Masih belum terlewat untuk mengucapkan tahniah di atas kemenangan bergaya Barisan Nasional (BN) yang berjaya membentuk kerajaan stabil menerusi kejayaan memenangi 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan pada PRN Melaka (20 November 2021), dengan kali terakhir BN memperolehi majoiriti 2/3 bagi kerusi DUN Melaka adalah pada PRU-12 (2008) dengan memenangi 23 kerusi DUN. 

PRN Melaka secara dasarnya bukanlah suatu PRN yang boleh dijadikan ukuran penerimaan rakyat terhadap BN secara keseluruhannya. Terdapat beberapa faktor mengapa PRN Melaka tidak boleh dijadikan penanda aras bahawa rakyat telah kembali kepada BN, antaranya termasuklah;

1) PRN Melaka tidak melibatkan daftar pemilih automatik, dengan negeri Melaka sahaja merekodkan seramai 151,961 pemilih automatik jika mengambil kira daftar pemilih ST2 2021.

2) Peratusan keluar mengundi rendah iaitu hanya sekitar 63.99 peratus (316,922) orang pemilih menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih berbading 83.45 peratus (412, 811) pada PRU-14 (2018).

Jika kemanisan membentuk kerajaan negeri Melaka yang stabil kesan daripada perbuatan UMNO itu sendiri yang menjadi punca ketidak stabilan politik di Melaka dijadikan ukuran dan faktor untuk melobi beberapa kerusi strategik di Sabah, Maka sejujurnya UMNO Sabah SILAP. Situasi politik di semenanjung Malaysia khususnya Melaka adalah berbeza dengan situasi politik di Sabah, dan kemenangan bergaya dengan peningkatan satu (1) peratus undi popular bukanlah indikator terbaik dalam mengukur penerimaan rakyat terhadap UMNO pada PRU-15 akan datang.

Untuk Kerusi P.170 Tuaran misalnya, gerakan agresif UMNO untuk melobi kerusi berkenaan bagi memberi laluan Ketua Bahagiannya yang juga dilabel sebagai YB Nomad (tidak memiliki kawasan untuk bertanding), dengan jelas menunjukkan bahawa UMNO tidak berpijak di bumi yang nyata. Malah kenyataan angkuh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian P.170 Tuaran (Alfian Sambas) membuktikan UMNO kini menghidap penyakit ASB yang Kronik. ASB merujuk kepada (Angkuh, Sombong dan Bongkak) berdasarkan situasi dan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pemuda UMNO P.170 Tuaran yang dilihat tidak mencerminkan semangat perpaduan dalam GRS dan situasi sebenar di Sabah;

1. Kerjasama sebelum ini hanya untuk bersama Perikatan Nasional (PN) bagi menubuhkan kerajaan dan bukannya bersama BERSATU, PKR dan DAP untuk bekerjasama dalam politik. 

2. Sudah tiba masanya untuk UMNO menjadi calon di Parlimen Tuaran, kita sudah terlalu lama berkorban dan berkompromi untuk parti komponen yang akhirnya kepercayaan rakyat dimusnahkan yang lebih mementingkan kepentingan peribadi daripada rakyat”. 

3. Pemuda UMNO Bahagian P.170 Tuaran meluluskan usul menyokong keputusan AMT UMNO untuk menolak Kerjasama dengan BERSATU, PKR dan DAP pada PRU-15 yang akan datang. P


Ketiga-tiga kenyataan ini akan dijawab dengan fakta dan hujah yang sewajarnya, demi memberi kesedaran kepada segelintir ahli UMNO yang rata-ratanya memiliki simptom penyakit ASB tahap kronik.


1. Kerjasama sebelum ini hanya untuk bersama Perikatan Nasional (PN) bagi menubuhkan kerajaan dan bukannya bersama BERSATU?

