Wanita nekad kejar dua peragut




JEMPOL 23 Mac - Biarpun kesakitan akibat patah gigi dan cedera di badan setelah terjatuh dari motosikal, seorang wanita nekad mengejar dua pemuda yang meragut beg tangannya dekat pejabat pos di Felda Palong Empat di sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 2.30 petang itu, mangsa, Inche Aminah Ismail, 47, terjatuh dari motosikal Yamaha Legend yang ditunggangnya setelah dihimpit motosikal dinaiki dua lelaki bertopi keledar yang kemudian meragut beg tangan.
Inche Aminah yang bekerja sebagai kerani di sebuah kilang getah di Felda Palong Lapan di sini memberitahu, dia yang terkejut dan kesakitan tidak berfikir panjang terus bangkit mengejar peragut berkenaan bagi mendapatkan semula beg tangannya yang berisi wang RM1,200, dokumen dan telefon bimbit.
"Saya baru mengeluarkan wang RM800 dari pejabat pos di Felda Palong Empat apabila tiba-tiba dua pemuda bermotosikal menghampiri dan menghimpit motosikal saya sampai terjatuh.
"Dalam keadaan sakit, saya sempat bangun dan melihat beg tangan yang saya letak dalam bakul motosikal sudah dibawa lari oleh seorang daripada pemuda berkenaan yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC berwarna merah," katanya kepada Utusan Malaysia ketika di rumahnya di sini semalam.
Inche Aminah berkata, dia sempat mengejar peragut itu sejauh beberapa meter sebelum keletihan dan meminta pelanggan yang berada di sebuah kedai makan berhampiran membantunya.
Katanya, peragut berjaya melarikan diri ke sebuah kebun berdekatan manakala dia dibawa oleh orang ramai ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Jempol.
Ibu kepada empat anak itu memberitahu, selepas dirawat, dia dibenarkan pulang dan membuat laporan di Balai Polis Rompin.
"Saya dimaklumkan bahawa polis yang menjalankan siasatan sudah menemui semula beg tangan saya di kawasan kebun getah semalam tetapi semua barang berharga di dalamnya sudah hilang kecuali duit syiling dan buku bank," katanya.

Sumber: Utusan

No comments:

Post a Comment