Kembara Kenali Borneo (KKB) di Bumi Sabah telah melabuhkan tirainya, dan kini Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya iaitu Negeri Sarawak. Berdasarkan perancangan asal, kembara ini dijadualkan berakhir pada 13 September 2023 dengan lokasi terakhir di Telok Melano, Sarawak.

Tiada siapa menyangka pasangan Diraja Tuanku Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, sanggup mencemar duli ke negeri Sabah dan Sarawak menerusi Kembara Kenali Borneo (03-13 September 2023). Hasrat ini telah disampaikan sendiri oleh YDPA semasa Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15 (13 Februari 2023).

Kembara Kenali Borneo turut disertai paduka anakanda Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana.

Berikut beberapa fakta menarik sepanjang Kembara Kenali Borneo keluarga Diraja ini sepanjang berada di bumi Sabah;


YDPA Memecah Tradisi Keluarga Diraja Pertama Memandu Mengelilingi Sabah dan Sarawak
Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permasuri Agong serta Putera dan Puteri Baginda, bukan hanya mencemar duli ke Sabah dan Sarawak bahkan juga memecah tradisi apabila menjadi YDPA pertama yang memandu sendiri melalui jalan raya yang dilalui oleh rakyat jelata setiap hari (khususnya di Sabah) yang terkenal dengan jolokan "Jalan Raya Bagaikan Di Bulan", melibatkan jarak perjalanan sejauh 985 kiometer (Tawau - Sipitang). Sepanjang kembara ini, pasangan Diraja akan menempuh jarak perjalanan sejauh 2,154 kilometer (Tawau, Sabah - Telok Melano, Sarawak). 



YDPA Mencemar Duli Ke Sabah Dan Sarawak Tanpa Protokol Ketat Istana
Lebih mengharukan apabila YDPA sanggup melonggarkan kawalan keselamatan dan protokol kebiasaan Istana semata-mata untuk merasai sendiri pengalaman memandu, bersalaman, berswafoto dan beramah mesra dengan rakyat di kedua-dua negeri yang tidak Beraja (Sabah dan Sarawak). Peluang ini dimanfaatkan  sepenuhnya oleh rakyat tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama, untuk sama-sama melihat YDPA dan Raja Permaisuri serta rombongan Diraja dengan lebih dekat.

Malah, nasihat daripada pihak Istana Negara agar rakyat sentiasa berada di bahu jalan dan tidak menyeberangi jalan raya ketika konvoi Kembara Kenali Borneo melintasi setiap lokasi yang dijadualkan untuk mengelakkan kemalangan serta tidak bersusah payah menanti ketibaan konvoi tersebut terutamanya sehingga lewat malam bersama anak-anak kecil, turut tidak diendahkan oleh rakyat. Jika diperhatikan daripada rakaman video yang tular, rakyat sanggup berbaris dibahu-bahu jalan, menunggu berjam-jam, malah ada yang sanggup menunggu dalam panas terik dan hujan lebat, semata-mata untuk melihat, bersalaman dan bertemu sendiri dengan Ketua Negara yang disanjungi.


YDPA Sanggup Berhujan Demi Untuk Tidak Mengecewakan Rakyat Jelata Yang Sanggup Menanti Ketibaan Konvoi
Lokasi hari terakhir Kembara Kenali Borneo di Sabah dijadualkan melalui lebuhraya Pan Borneo bermula dari Penampang, Papar, Kimanis, Beaufort dan Sipitang. Hujan lebat di sebelah petang melanda Beaufort dan Sipitang, namun ia tidak sedikitpun mematahkan hati rakyat jelata untuk menanti dengan sabar ketibaan konvoi melalui kedua-dua daerah ini. Malah dapat dilihat menerusi beberapa video yang dikongsikan di Tiktok, Tuanku YDPA dan Raja Permaisuri Agong serta paduka anakanda Tengku Arif, sanggup berhujan dan melambai ke arah rakyat jelata yang menunggu ketibaan konvoi di bahu-bahu jalan. Dalam video berkenaan juga terlihat jelas Raja Permaisuri Agong sedih dan terharu melihat sambutan rakyat jelata yang terpaksa bermandi hujan demi untuk bertemu, bersalaman dan melihat sendiri pasangan Diraja.





