<title>Graduan Universiti lebih indah daripada Graduan Beruk (Panjat Pagar/ Tiang) | DKM SABAH

Breaking

Home Top Ad

Post Top Ad

Responsive Ads Here

Monday, January 30, 2012

Graduan Universiti lebih indah daripada Graduan Beruk (Panjat Pagar/ Tiang)




Dipetik Daripada; Sabahkini.net

Oleh : MOHD HISHAM ABDUL RAFAR
MAHASISWA sepatutnya bijak memanfaatkan peluang untuk mengenggam segulung ijazah dan tidak tergila-gila berpolitik yang hanya bertujuan memenuhi nafsu seorang pemimpin pembangkang mahu menjadi Perdana Menteri, demikian nasihat beberapa pihak yang prihatin kepada mereka.
Mereka berpendapat masih terlalu awal untuk mahasiswa menjebakkan diri secara serius dalam gelumang politik kerana ia bertentangan dengan matlamat asal mereka ke institusi pengajian tinggi untuk menjadi modal insan negara.

Berpolitik secara melampau dan tidak matang boleh menyebabkan seseorang mahasiswa kandas, sekaligus menghancurkan harapan ibu bapa khasnya golongan miskin di luar bandar yang mahu melihat anak-anak pulang dengan segulung ijazah yang mampu mengubah nasib keluarga.

Setiausaha Agung Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan), Syed Anuar Syed Mohamad berkata mahasiswa harus lebih bijak membuat pertimbangan intelektual dalam menentukan keutamaan mereka dalam kehidupan dan tidak membiarkan diri diperalatkan golongan yang rakus mahu berkuasa.

"Saya melihat perjuangan menentang AUKU (Akta Universiti Dan Kolej Universiti) ini melibatkan sebahagian kecil sahaja daripada keseluruhan mahasiswa. Saya juga melihat isu AUKU ini sebenarnya tidak mendatangkan masalah cuma mereka ini mudah dipengaruhi dan diperalatkan pembangkang.

"Kita bimbang golongan yang kecil ini kerana vokal dan kadang kala sanggup bertindak melulu, akan mempengaruhi mahasiswa lain yang tenang dan ingin mencapai kecemerlangan akademik," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata demonstrasi sekumpulan pelajar baru-baru ini juga tidak mempamerkan sikap intelektual mereka bahkan apa yang diperjuangkan juga tidak relevan berbanding perjuangan pemimpin pelajar di tahun 1970-an.

"Sekarang mereka tidak memperjuangkan soal kemiskinan, kesihatan atau ekonomi sebaliknya memperjuangkan isu-isu yang tiada asas yang direka-reka dan dihasut pembangkang.

"Kalau inilah perjuangan mereka yang hanya mahu menyokong kerakusan pemimpin pembangkang, maka amat malanglah bagi mereka yang mengikuti kumpulan tersebut," katanya, yang menambah bahawa usia mereka masih muda dan tidak perlu terburu-buru dan melulu berpolitik.

"Hargailah peluang menuntut ilmu yang ada sekarang. Kalau sudah jadi seperti kes Adam Adli (mahasiswa Universiti Perguruan Sultan Idris yang digantung pengajian tiga semester kerana mencemarkan nama baik universiti), yang rugi adalah dia dan keluarganya yang telah banyak berkorban untuknya," katanya.

Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Datuk Irmohizam Ibrahim pula berkata terdapat beberapa kumpulan mahasiswa dalam sesuatu kampus dan bagi kumpulan yang cenderung berpolitik, ia kemungkinan besar dipengaruhi oleh sesebuah parti politik.

Katanya, penglibatan kumpulan mahasiswa tersebut secara aktif dengan parti politik adalah disebabkan kegagalan mereka untuk menghayati secara mendalam tujuan asal mereka memasuki institusi pengajian tinggi.
"Bukan kerajaan menghalang mahasiswa berpolitik, tetapi mestilah berpolitik secara intelektual dan setakat politik kampus. Politik kepartian mestilah tidak mereka bawa bersama ke kampus.

