HUTANG PENEROKA FELDA, SIAPA SELESAIKAN?



Isu penyelesaian hutang peneroka FELDA menjadi isu yang paling mencuri tumpuan selepas pembubaran DUN di enam (6) negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor. Isu berhubung Kerajaan mana yang sebenarnya menyelesaikan hutang peneroka mula kecoh apabila Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa ucapannya di Majlis Sambutan Hari Peneroka Felda 2023 (Serdang; 7 Julai 2023) dan Program Temu Anwar Universiti Utara Malaysia – UUM (Kedah; 8 Julai 2023) memaklumkan bahawa, pada 28 Jun 2023 lalu, Kerajaan mengumumkan telah menandatangani perjanjian melibatkan jaminan Kerajaan kepada Felda untuk menstruktur semula pinjaman melalui terbitan sukuk dan kredit pusingan dalam usaha memulihkan kedudukan kewangan FELDA. Ini juga membolehkan FELDA memberi pemansuhan 80 peratus hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion.


KRONOLOGI

2017: Baki tunai Felda dilaporkan telah jatuh menjunam apabila hanya tinggal sebanyak RM400 juta pada tahun 2017 daripada purata RM25 bilion sepanjang tempoh 2007 hingga 2011. Malah dicatatkan baki aliran tunai terus corot sehingga RM35 juta pada Mei 2018.

10 April 2019: Kertas Putih FELDA telah dibentangkan oleh Mantan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Kertas itu dibentangkan berikutan kecelaruan pengurusan dan hutang melampau FELDA yang melebihi RM8 bilion.

7 Julai 2021: Kerajaan bersetuju dengan cadangan pelupusan sebahagian hutang peneroka FELDA, RM8.3 bilion, melalui inisiatif pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat terutama bagi generasi awal yang telah berkorban keringat dan air mata untuk membolehkan program rancangan pembangunan tanah ini dijayakan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena Sambutan Hari Peneroka.

06 Mac 2022: YB Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Mantan Menteri Ekonomi) mendedahkan, walaupun Parlimen meluluskan cadangan dibuat di dalam Kertas Putih FELDA, Kerajaan PH ketika itu (2019) tidak berminat untuk melaksanakannya kerana ada dalam kalangan parti gabungan yang ekstrem serta tidak mahu melihat umat Islam dan bangsa Melayu berjaya. Sebaliknya, kata beliau penghapusan hutang peneroka Felda sebanyak RM8.3 bilion itu dilakukan Pengerusi PN sendiri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga anak bangsa Johor ketika beliau menjadi Perdana Menteri. 

23 Februari 2023: Kerajaan membuat keputusan menghentikan pelaksanaan penghapusan hutang peneroka Felda yang dimulakan kerajaan di bawah kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan kini tidak dapat meneruskan pelaksanaan penghapusan hutang peneroka Felda secara berterusan kerana penghapusan hutang pada tahun 2021 telah memberi impak yang besar terhadap aliran tunai Felda.

24 Februari 2023: Pelupusan sebahagian hutang peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berjumlah RM8.3 bilion daripada jumlah keseluruhan sebanyak RM12.1 bilion telah selesai dilaksanakan pada tahun 2021. Pengerusinya, Tan Sri Idris Jusoh berkata, keputusan tersebut tidak pernah dibatalkan oleh mana-mana kerajaan termasuk Kerajaan Perpaduan.


28 Jun 2023: Memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan, menandatangani perjanjian membabitkan Jaminan Kerajaan kepada FELDA untuk menstruktur semula pinjaman agensi itu dengan sebahagian besar membabitkan pengurangan prinsipal hutang FELDA bersama institusi kewangan sebanyak RM7.9 bilion. Perjanjian itu antara lain akan mengurangkan kos kewangan FELDA terhadap kadar faedah yang dikenakan serta membolehkan organsiasi itu memberi pemansuhan 80 peratus hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion yang dilaksanakan pada 2021.

07 Julai 2023: Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa ucapannya di Majlis Sambutan Hari Peneroka Felda 2023 (Serdang), mengumumkan Kerajaan pada 28 Jun 2023 lalu telah menandatangani perjanjian melibatkan Jaminan Kerajaan kepada Felda untuk menstruktur semula pinjaman melalui terbitan sukuk dan kredit pusingan dalam usaha memulihkan kedudukan kewangan FELDA.

08 Julai 2023: Program Temu Anwar Universiti Utara Malaysia – UUM (Sintok, Kedah). Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan beliau yang menandatangani pelupusan hutang peneroka Felda RM8.3 bilion. Beliau berkata, walaupun pentadbiran sebelum ini bersetuju menyelesaikan hutang itu, namun janji itu tidak diselesaikan.

“Memang ada persetujuan dulu, tapi tak selesai. Belanjawan 2021 Perikatan Nasional (PN), 2022 PN tidak ada peruntukan untuk menyelesai dan meluluskan hutang Felda. I stand by this record’ hanya dalam Belanjawan Madani 2023 saya serahkan RM990 juta peruntukan awal untuk melupuskan hutang peneroka Felda yang jumlahnya RM8.3 bilion,” katanya dalam forum Temu Anwar di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok.

