(Petikan SOLUSI); Politik Pramatang



Setelah lama menyepi, kesan daripada Blog milik DKM yang kena Hack oleh Hackers milik pembangkang, kini DKM kembali. Pengarang tertarik dengan satu artikel yang menyentuh soal Politik Pramatang dari majalah SOLUSI isu 40. Berikut merupakan antara intipati penting dalam artikel tersebut;

Dipetik: SOLUSI Isu 40

Gaya orang Melayu berpolitik belum matang. Ini menyebabkan berlakunya percakaran tanpa mengira musim, tempat dan perkara. Cara menyerang lawan begitu agresif sehingga boleh meletakkan situasi pada keadaan "Kalah jadi abu, menang jadi arang". Ironinya, pertembungan bukan sahaja berkalu pada musim pilihan raya, malah berlarutan pasca pilihan raya.

Politik kalah-mati yang diamalkan sekarang jika tidak ditangani dengan baik, akan menyebabkan orang Melayu menjadi semakin emosional dalam menghadapi sesuatu isu sama ada pada peringkat nasional mahupun antara-bangsa. Sikap profesional berdasarkan analisis ilmu dan kepakaran dalam bidang-bidang tertentu akan terpinggir secara beransur-ansur oleh sentimen kepartian yang melampau.

Sepatutnya, sebaik sahaja tamat pilihan raya, semua rakyat tanpa mengira penyokong mana-mana parti harus terus bekerja membina negara dengan polisi dan prinsip yang telah dibuat oleh parti yang telah diamanahkan untuk membentuk kerajaan. Maksudnya, pegawai kerajaan, ahli ekonomi, golongan profesional, ahli akademik, golongan pekerja dan petani seharusnya tidak sibuk "berpolitik" lagi kerana telah disibukkan dengan tanggungjawab masing-masing.

Keputusan, pertimbangan, penilaian dan pengkajian oleh mereka terhadap sesuatu sepatutnya berdasarkan etika kerja, disiplin ilmu atau sikap profesionalisme. Jangan sekali-kali dipengaruhi oleh sentimen politik kepartian.

Hadkan masa dan aktiviti politik pada musim pilihan raya sahaja. Seharusnya, sebaik sahaja rakyat membuat keputusan dan pembentukan kerajaan (sama ada pusat atau negeri) telah disahkan oleh perlembagaan, semua pihak harus bekerja penuh tekun, berdisiplin dan amanah dalam sektor-sektor yang telah dipertanggungjawabkan.

Barangkali sudah tiba masanya wujud aliran ketiga dalam senario politik Melayu, yakni golongan yang boleh dan mampu berpolitik secara matang sekali gus bersikap profesional dalam bidang masing-masing. Golongan ini bersikap lebih objektif, rasional dan "Gentleman" dalam menghadapi perbezaan politik, tetapi sikap keprihatinan, kesetiaan, komitmen dan kecintaan mereka terhadap agama, negara dan bangsa tidak diragui lagi.

Tidak kira sama ada golongan yang yakin dengan ideologi memperkukuhkan parti Melayu dapat menguatkan bangsa, atau golongan yang menguatkuasakan bangsa, atau golongan yang menguatkuasakan bangsa secara langsung tanpa penyerahan total kepada sesebuah parti, namun jika kedua-dua golongan ini bergerak secara aktif dan produktif, sudah tentu bangsa Malayu-Islam juga akan mendapat manfaatnya.

Jadi perlu ada golongan Melayu yang mempunyai pegangan yang mantap dengan Islam dari sudut keyakinan dan keimanan (fardu ain), sekali gus mempunyai kemahiran dan ilmu dalam bidang-bidang proferional seperti ekonomi, kejuruteraan, kedoktoran, kebudayaan dan lain-lain (fardu kifayah). Dengan sifat mukmin ini, mereka mampu memperbaiki keadaan orang Melayu yang sedang diserang pelbagai gejala sosial, jenayah dan keruntuhan akhlak. Manakala dengan kepakaran dan ilmu yang tinggi, mereka mampu menyelesaikan masalah orang Melayu yang ketinggalan dalam bidang  ekonomi, akademik, teknologi dan sains.

Mereka mungkin mempunyai satu persepsi yang berbeza dengan mengetengahkan satu keyakinan baru bahawa tidak ada mana-mana parti politik pun yang boleh mendakwa survival bangsa Melayu terletak di tangan parti tersebut, sebaliknya survival  parti tersebut yang bergantung kepada orang Melayu. Begitulah juga dengan Islam; Islam yang menguatkan parti, bukan sebaliknya!

Adalah tidak tepat jika bangsa Melayu cuba dimajukan secara reaktif, yakni dengan saranan menyandarkan kekuatan mereka kepada sesuatu parti (Public victory), sedangkan mereka seharusnya dibangunkan secara proaktif yakni dengan membina kekuatan Islam dari dalam diri sendiri (Personal Victory). Parti yang kuat tidak menjamin bangsa yang kuat. Ini kerana perjuangan agama, negara dan bangsa tidak boleh berhenti walau apa pun masalah yang melanda sesuatu parti. Islam dan bangsa boleh diperjuangkan dengan pelbagai cara, bukan melalui bidang politik sahaja.


Sumber: SOLUSI PANDUAN HIDUP BERSYARIAT

No comments:

Post a Comment