Adakah kenyataan ini mengambil kira situasi sebenar politik Sabah? Bagaimana pula kedudukan UMNO dalam GRS yang mana BERSATU merupakan komponen GRS yang terdiri daripada STAR, PBS, SAPP dan PAS? Jika berpandukan kepada kenyataan ini, seharunya UMNO ketika ini tidak lagi berada dalam GRS. Maka atas dasar itu, kenapa dikatakan segelintir ahli dan pemimpin UMNO Sabah sememangnya mengalami simptom ASB yang semakin parah dengan salah satu gejala penyakit ASB adalah “cakap dulu, fikir kemudian”. PRU-14 tampaknya tidak memberi pengajaran berguna buat UMNO apatah lagi situasi tenat UMNO ketika PRN-16 Sabah.




Untuk Rekod, UMNO Sabah pernah mencatat kemenangan bersih (32/32 kerusi DUN) pada PRU-12 (2008). Namun segalanya berakhir pada PRU-14 (2018) apabila UMNO hanya mampu menang 7 daripada 14 Kerusi Parlimen dan 17 daripada 32 kerusi DUN yang ditandingi. Prestasi merundum tersebut diteruskan pada PRN-16 Sabah (2020) apabila UMNO hanya mampu menangi 14 daripada 32 kerusi DUN yang ditandingi, iaitu pengurangan sebanyak 3 kerusi DUN berbanding PRU-14. Malah seramai empat (4) orang calon daripada UMNO hanya mampu merekodkan majoriti kurang 1,000 undi dengan tiga (3) daripadanya dibawah majoriti 700 undi (N.22 Pantai Manis, N.58 Lamag dan N.57 Balung) dan seorang dengan majoriti 16 undi (N.16 Karambunai).

Situasi ini seharusnya menyedarkan UMNO terutamanya UMNO Sabah akan realiti sebenar trend dan pola pengundian di Sabah. UMNO yang ada kini bukan lagi sekukuh UMNO 30 tahun dahulu, iaitu ketika UMNO mula-mula melebarkan sayapnya ke Sabah (1991) dengan Tun Mustapha menjadi Pengerusi UMNO Sabah yang pertama. UMNO perlu sedar, adalah mustahil untuk UMNO memperolehi kemenangan di 14 DUN pada PRN-16 lalu jika BERSATU turut meletakkan calon. UMNO bukan hanya melawan Warisan pada ketika itu, tapi juga turut berhadapan dengan sentiment penolakan rakyat terhadap UMNO yang dilihat gagal sepanjang tempoh UMNO diberi mandat mentadbir Sabah.


2. “Sudah tiba masanya untuk UMNO menjadi calon di Parlimen Tuaran, kita sudah terlalu lama berkorban dan berkompromi untuk parti komponen yang akhirnya kepercayaan rakyat dimusnahkan yang lebih mementingkan kepentingan peribadi daripada rakyat”. 

Dua persoalan bermain difikiran DKMSabah. Pertama, adakah Ketua Pemuda UMNO Tuaran bercakap tanpa melihat data komposisi kaum semasa di Parlimen P.170 Tuaran. Kedua, sejak bila pula UMNO berkorban untuk kerusi P.170 Tuaran kepada komponen?

Bagi soalan pertama, Parlimen P.170 Tuaran untuk data daripada Daftar Pemilih ST3/2021 menunjukkan bahawa Parlimen P.170 Tuaran adalah kawasan Majoriti pengundi KDMR (30,371 pemilih: 55.87%). Sementara pengundi Bumiputra Islam (BI) pula adalah berjumlah 20,040 pemilih (34.96%). Angka ini dengan jelas membuktikan bahawa, dalam kalangan komponen GRS, Parti Bersatu Sabah (PBS) mewakili pengundi KDMR adalah yang layak untuk melobi kawasan ini berbanding UMNO yang baru menang satu kerusi baharu (N.13 Pantai Dalit) namun vokalnya ibarat menang keseluruhan 73 kerusi DUN Sabah, “ibarat telur sebiji riuh sekampung”. 



Jawapan kepada persoalan kedua pula, iaitu sejak bila UMNO P.170 Tuaran berkorban? Untuk rekod, kerusi P.170 Tuaran adalah kerusi Parlimen yang tidak pernah ditandingi oleh UMNO sejak kali pertama UMNO bertapak di Sabah (1991).