08 Julai 2023: Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mendakwa kerajaan PN pimpinan Muhyiddin itu tidak melaksanakan janji dalam melupuskan hutang peneroka. Beliau berkata, kerajaan pada 2021 hanya mengumumkan usaha untuk pelupusan hutang peneroka kepada FELDA, tanpa ada perjanjian bertulis dengan FELDA untuk menunaikan komitmen itu.

09 Julai 2023: Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa penghapusan hutang dan penerbitan sukuk adalah dua perkara yang berbeza. Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menjawab berhubung dakwaan kononnya kerajaan terdahulu tidak melaksanakan penghapusan hutang peneroka FELDA dengan menjelaskan kelulusan yang ditandatangani Anwar baru-baru ini adalah sukuk, bukan penghapusan hutang.

“Dia (Anwar) kata baru-baru ini dia sudah sain satu cek berjumlah 900 juta untuk dibagikan kepada FELDA. Dia tak faham. Ini saya nak sebutkan kepada Perdana Menteri ni tak tahu ke tak reti. Yang itu ialah soal sebahagian daripada apa yang dikatakan iaitu bon, Islamik sukuk bon yang dikeluarkan berdasarkan laporan yang saya sebut tadi untuk membantu memulihkan FELDA".

19 Julai 2023: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengemukakan surat tuntutan (LOD) kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kenyataan mengenai pelupusan hutang peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) selain menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Perdana Menteri. LOD disediakan firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership bertarikh 18 Julai 2023 (Selasa) itu dihantar ke dua alamat Anwar iaitu di kediamannya di Kajang, Selangor dan Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. Antara yang dituntut termasuklah;

1. Dalam pada itu LOD terbabit turut menuntut Perdana Menteri untuk mengemukakan surat atau dokumen yang beliau tandatangan sebagai Menteri Kewangan pada akhir Jun 2023 bagi meluluskan pelupusan hutang peneroka Felda bernilai RM8.3 bilion dalam tempoh 24 jam.

2. Menarik balik kesemua kenyataan fitnah dan memadamkan penyiaran dari akaun Facebook serta laman web, platform ia disiarkan.

3. Anwar juga dituntut membuat permohonan maaf tanpa syarat dan terbuka secara bertulis, menyiarkan yang sama di akaun Facebook dan semua platform kenyataan berkenaan disiarkan.

20 Julai 2023: Datuk Sri Anwar Ibrahim menerusi FB Page Rasmi (Anwar Ibrahim) memuat naik dokumen rasmi perjanjian Assignment for Financial Service Reserve Account (FSRA) terkait Jaminan Kerajaan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang telah saya tandatangani dan mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memohon maaf atas fitnah yang dilemparkan kepada beliau.




SIAPA BERBOHONG?

Berikut disertakan Jawapan Bertulis Dewan Rakyat Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Parlimen Kelima Belas Tahun 2023 – Nombor Soalan 46, bertarikh 23 Februari 2023. Jawapan YB Dato’ Sri Azalina Binti Othman Said (Menteri JPM – Undang-Undang dan Reformasi Institusi) dengan jelas membuktikan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Julai 2021 telah menunaikan janjinya dengan melupuskan hutang peneroka FELDA bernilai RM8 bilion. Malah menurut YB Dato’ Sri Azalina lagi, Kerajaan kini (Kerajaan Perpaduan) tidak dapat meneruskan pelaksanaan penghapusan hutang peneroka FELDA secara berterusan kerana penghapusan hutang pada tahun 2021 telah memberi impak yang besar terhadap aliran tunai FELDA.

Mantan Pengerusi FELDA Tan Sri Idris Jusoh turut mengesahkan jawapan YB Azalina dengan menyatakan, pelupusan sebahagian hutang peneroka FELDA berjumlah RM8.3 bilion daripada jumlah keseluruhan sebanyak RM12.1 bilion telah selesai dilaksanakan pada tahun 2021. Keputusan tersebut menurutnya, tidak pernah dibatalkan oleh mana-mana kerajaan termasuk Kerajaan Perpaduan. Jelasnya, semua peneroka yang menandatangani perjanjian pelupusan hutang tersebut telah menikmati manfaat dengan bayaran kembali pinjaman yang jauh lebih rendah dan mampu dibayar.

Kenyataan daripada kedua-dua tokoh ini sekaligus menjawab tiga (3) persoalan pokok yang cuba dimainkan oleh pemimpin-pemimpin UMDAP (UMNO & DAP);

Persoalan 1: Lulus tapi tiada peruntukan?
Pelupusan hutang peneroka FELDA tidak memerlukan peruntukan dana kerajaan ketika ia dilupuskan kerana itulah ia tidak ada di dalam Bajet. Hutang-hutang itu ibarat ‘bad debt’ atau hutang lapuk yang tidak boleh dikutip oleh FELDA. Bila hutang-hutang itu dihapus kira, ia tidak lagi dikira sebagai sebahagian daripada aset FELDA. 

