Saturday, March 17, 2012


 Dipetik: Bharian


IPOH: Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam menafikan Malaysia bersetuju supaya pembantu rumah Indonesia yang akan dihantar ke negara ini hanya perlu melakukan satu tugas khusus dengan gaji minimum RM700.  

Beliau berkata, perkara itu tiada dalam rangka perjanjian persefahaman (MoU) kedua-dua negara, sebaliknya pembantu rumah diperlukan melakukan tugasan am atau tugas khusus seperti menjaga bayi atau orang tua berdasarkan keperluan majikan. 

“Sebenarnya apa yang kita sudah putuskan dalam MoU kekal. Memang mereka mendapat latihan tetapi keseluruhannya mereka boleh buat semua kerja tetapi ada pembantu rumah yang mungkin ada pengkhususan tugas yang memerlukan mereka menjalani latihan pengkhususan berkenaan.

“Contohnya, mungkin ada ibu muda baru bersalin mahu seorang berpengalaman dalam bidang itu. Jadi, Indonesia maklumkan mereka akan menyediakan pembantu rumah dengan pengkhususan mengikut keperluan itu.

“Jadi, ini tidak bererti pembantu rumah yang biasanya melakukan kerja keseluruhan atau am tidak ada. Kita telah pastikan dan telah minta mereka diberikan latihan secara meluas dalam semua bidang supaya boleh melakukan banyak kerja,” katanya selepas menyerahkan sijil kewarganegaraan dan kelulusan sijil kewarganegaraan kepada 212 penerima, sempena Program My Daftar peringkat negeri Perak, di sini semalam.

Dr Subramaniam mengulas laporan yang memetik Ketua Pengarah Pembinaan dan Penempatan Tenaga Kerja, Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Dr Reyna Usman bahawa pembantu rumah yang akan dihantar ke Malaysia akan melakukan satu tugas khusus saja sama ada tukang masak, pengasuh bayi, penjaga orang tua atau pengemas rumah dengan gaji minimum RM700.
Dr Reyna dipetik sebagai berkata ia antara persetujuan yang dicapai dalam pertemuan Pasukan Petugas Bersama (JTF) Malaysia-Indonesia mengenai pengambilan, penempatan dan perlindungan pembantu rumah Indonesia serta majikan Malaysia di republik itu, kelmarin.

Mengulas lanjut, Dr Subramaniam berkata: “Kenyataan itu tidak mengikut MoU dan kita memang setuju bahawa latihan dijalankan dan mereka ada buat latihan bidang pengkhususan bagi (majikan) yang mahu pengkhususan. Mereka yang mahu pembantu rumah am, akan dapat pembantu rumah am.”

Beliau berkata, pihaknya akan menjelaskan perkara itu dan menegaskan apa yang JTF persetujui mesti dilaksanakan dan pihak Indonesia bersetuju latihan pengkhususan seperti menjaga bayi atau orang tua diberikan berdasarkan keperluan.

“Sebenarnya hari ini (semalam) Ketua Pengarah (Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Datuk Sheikh Yahya Sheikh Mohamed) berada di Jakarta dan mereka bermesyuarat untuk menyelesaikan masalah ini dan selepas itu pihak Indonesia kena datang (ke Malaysia) dan kita akan selesaikan di sini. Saya juga sudah minta pihak Indonesia supaya jangan setiap orang keluarkan kenyataan masing-masing.

“Dua minggu lalu, ada Kaunselor Menteri (Penerangan, Sosial dan Hubungan Budaya Kedutaan Indonesia, Suryana Sastradiredja) keluarkan kenyataan satu kes penderaan membabitkan VVIP tetapi apabila kita periksa, tiada kebenaran tetapi sudah membuat kenyataan. Hari ini ada pula kenyataan lain,” katanya.

Share this Article on :

No comments:

Post a Comment

 

© Copyright DKM SABAH 2010 -2011 | Design by Herdiansyah Hamzah | Published by Borneo Templates | Powered by Blogger.com.