Monday, October 31, 2011


Dipetik daripada artikel: Sabahkini.net (Mutalib M.D)


JANJI....Mana janji manismu wahai YB?
Oleh : MUTALIB M.D
“KENAPA Solar Hibrid bernilai ratusan juta ringgit boleh disiapkan, tetapi Masjid Nur Jannah Al-Karim di Kampung Simuning, tempat kelahiran TYT tidak boleh disiapkan. Di manakah maruah kita?” kata Mohd Bin Isa yang kesal dengan ketidak prihatinan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah dan Tuan Yang Terutama Yang Di Pertuan Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin berhubung isu masjid di kampung Simuning yang terbiar sejak sekian lama.
Mohammad menarik perhatian, apakah pembangunan fizikal lebih penting daripada rohani sedangkan yang tinggal di kampung berkenaan adalah manusia yang mempunyai hati dan perasaan.

MOHAMMAD BIN ISA
“Tetapi perasan kami seringkali dipermainkan kerana pemimpin yang datang dan pergi melawat kampung kami hanya untuk menabur dan memperbaharui janji,” kata Mohammad dengan nada kesal kerana masalah keagamaan hanya menjadi modal kempen untuk pemimpin menagih undi.
Manakala anak Mantan Ketua Cawangan UMNO Kampung Simuning, Jarniah Abdul Karim, turut kesal kerana Ahli Parlimen Malaysia (Silam) Haji Salleh Kalbi hanya berjanji kosong dan memperdaya penduduk kampung Semuning agar menyokong beliau.
“Tetapi sampai hari ini janji mau bagi peruntukan kilat RM50,000 hanya janji kosong, lima sen pun tidak ada. Dia hanya datang gambar-gambar masjid ini lepas itu pulang dan tidak pandai datang-datang lagi sejak dua tahun lalu,” kata Jarniah yang menjelaskan masjid berkenaan dibina oleh arwah bapanya, tetapi tidak dapat disiapkan setelah bapanya uzur dan meninggal dunia.

JARNIAH BINTI ABDUL KARIM
Menurut Jarniah, Adun Tungku, Sahibus Samahah Ustaz Datuk Suhaili Mohd Said ada datang melawat dan berjanji mahu bantu dari segi peruntukan, tetapi memberikan alasan bahawa arah kiblat tidak tepat.
“Kalau arah kiblat tidak betul, maka kasi betulkanlah. Kenapa jadikan alasan untuk lepas tangan. Ini soal maruah agama Islam, bukan masalah politik yang boleh disepak terajang,” kata Jarniah yang kesal dengan sikap Suhaili.
Jarniah turut membidas Suhaili yang bersenang lenang ke tanah suci mengerjakan Haji sedangkan umat Islam di Kampung Simuning mengharapkan bantuan dan janjinya yang belum tertunai.
“Dia senang-senang pergi naik haji. Kalau dia perbaiki masjid ini, sudah tentu sama pahalanya dengan naik haji,” kata Jarniah yang turut merayu agar Tun Juhar Mahiruddin sudi melawat masjid berkenaan dan menghulurkan bantuan agar penduduk kampung dapat beribadah dengan selesa.

HAIRUN BIN SAKKAM
Dalam pada itu, Hairun Sakkam, yang telah 40 tahun menetap di Kampung Simuning memaklumkan sudah dua kali masjid berkenaan dipindahkan, tetapi masih belum berjaya disiapkan.
“Bukan kami tidak boleh kasi siap. Boleh juga kami berpatak-patak (berkongsi-kongsi) wang ringgit dan peralatan bagi menyiapkan masjid ini, tapi kami semua orang miskin dan terpaksa cari makan. Lagipun kita ada kerajaan dan ada pemimpin yang telah berjanji, bukan janji kepada kami, tetapi kepada Tuhan. Jika mereka mungkir, mereka akan dilaknat Tuhan,” ujar Hairun yang sering kali menjadi imam rawatib di masjid berkenaan.
Memandangkan kesemua 300 penduduk Kampung Simuning beragama Islam dan ahli UMNO, apatah lagi terdapat lebih kurang 200 pengundi berdaftar di kampung berkenaan, maka amat wajar Kerajaan Barisan Nasional pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengambil berat isu ini menjelang pilihanraya umum akan datang.
“Memandangkan masjid kami ini berdindingkan angin, beratapkan janji dan berlantaikan maruah, maka pilihanraya ke 13 adalah penentu sama ada penduduk Semuning akan terus kekal menyokong UMNO atau menukar angin atau mengambil sikap berkecuali,” kata Hairun yang selama ini merupakan penyokong akar umbi UMNO.
Hairun turut merayu agar Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEIANS) mengadakan lawatan khusus untuk menentukan arah kiblat yang betul sebagaimana mereka membetulkan arah kiblat Masjid Kampung Khamis di Lahad Datu dan seterusnya melantik Imam Kariah atau Imam Rawatib.
“Saya rasa ramai yang layak dan berminat untuk mengisi jawatan berkenaan kerana ramai yang tahu selok belok agama tetapi belum ditauliahkan JHEAINS,” kata Hairun yang bercadang untuk mengadakan Kelas Iqra dan Fardu Ain di masjid berkenaan jika siap dan mempunyai bekalan elektrik daripada Sistem Solar Hibrid Tambisan yang dijadualkan beroperasi awal tahun hadapan.

GURU TALIP BIN SALAPUDDIN
Bagi Guru Talib Salapuddin, 75, layanan Kerajaan Barisan Nasional terhadap penduduk kampung berkenaan adalah amat memalukan, apatah lagi diwakili oleh Adun yang bertaraf ulama.
“Sudah 48 tahun merdeka, beginikah masjid kami? Terima kasih kepada kerajaan BN,” kata Talib pendek dan tegas.


Pesanan daripada DKM Sabah, Mohon tindakan daripada pihak yang berjawib untuk menyiasat kebenaran aduan ini dan respon daripada pembaca amat diharapkan.
Share this Article on :

No comments:

Post a Comment

 

© Copyright DKM SABAH 2010 -2011 | Design by Herdiansyah Hamzah | Published by Borneo Templates | Powered by Blogger.com.