Raja Permaisuri Agong Tidak Mampu Menyembunyikan Rasa Sedih Dan Terharu Terhadap Sambutan Rakyat
Perjalanan daripada Tawau Airport ke Bandar Tawau kebiasaannya mengambil masa sekitar 30 minit. Namun konvoi YDPA dan rombongan terpaksa mengambil masa selama 6 jam untuk sampai ke lokasi penginapan, semuanya akibat sambutan luar jangka rakyat yang sanggup menunggu rombongan berjam-jam lamanya. Malah tidak ketinggalan ibu yang mendukung anak kecil sanggup berlari-lari menghampiri kenderaan Raja Permaisuri Agong dan rombongan semata-mata untuk bersalaman dan melihat sendiri Raja Permaisuri Agong yang dikasihi.


Linangan air mata dan rasa terharu Raja Permaisuri Agong terlihat jelas pada hari terakhir konvoi Kembara Kenali Borneo. Segalanya akibat keengganan rakyat jelata untuk berganjak walau seincipun dari bahu jalan meskipun hujan lebat semata-mata untuk menunggu ketibaan konvoi melalui destinasi terakhir iaitu Beaufort dan Sipitang. Inilah dikatakan Raja Dan Rakyat Rakyat Berpisah Tiada





Keterujaan Sifat Semula Jadi Rakyat Sabah
Selama ini, rakyat di kedua-dua negeri kepulauan Borneo ini hanya disajikan dengan video-video yang dikongsikan oleh rakan-rakan di Semenanjung berkaitan perihal kemuliaan dan sifat penyayang Tuanku dan Raja Permaisuri dalam menyantuni rakyat jelata, sehingga disifatkan sebagai YDPA Berjiwa Rakyat. Tanggapan rakyat di Semenanjung terhadap YDPA ternyata tepat. YDPA tidak hanya mencemar duli dengan memandu sendiri mengelilingi Sabah dan Sarawak, bahkan turut bersalaman, berswafoto, menjawab salam dan pertanyaan rakyat, serta turut mencatat dan merekod setiap aduan dan keluhan rakyat di sepanjang kembara Baginda di bumi Sabah. 

Benar, Sabah dan Sarawak antara negeri Tidak Beraja. Maka janganlah berasa hairan jika rakyat di kedua-dua negeri ini tidak terbiasa dengan laras bahasa dan istilah yang digunapakai oleh Istana. Tidak hairanlah jika pelbagai gelaran dan panggilan keluar dari bibir rakyat secara spontan dan tidak disengajakan akibat keterujaan kepada Ketua Negara yang disanjungi dan dihormati rakyat. Situasi dan perasaan yang tidak pernah melanda seluruh rakyat di negeri ini. Keterujaan untuk bertemu dengan YDPA dan Raja Permaisuri Agung tidak hanya melanda rakyat di Sabah, bahkan juga sahabat-sahabat daripada semenanjung Malaysia yang bertugas di negeri ini.

Rakyat Sabah berasa terharu apabila Baginda dan Raja Permaisuri Agong menganggap panggilan dan gelaran dari rakyat jelata sepanjang Kembara Kenali Borneo di bumi Sabah sebagai sesuatu yang menghiburkan Baginda. 

“Saya terharu apabila anak muda panggil saya Pakcik Agong, ada juga yang panggil saya Abang Agong, ada juga panggil gong, gong, gong. Sekurang-kurangnya menghiburkan saya,” titah Seri Paduka Baginda pada Majlis Santapan Malam Kerajaan Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), malam Rabu.




