkan oleh jawatankuasa sebagai penambahbaikan sistem dan proses pilihan raya negara.

Daripada 22 syor itu, jawatankuasa yang dianggotai sembilan anggota Parlimen kerajaan dan pembangkang itu, telah mepersetujui 18 syor yang dikemukakan manakala empat lagi dipersetujui secara undian belah bahagi.

Syor-syor yang dipersetujui adalah memberi kemudahan kepada rakyat Malaysia di luar negara sama ada mengundi di Perwakilan Malaysia atau secara pos; pengundi luar kawasan; tarikh pembubaran Parlimen; kerajaan sementara; penguatkuasaan peraturan sedia ada berhubung kesalahan memberikan maklumat palsu dalam urusan pendaftaran; akses media yang bebas dan saksama.

Selain itu ialah pembersihan daftar pemilih yang berterusan; penelitian daftar pemilih bagi alamat-alamat yang mempunyai ramai pemilih berdaftar; bantahan terhadap daftar pemilih yang telah diperakui melalui aduan atau maklum balas daripada parti politik, pertubuhan bukan kerajaan dan sebagainya; penggunaan alamat selain alamat mastautin pada kad pengenalan sebagai alamat pendaftaran untuk menentukan bahagian pilihan raya.

Jawatankuasa itu turut bersetuju dengan syor memperkasakan kedudukan SPR; penstrukturan dan pengukuhan SPR; pengasingan fungsi utama SPR; pengagihan kerusi Dewan Rakyat bagi negeri Sabah dan Sarawak; persempadanan bahagian pilihan raya yang seimbang; peruntukan dana kepada parti politik dan sistem pilihan raya.

Empat syor yang perlu melalui undian belah bahagian adalah memberi kemudahan mengundi secara pos kepada petugas SPR dan media; membenarkan prapendaftaran seseorang warganegara untuk didaftarkan sebagai pemilih apabila mencapai umur 20 tahun; memanjangkan tempoh berkempen dan kajian ke arah pendaftaran secara automatik.

No comments:

Post a Comment