Senarai Calon dan Parti Yang Pernah Memenangi Kerusi P.170 Tuaran


Sejarah tidak pernah menipu, dan ini fakta sebenar yang harus ditelan oleh UMNO P.170 Tuaran yang kini diketuai oleh mantan YB Nomad yang turut kalah pada PRU-14 lalu dengan majoriti besar dan tidak pernah berlaku kepada UMNO khususnya di kawasan majoriti pengundi Bumiputra Islam (BI). Memang benar jika dikatakan UMNO banyak berkorban khususnya kepada calon UPKO semasa PRU-13, dengan undi daripada DUN N.12 Sulaman yang ketika itu diketuai oleh DSP. Hj. Hajiji Noor berjaya menyelamatkan calon UPKO (DSP. Wilfred Madius Tangau) yang kalah dihampir keseluruhan Daerah Mengundi (DM) majoriti pengundi KDMR. 

Pendekatan yang diamalkan oleh DSP. Hj. Hajiji Noor, iaitu tidak akan mengkhianati rakan dalam gabungan, menjadi faktor kenapa beliau cukup disenangi oleh rakan dalam GRS mahupun pembangkang. Pendekatan ini turut diterapkan dalam UMNO P.170 Tuaran suatu ketika dahulu dan tidak seharusnya dirosakkan oleh mereka yang terdesak untuk menjadi calon PRU-15. Tidak perlu menjaja nama UMNO kononnya telah banyak berkorban, cakap saja Ketua Bahagian UMNO terdesak untuk menjadi calon kerana tiada kawasan untuk bertanding. Senang, tidak perlu madah berhelah.


UMNO Tuaran sudah terlalu lama berkompromi? Sedar atau tidak, dari segi komposisi agihan kerusi mengikut parti politik bagi parlimen P.170 Tuaran adalah 2:1:1 iaitu 2 PBS (N.14 Tamparuli dan N.15 Kiulu) dan masing-masing satu (1) kerusi untuk BERSATU (N.12 Sulaman) dan N.13 Pantai Dalit. Dalam kondisi semasa, parti yang paling berkompromi bagi kerusi P.170 Tuaran adalah Parti Bersatu Sabah (PBS) dan bukannya UMNO.

Komposisi kaum mengikut Daerah Mengundi (DM) pula menyaksikan, sebanyak 30 DM daripada keseluruhan 40 DM yang terdapat di Parlimen P.170 Tuaran adalah majoriti pengundi KDMR berbanding hanya 10 DM majoriti pengundi BI. Kesemua 10 DM majoriti pengundi BI bagi parlimen P.170 Tuaran masing-masing 5 DM di DUN N.12 Sulaman dan 5 DM di DUN N.13 Pantai Dalit. Fakta mana yang menunjukkan UMNO P.170 Tuaran sudah terlalu lama berkompromi?


3. Kerjasama sebelum ini hanya untuk bersama Perikatan Nasional (PN) bagi menubuhkan kerajaan dan bukannya bersama BERSATU, PKR dan DAP?

Krisis politik membabitkan UMNO pada PRU-14 dengan sentiment untuk merubah kerajaan Pusat dan Negeri, dilihat tidak memberi kesan besar kepada populariti DSP Hj. Hajiji Noor bagi keseluruhan DM yang terdapat di DUN N.13 Pantai Dalit. Malah imej dan kredibiliti calon UMNO (Dayah Jasni) selaku Timbalan Ketua Bahagian UMNO P.170 Tuaran bagi kerusi DUN N.13 Pantai Dalit yang juga merupakan kerusi baharu pada PRN-16 dilihat masih gagal mengimbangi imej dan kredibiliti DSP Hj. Hajiji Noor dari segi perolehan undi. Persoalan yang perlu dijawab oleh UMNO P.170 Tuaran adalah, apakah UMNO P.170 Tuaran mampu memenangi kerusi P.170 Tuaran tanpa sokongan daripada BERSATU dan PBS?