Orang Sabah Daif Soal Protokol Istana, Namun Tidak Lokek Memberi Yang Terbaik Kepada Pemimpin Yang Disayangi
Pelbagai reaksi daripada rakyat jelata terlihat jelas sepanjang Kembara Kenali Borneo (KKB) berlangsung. Video-video yang dikongsikan di platform media sosial seperti FB dan Tiktok, memperlihatkan bagaimana keterujaan rakyat itu diterjemahkan. Keterujaan yang ditunjukkan rakyat tambah bermakna apabila pasangan Diraja dan Konvoi melayani setiap telatah dan karenah rakyat. YDPA dan Raja Permaisuri Agong serta rombongan sendiri tidak menang tangan untuk bersalaman, berswafoto, menurunkan autograph, melambai, memberi dan menerima hadiah daripada rakyat serta mencatat aduan dan keluhan rakyat. Malah YDPA sanggup turun dari kenderaan untuk bergambar bersama pasangan pengantin, keluarga dan masyarakat setempat yang sanggup berdiri berjam-jam lamanya semata-mata untuk bersalaman dan berswafoto dengan YDPA.

Kerana perasaan teruja untuk bertemu dan bertentang mata dengan pasangan Diraja dan rombongan, ada dari kalangan rakyat yang tidak tahu untuk berbuat apa-apa. Ada dari kalangan rakyat yang secara semula jadi memberikan duit kepada paduka anakanda Tengku Arif. Tidak kurang juga yang memberi kuntuman bunga meskipun hanya sekadar bunga yang dipetik di tepi jalan. Lebih menggembirakan rakyat apabila, pelbagai hasil buah tangan dan nukilan ringkas yang sempat disediakan oleh rakyat turut diterima oleh konvoi Diraja demi tidak menghampakan sambutan rakyat.



Manifestasi KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
Sambutan luar jangka dan keterujaan yang disajikan oleh rakyat Sabah kepada YDPA, Permaisuri Agong serta rombongan, adalah manifestasi rakyat yang mendukung teguh rukun negara KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA. Sambutan luar jangka tanpa mengendahkan soal keselamatan sendiri, berpanas terik, bermandi hujan, mengharungi kesesakan lalu lintas bahkan syor dan saranan Istana untuk rakyat mengutamakan keselamatan dan tidak menunggu konvoi disepanjang laluan, tidak diendahkan rakyat. Kehadiran rakyat yang setia menanti konvoi YDPA di bahu-bahu jalan adalah atas kerelaan sendiri demi Ketua Negara yang disayangi. 

Rakyat yang hadir dengan kerelaan tidak menuntut sebarang pujian, sanjungan mahupun hadiah daripada pihak Istana mahupun Kerajaan. Cukup sekadar dapat bersua mata, bersalaman dan berswafoto. Malah rakyat sendiri tidak lokek memberi apa yang termampu dan seadanya diberikan kepada rombongan Diraja meskipun ia tidak seberapa, kerana Itulah budaya di Sabah. Janganla hairan jika rakyat sanggup berdiri berjam-jam, bermandi peluh di bawah panas terik, bermandi hujan serta tidak berganjak selagi belum bertemu dengan YDPA. Itulah namanya KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA. Ungkapan pada rukun negara yang tidak hanya dilafas di bibir bahkan tersemat utuh di hati dan diterjemahkan pada masa dan tempat yang sepatutnya. Daulat Tuanku



YDPA Tempat Rakyat Mengadu Bila Ahli Politik GAGAL Berfungsi
Raja dan rakyat diibaratkan seperti 'pohon' dan ‘akar’ yang tidak boleh dipisahkan sama sekali, di mana ‘pohon’ memayungi rakyat dengan cara memimpin, melindungi dan menjaga kebajikan dalam apa jua keadaan sekalipun. Demikian juga apa yang berlaku sepanjang Kembara Kenali Borneo, pelbagai aduan diterima oleh YDPA dan Raja Permaisuri Agong daripada rakyat. Aduan rakyat bukan kerana YB tiada, tapi kerana rakyat BOSAN dan MUAK dengan sikap ahli politik di negeri ini yang tidak mengendahkan setiap aduan dan keluhan rakyat khususnya YB Adun dan Ahli Parlimen. Ibarat mencurah air ke daun keladi, aduan rakyat jelata hanya dibakul sampahkan oleh ahli politik khususnya kerajaan negeri yang dipimpin oleh Ketua Menteri Sabah (DSP. Hajiji Noor).