"Jika benar mereka ingin berpolitik, kematangan mahasiswa ini boleh digarap menerusi program-program kemasyarakatan dan intelektual. Saya melihat universiti adalah tempat yang terbaik untuk mereka menggarap bakat mereka sebagai pemimpin dan bukannya dengan menyertai politik kepartian di luar," katanya.

Irmohizam yang juga pensyarah di Fakulti Undang-Undang UiTM Shah Alam juga berpendapat perjuangan pemimpin mahasiswa hari ini 'kosong', berbeza berbanding perjuangan pemimpin mahasiswa terdahulu yang menjurus kepada isu-isu semasa yang nyata seperti gejala sosial, kebajikan dan birokrasi.
"Kalau dulu kita berbicara soal generasi muda seperti gejala sosial, kebajikan dan kerenah birokrasi. Pemimpin mahasiswa hari ini berdepan dengan cabaran teknologi maklumat yang semakin lama semakin canggih.

"Inilah antara yang perlu diperjuangkan oleh mahasiswa hari ini. Pada saya dah tidak ada isu seperti kemiskinan, kebajikan yang perlu dibangkitkan lagi kerana dasar dan polisi kerajaan kini sudah menjurus kepada kehendak rakyat," katanya.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dipetik sebagai berkata bahawa AUKU tetap relevan kepada orang yang tidak tahu menjaga diri dan tidak menghargai peluang yang harus digunakan sebagai seorang mahasiswa.
Beliau berkata kerajaan tidak pernah melarang sekiranya mahasiswa ingin mengadakan sebarang debat dalam kawasan kampus universiti tetapi yang hendak dikawal adalah perbuatan mereka berkempen secara melampau.
Dr Mahathir juga berkata mahasiswa seharusnya menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pelajaran dan selepas tamat pengajian dan mempunyai pekerjaan serta pendapatan sendiri, wajarlah jika mereka mahu bebas beraktiviti.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali pada 3 Jan lepas dipetik sebagai berkata bahawa mahasiswa hari ini tidak sepatutnya meniru gaya perjuangan pemimpin mahasiswa di tahun 1970-an.

Ini berikutan keadaan dalam negara yang sudah berbeza berbanding dulu di mana ekonomi negara pada ketika itu kurang berkembang, harga komoditi tidak menentu, kemudahan kesihatan kurang serta peluang memasuki universiti terhad, katanya.

Beliau berkata perjuangan pemimpin mahasiswa pada ketika itu adalah relevan dan mereka memperjuangkan mengenai kemiskinan dan kesihatan berbanding hari ini yang sangat berbeza dengan pembangunan negara yang pesat serta banyaknya universiti untuk menampung pelajar.

Pada November tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bahawa kerajaan akan mengkaji untuk meminda Seksyen 15 AUKU 1974 bagi membolehkan pelajar yang mencapai umur 21 tahun menyertai parti politik.(BERNAMA)


U/P; 
1. Siapa Adam Adli tu?, cemerlang kah dia dalam akademik dan ko-kurikulum?, dia ambil ptptn jg ka?..
2. AUKU tidak pernah menyekat kebebasan pelajar semasa berada di menara gading selagi mereka tidak menyimpang dari matlamat mereka untuk menjadi seorang mahasiswa yang berguna kepada agama, bangsa, negara dan yang penting berguna kepada keluarganya, bukannya berguna dan dipergunakan oleh pembangkang yang hanya tahu berjanji.
3. Sepatutnya hak yang ada pada mahasiswa hari ini perlu di ibaratkan @ disamakan dengan hak majikan terhadap pekerja-pekerjanya. Kalau dia boleh kerja, dia naik.... tapi kalau tak boleh kerja, dan menjadi liabiliti kepada majikan hingga merencatkan pencapaian matlamat organisasi, buat apa mau di simpan!!!!!..

Renung-renungkan........

Post Bottom Ad

Pages