Jika kenyataan Ketua Pemuda UMNO P.170 Tuaran ini dijadikan asas kepada pertembungan sesama sendiri antara BN dan GRS/PN pada PRU-15 yang akan datang, adakah UMNO P.170 Tuaran berupaya memenangi kerusi ini dalam keadaan GRS (PBS + BERSATU) menentang BN (UMNO)? Adakah pengundi muda yang seramai (24,368 pengundi / 29.80%) telah kembali kepada BN? Mampukah UMNO P.170 Tuaran menang dengan imej Ketua Bahagiannya yang kalah di P.171 Sepanggar kawasan majoriti pengundi BI (PRU-14; majoriti -12,984 undi) selain imej tercalar apabila salah satu daripada 8 daerah termiskin di Sabah datangnya daripada Parlimen yang dimenangi beliau pada PRU-13 dan juga ketika beliau menjawat jawatan Menteri EPU?

Analisa berdasarkan Daerah Mengundi (DM), tidak termasuk Pengundi Pos dan Pengundi Awal

Parlimen P.170 Tuara adalah kawasan majoriti pengundi KadazanDusun Murut dan Rungus (KDMR). Berdasarkan data Daftar Pemilih ST3/2021, komposisi kaum KDMR bagi parlimen P.170 Tuaran adalah seramai 30,371 (55.87%) pemilih berbanding Bumiputra Islam (BI) termasuk pengundi Melayu yang berjumlah 20,040 (36.87%) pemilih. Data ini seharusnya menjadi panduan sebelum UMNO P.170 Tuaran mengeluarkan sebarang kenyataan yang hanya akan menggambarkan betapa kroniknya Penyakit ASB yang dialami UMNO Sabah ketika ini.

Sedarkah UMNO P.170 Tuaran bahawa, daripada keseluruhan 40 DM yang terdapat di Tuaran, 30 daripadanya merupakan DM majoriti pengundi KDMR. Dengan 5 DM majoriti pengundi BI terdapat di DUN N.12 Sulaman (BERSATU) sementara 5 DM lagi di DUN N.13 Pantai Dalit yang kini diwakili UMNO, agak mustahil UMNO berupaya untuk memenangi kerusi P.170 Tuaran tanpa sokongan padu daripada DSP Hj. Hajiji Noor (N.12 Sulaman) serta pemimpin-pemimpin PBS seperti Datuk Jahid Jahim (N.14 Tamparuli) dan Datuk Joniston Bangkuai (N.15 Kiulu).

Selain itu, bilangan pengundi BI (ST3/2021) bagi DUN N.13 Pantai Dalit hanya seramai 9,037 (15.77%) daripada keseluruhan pemilih (57,320) bagi parlimen P.170 Tuaran. Jika situasi ini diambil kira dalam menoktahkan Kerjasama UMNO dan BERSATU pada PRU-15 kelak, tidak mustahil kerusi P.170 Tuaran mungkin menjadi mimpi ngeri bagi UMNO P.170 Tuaran.


4. Pemuda UMNO Bahagian P.170 Tuaran meluluskan usul menyokong keputusan AMT UMNO untuk menolak Kerjasama dengan BERSATU?

Benarlah jika rakyat melabel UMNO Sabah ibarat "Lembu Dicucuk Hidung". Janganlah hairan jika UMNO sepanjang tempoh hampir 20 tahun mentadbir, gagal untuk memperjuangkan MA63 ataupun menuntut tambahan royalti minyak meskipun tambahan sekadar satu peratus (1%). Malah projek Pan Borneo dan kouta 90 peratus dalam perjawatan disektor awam diberikan kepada orang Sabah hanya diumum diakhir-akhir riwayat UMNO/BN berkuasa, iaitu ketika UMNO/BN sedar akan kalah pada PRU-14.