YDPA sendiri mengakui ada menerima banyak rungutan dan keluhan rakyat yang berhubung kait dengan infrastruktur jalanraya, masalah bekalan air dan elektrik yang sering terputus. Baginda tidak mendedahkan secara terperinci aduan rakyat kepada khalayak ketika Majlis Makan Malam Diraja di SICC, namun  Baginda berjanji akan memanjangkan perkara tersebut untuk tindakan kerajaan pusat. Meskipun begitu, YDPA tetap tidak lupa untuk mengetengahkah satu isu yang menurut hemat Baginda sebagai penting dan perlu diambil tindakan segera oleh Kerajaan Negeri iaitu jambatan yang runtuh berhampiran Jambatan Sg. Liwagu (Kg. Lungkidau, Ranau). Jambatan berkenaan telah roboh sejak 2019 akibat banjir dan tidak diambil tindakan oleh Kerajaan Negeri sehingga kini. Lebih menyedihkan apabila jambatan tersebut menjadi penghubung antara kampung berhampiran dan sebagai ikhtiar, penduduk terpaksa menunggu air surut untuk menyeberangi sungai berkenaan.



Kembara YDPA Menyerlahkan Sifat Hipokrit Pemimpin Dan Ahli Politik Di  Sabah
Menjelang ketibaan rombongan kembara YDPA pada 03 September 2023, Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri, Ketua Menteri, YB dan Agensi kerajaan dilihat sibuk memperbaiki jalan-jalan yang bakal dilalui YDPA dan rombongan bagi memastikan perjalanan Baginda selamat dan selesa. Itula sifat hipokrit ahli politik yang ada di Sabah, jalan yang puluhan tahun diadukan rakyat kepada pemimpin dan ahli politik, tidak pernah diselesaikan. Kini, segalanya tampak elok dan sempurna hanya kerana kedatangan YDPA dan rombongan ke Sabah. 

Situasi ini menjadi persoalan di kalangan rakyat akan kredebiliti Kerajaan Negeri yang ada pada hari ini. Malah ada dari kalangan rakyat menyifatkan, tindakan YAB Ketua Menteri, Menteri, Adun dan Agensi Kerajaan yang membaikpulih jalanraya berlubang tidak lain tidak bukan hanya semata-mata kerana Kembara YDPA.



Sambutan Luar Biasa Rakyat Kepada Kembara Diraja Merupakan Sindiran Sinis Rakyat Kepada Ahli Politik Negeri
Ibarat muka ditampar Malaikat, itulah ungkapan yang sesuai kepada Ketua Menteri Sabah dan Kabinet Negeri serta Persekutuan apabila isu Jambatan Sungai Liwagu di ketengahkan YDPA kepada Negeri dan Pusat. Jambatan yang telah roboh akibat banjir serta menjadi laluan utama penduduk, kenderaan dan medium penghubung antara kampung sekitar, tidak diperbaiki sejak 2019. DSP Hajiji selaku Ketua Menteri Sabah mentadbir negeri sejak 2020 hingga sekarang, serta dibantu oleh 73 Adun, namun masih gagal berfungsi dengan sebaiknya. Malah Kerusi Parlimen P.179 Ranau dan Dun dalam sempadan Parlimen Ranau (Kundasang, Karanaan dan Paginatan) kesemuanya di menangi calon GRS. Apa fungsi keempat-empat YB yang ada di kawasan berkenaan? hingga gagal mengenalpasti kemudahan infrastruktur yang perlu pembaikan dan tindakan segera. Maka janganlah hairan jika rakyat Sabah sendiri tanpa rasa segan silu mengadu kepada YDPA, kerana YB yang diharapkan rakyat GAGAL memainkan peranan sewajarnya. 


RUMUSAN

Tidak perlu diragui dan dipersoal keterujaan rakyat ketika menyambut konvoi Kembara Kenali Borneo. Keterujaan rakyat yang sanggup menunggu di bahu-bahu jalan tanpa mengira panas terik dan hujan lebat terbalas apabila YDPA sendiri selaku Ketua negara dengan penuh rendah diri melonggarkan protokol Istana dan aspek keselamatan semata-mata untuk menyantuni rakyat. Situasi ini juga menjadi gambaran jelas bahawa rakyat lebih senang dengan pemimpin yang mudah didampingi dan sanggup mendengar keluhan rakyat.

