Harimau mahu terkam Liga-S

Dipetik: Bharian


LUPAKAN kekalahan 0-3 kepada Syria pada aksi terakhir Kelayakan Olimpik di Amman, Jordan, malam kelmarin dan alih sepenuhnya fokus terhadap tiga perlawanan penting Liga Singapura yang perlu dihadapi skuad Harimau Muda A bermula, Ahad ini.  

Demikian pesanan penyerang Harimau Muda A, Ahmad Hazwan Bakri kepada rakan sepasukan yang kembali ke tanah air, petang semalam supaya tidak luntur semangat bertemu pendahulu liga, Albirex Niigata di Stadium Yishun, Ahad ini diikuti Brunei DPMM (22 Mac) dan Young Lions (25 Mac).
Hazwan, 21, tidak ke Amman kerana baru saja pulih daripada kecederaan hamstring sewaktu menjaringkan gol ketika tewas 1-2 kepada Bahrain di Manama, 5 Februari lalu yang menyebabkannya terlepas dua aksi awal Liga Singapura bertemu Gombak United dan Tanjong Pagar serta dua aksi Kelayakan Olimpik bertemu Jepun dan Syria.

“Lebih sebulan tidak beraksi, memang rasa tak sabar untuk kembali lebih-lebih lagi ini pertama kali saya beraksi di saingan liga luar negara selepas menyarung jersi Kuala Lumpur dalam saingan Liga Super musim lalu.

“Kekalahan pertama Albirex kepada Brunei DPMM (Ahad lalu) membuktikan kelab Jepun itu boleh ditewaskan. Apa pun kami perlu kerja keras meraih kemenangan Ahad ini,” kata Hazwan ketika dihubungi, semalam.

Dalam pada itu, jurulatih negara, Ong Kim Swee menganggap tindakan pengadil dari Iran, Mohsen Torki melayangkan kad merah kepada Fadhli Shas pada minit ke-53 serta membenarkan gol kedua Syria yang tampak ofsaid sebagai punca kekalahan, malam kelmarin.
“Saya percaya kami tak wajar tewas 0-3 kerana puncanya adalah dua keputusan pengadil yang boleh dipersoalkan itu. Apa yang boleh diharapkan apabila terpaksa beraksi 10 pemain selepas ketinggalan satu gol,” kata Kim Swee pada sidang media selepas perlawanan.

No comments:

Post a Comment