Menluluskan usul Menyokong Keputusan AMT UMNO untuk menolak kerjasama dengan BERSATU, dengan jelas memperlihatkan UMNO Sabah tidak memiliki autonominya sendiri. Bagaimana mungkin UMNO berupaya memperjuangkan Autonomi Sabah jika autonomi dalam UMNO Sabah sendiri gagal ditegakkan? Keputusan yang diambil sama sekali tidak mencerminkan keadaan dan kedudukan UMNO pada ketika ini. Adakah kuasa autonomi UMNO Sabah yang diluluskan ketika pindaan usul mesyuarat khas bersempena Persidangan Agung UMNO 2019 (PAU 2019), hanya sekadar retorik atau indah khabar dari rupa?

"Peralihan tersebut memaktubkan kewujudan UMNO Sabah sebagai sebuah entiti politik yang berautonomi kerana hanya orang Sabah yang lebih arif akan masalah dan perkara yang boleh dilakukan di negeri itu. Kita diberi kuasa untuk menguruskan segala urusan. Ia masih 'UMNO' cumanya kita akan lokalkannya. Soal calon, soal pemimpin, soal kerusi yang kita tanding termasuk di (Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen) Kimanis nanti akan diputuskan oleh UMNO Sabah sendiri".
DSP Bung Moktar Radin: 8 Disember 2019 - PAU (Astro Awani)


Jika BERSATU meletakkan calon dibeberapa kerusi yang dimemangi UMNO pada PRN-16 yang lalu, pastinya UMNO tidak mungkin mampu memperoleh kemenangan mudah dibeberapa kerusi DUN yang dimenangi UMNO.


Berdasarkan jadual di atas, sekurang-kurangnya terdapat sebanyak 7 kerusi DUN yang dimenangi UMNO kurang daripada majoriti 1,500 undi, mungkin berhadapan dengan kekalahan jika BERSATU nekad meletakkan calon atas tiket Perikatan Nasional (PN). Antara kawasan yang turut tergugat pastinya kawasan Timbalan Ketua Menteri Sabah (Datuk Seri Bung Moktar Radin) yang hanya menang dengan majoriti 661 undi di DUN N.58 Lamag. 

Keupayaan calon-calon BERSATU yang nekad bertanding atas tiket BEBAS demi membuktikan bahawa mereka mempunyai sokongan dan pengaruh akar umbi yang kuat, sememangnya tidak dapat dinafikan. Bahkan kesemua tiga (3) calon berkenaan menang diketiga-tiga kerusi yang turut ditandingi oleh UMNO (N.03 Pitas – Datuk Rudy Awah, N.43 Kemabong – Datuk Rubin Balang dan N.57 Kuamut – Datuk Masiung Banah).

Bahkan UMNO turut kalah di dua (2) kerusi majoriti pengundi KDMR (N.38 Paginatan dan N.57 Kuamut). Fakta ini juga seharusnya diambil kira jika UMNO berhajat untuk melobi P.170 Tuaran yang merupakan kawasan majoriti pengundi KDMR.


Keputusan PRU-14 yang lalu, seharusnya menjadi pengajaran dan ilmu berguna kepada UMNO khusunya UMNO Sabah, bahawa suara rakyat adalah suara keramat. UMNO telah diberi ruang dan peluang oleh rakyat Sabah untuk mentadbir Sabah untuk suatu tempoh yang lama menjangkau hampir 30 tahun (1991-2018) dengan seorang Ketua Menterinya menjadi antara Ketua Menteri paling lama di Sabah, iaitu selama 15 tahun (2003-2018).

Namun, kegagalan demi kegagalan disajikan buat rakyat Sabah. Sabah tidak hanya menjadi antara negeri pengeluar minyak termiskin di Malaysia bahkan juga berjaya mewujudkan lapan (8) daripada 10 daerah termiskin di Malaysia yang menjadi legasi peninggalan UMNO yang kini perlu perhatian serius pemimpin GRS termasuk UMNO selaku komponen. Malah satu daripada daerah tersebut merupakan daerah yang diwakili oleh Mantan Menteri EPU yang juga mantan Ahli Parlimen P.169 Kota Belud yang kalah di parlimen P.171 Sepanggar dan kini menjadi Ketua Bahagian P.170 Tuaran.