Kepada yang mempersoalkan perbezaan layanan dan sambutan antara Orang Asal Sabah (OAS) dengan Bukan Orang Asal, itu semua tidak seharunya wujud lagi. Buktinya nyata terhidang di depan mata. Tidak mengira bangsa, ras keturunan dan anutan agama, dengan rela hati hadir di bahu-bahu jalan demi menterjemahkan manifestasi sebenar ungkapan pada rukun negara KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA. Rakyat Sabah telah buktikannya tidak hanya pada lafas di bibir, bahkan juga pada perbuatan di tempat dan masa yang sepatutnya.

Ingatlah, yang disambut dengan penuh keterujaan, harapan, kegembiraan dan diraikan ketika ini adalah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Belum ada lagi YDPA sebelumnya yang sanggup mencemar duli menyantuni rakyat di Sabah dengan memandu sendiri tanpa protokol rasmi Istana dan kawalan keselamatan yang ketat.

Kepada pemimpin-pemimpin Sabah, meskipun Negeri Sabah memiliki TYT, Ketua Menteri, Ahli Parlimen dan Adun, namun tidak semua daripada mereka mudah untuk didampingi oleh rakyat. Tidak cakna masalah rakyat, hilang ketika rakyat memerlukan dan muncul menjelang PRU atau PRN menjadi faktor mengapa rakyat di negeri ini muak dan bosan untuk bertemu dan mengadu masalah rakyat kepada YB dan ahli politik di kawasan masing-masing. 

Tepuk dada tanya selera, di mana anda (YAB Ketua Menteri dan YB GRS) ketika rakyat memerlukan?


Daulat Tuanku... 



RUJUKAN

Hanum, Hassan, Nurul A & Abdul Halim - UniMap (2020); Raja dan Rakyat Berpisah Tiada
http://dspace.unimap.edu.my/xmlui/handle/123456789/65711

https://dkmsabah.blogspot.com/2023/09/warkah-bersempena-kembara-borneo.html

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/09/1147977/kembara-kenali-borneo-bersama-agong-bermula-hari-ini#google_vignette

https://vt.tiktok.com/ZSL35w1Fm/

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kembara-kenali-borneo-orang-ramai-dinasihatkan-jaga-keselamatan-elak-tunggu-hingga-lewat-malam-435891

https://www.facebook.com/fadillahyusof194/videos/1486159235512512

Tiktok-Pejuang1978 (06 September 2023); Tidak Malukah Menteri-Menteri Sabah?
https://vt.tiktok.com/ZSL3uS4n9/

https://ecentral.my/kembara-kenali-borneo/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=kembara-kenali-borneo

Sinar Harian, (07 September 2023); Agong terharu terima layanan mesra di Sabah.
https://www.sinarharian.com.my/article/277749/berita/nasional/agong-terharu-terima-layanan-mesra-di-sabah

Tiktok-Adi Mandar (07 September 2023); Permaisuri Menangis.
https://www.tiktok.com/@sayadidahari/video/7276019140710780161?_r=1&_t=8fUY26RCeUD

https://vt.tiktok.com/ZSL35cYJf/

Youtube Channel - Malaysia Gazette TV (07 September 2023); Dipanggil Pakcik Agong, YDPA Kongsi Kisah Lucu Di Sabah
https://www.youtube.com/watch?v=BgyFSAuc2Vw

https://www.facebook.com/watch/?extid=WA-UNK-UNK-UNK-AN_GK0T-GK1C&mibextid=2Rb1fB&v=832896015039878

https://www.facebook.com/zainudin.ismail.180/videos/810915374158300

https://www.facebook.com/photo?fbid=684468627042923&set=a.459914889498299

#madani #madanon #mahaldahni #umdap #pkr #pnbest #phancing #hoihoyahoi #beras #fypシ゚viral #fypシ゚viral #fypシ゚viralシreels