Persoalan 2: Hutang Apa Yang Diselesaikan Kerajaan Perpaduan (MADANI)?
Tidak dinafikan lagi, peruntukan bernilai RM9.9 bilion yang diluluskan oleh YAB Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim, adalah peruntukkan bagi membolehkan penebusan semula sukuk berjaminan kerajaan bernilai RM9.9 bilion yang diterbitkan oleh Kerajaan Perikatan Nasional pada tahun 2021 yang bertujuan untuk membiayai hapus kira hutang peneroka bagi membiayai pembelian saham FGV berjumlah RM3.9 bilion serta mengurangkan hutang FELDA kepada Maybank dan KWSP berjumlah RM6 bilion.

Persoalan 3: Bagaimana FELDA Bayar Hutang?
Pada tahun 2021, Kerajaan PN telah bersetuju untuk FELDA menerbitkan sukuk berjaminan Kerajaan bernilai RM9.9 bilion untuk membiayai pembelian saham FGV berjumlah RM3.9 bilion dan mengurangkan hutang FELDA kepada Maybank dan KWSP berjumlah RM6 bilion.

Sukuk ini boleh diterbitkan secara berperingkat. Maka pada 24 Mac 2021, ketika YAB Tan Sri Muhyiddin adalah Perdana Menteri, FELDA telah melaksanakan penerbitan pertama sukuk jaminan kerajaan berjumlah RM2.005 bilion bagi melaksanakan penyelesaian pinjaman dengan Maybank.

Seterusnya pada 16 dan 18 November 2021, iaitu ketika YAB Dato’ Sri Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri, FELDA telah melaksanakan penerbitan kedua dan ketiga sukuk sebanyak RM365 juta dan RM350 juta bagi melaksanakan penyelesaian pinjaman dengan Maybank. 

Keseluruhan sukuk yang diterbitkan sehingga bulan November 2021 berjumlah RM2.72 bilion.  Terbitan sukuk ini sebahagiannya bertujuan untuk menyelesaikan hutang FELDA kepada bank, dan bukannya hutang peneroka FELDA kepada FELDA.


RESPON BALAS PENEROKA

Tosrin Jarvanthi, 79 (peneroka generasi pertama Felda Taib Andak) berkata, pelupusan hutang telah dilaksanakan pada tahun 2021. Sejak menjadi peneroka pada 1979, ini adalah kali pertama peneroka Felda diberi penyata yang lengkap. “Semenjak saya menjadi peneroka pada tahun 1979, itulah kali pertama saya lalui detik bersejarah hutang peneroka Felda dihapuskan. “Jumlah keseluruhan hutang saya bernilai RM85,313. Hapusan hutang kebun ialah RM76,461.88. Jadi baki hutang saya ialah RM8,851.12,” katanya.

Hairolnizam Kusnin, 38 (Ketua Pentadbir Ladang Felda Taib Andak) pula berkata, sebagai wakil generasi kedua, isu seperti itu diambil berat oleh peneroka. “Saya keliru dengan kenyataan isu pelupusan Felda baru-baru ini kerana kami telah membayar baki hutang selepas pelupusan dibuat sebanyak lebih kurang RM400 sebulan,” katanya. Menurut Hairolnizam, sebelum pelupusan hutang dibuat, peneroka atau wakil perlu membayar RM800 hingga RM1,500 berdasarkan keluasan tanaman.


KESIMPULAN

Dapat disimpulkan bahawa hutang yang diselesaikan oleh Tan Sri Muhyiddin adalah HUTANG PENEROKA KEPADA FELDA BERNILAI RM8.3 BILION sementara hutang yang diselesaikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pula adalah HUTANG FELDA KEPADA INSTITUSI KEWANGAN BERNILAI RM7.9 BILION menerusi jaminan Kerajaan sehingga RM9.9 bilion untuk Felda menerbitkan sukuk seterusnya dapat membantu mengurangkan beban kewangan organisasi itu.

Tan Sri Muhyiddin telah menunaikan janji beliau kepada para peneroka yang diumum pada 7 Julai 2021 bersempena dengan Sambutan Hari Peneroka. Keputusan yang diambil oleh Tan Sri Muhyiddin disifatkan sebagai suatu penghargaan kepada penat-lelah peneroka generasi terdahulu dalam sama-sama membangunkan FELDA. 

Hasilnya, purata bayaran balik pinjaman peneroka kini telah berkurangan daripada sekitar RM800 – RM1000, kepada hanya RM250 – RM300 sebulan bagi peneroka sawit dan serendah RM150 bagi peneroka getah iaitu satu kadar yang sangat munasabah dan mampu dibayar oleh mereka.





RUJUKAN





















PAUTAN VIDEO





Tidak Miskin Orang Yang BERSEDEKAH

https://picasion.com/

No comments:

Post a Comment