UMNO perlu sedar, jika UMNO kekal dengan penyakit hasad dengki dan ASB yang tidak dirawat sebaik mungkin, tidak mustahil PRU-15 bakal menjadi mimpi ngeri buat UMNO tidak hanya di Sabah bahkan juga di peringkat Persekutuan. Malah Perdana Menteri Malaysia ke-9 (Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob) sendiri turut berpesan, 

“kita bentuk kerajaan hari ini bukan kerana kita menang PRU, tetapi kerana kita bekerjasama dengan parti lain, kita seolah-olah lupa perkara itu. Tahniah atas kemenangan di Melaka, namun ia tidak boleh dijadikan model (kemenangan). Kita masih belum menang sepenuhnya dan peningkatan undi popular kita hanya sebanyak satu peratus sahaja di Melaka”.
       Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob: 11 Disember 2021 (Malaysia Kini)

Perlu diingat, ahli parti dan jentera yang ramai bukan lagi kayu pengukur dalam menentukan kemenangan sesebuah parti politik khususnya pada PRU-15 kelak. PRU-14 misalnya, keahlian UMNO Sabah pernah menjangkau hampir atau lebih setengah juta (sila betulkan jika fakta ini silap) dan sehingga 28 Mac 2021 telah mencecah (583,979 ahli), namun UMNO kalah kepada Parti Warisan Sabah (PWS) yang merupakan parti baharu serpihan UMNO serta tidak memiliki jentera dan sokongan akar umbi seperti UMNO. Namun, kenapa Warisan berjaya mengalahkan UMNO hampir dikeseluruhan kawasan majoriti pengundi BI?

PRU-15 bakal menyaksikan pertambahan hampir setengah juta (481,477) pengundi baharu berbanding daftar pemilih (DP ST3/2021). Dengan majoriti daripadanya merupakan pengundi muda yang baru pertama kali mendaftar sebagai pemilih. UMNO Sabah khusunya perlu sedar bahawa, pola pengundian pengundi muda terhadap UMNO pada PRU-13 dan PRU-14 sememangnya tidak berpihak kepada UMNO/BN dan hakikat ini disedari sendiri oleh pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO. Dengan track record pentadbiran UMNO di Sabah sebelum ini, adakah UMNO yakin bahawa parti tersebut benar-benar telah diterima oleh pengundi muda khusunya pengundi muda KDMR di Parlimen P.170 Tuaran?


“Walaupun menang PRN Melaka, BN perlu lakukan kajian mendalam ke atas statistik khasnya mengambil kira 65% pengundi yang keluar memangkah kertas undi. Kebanyakan yang keluar mengundi di Melaka adalah pengundi tua di samping pengundi luar bandar yang secara tradisinya penyokong kuat UMNO-BN. Menurut laporan ramai pengundi muda tidak mengundi kali ini. Ramai juga yang tinggal dan bekerja di luar Melaka tidak pulang mengundi kali ini.”
Khairy Jamaluddin: 23 November 2021 (FMT)

Realitinya, daripada siri kenyataan pemimpin tertinggi UMNO Pusat dan Sabah serta ketidak stabilan politik yang berlaku di pusat dan beberapa negeri yang didalangi UMNO, dapat disimpulkan UMNO TIDAK PERNAH SEDAR.

Kerajaan GRS yang terbentuk hari ini tidak datang dengan mudah, kerana setiap komponen parti yang berada di dalamnya telah melalui pengalaman bergelar PEMBANGKANG. Janganlah mandat yang diberikan oleh rakyat Sabah pada PRN-16 lalu, diisi dengan siri kenyataan BODOH dan KURANG CERDIK. Kerana kerajaan GRS yang terbentuk hari ini tidak lahir dengan hanya satu parti dominan, tapi hasil gabungan beberapa parti politik yang sedar, hanya dengan gabungan ini akan memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat Sabah yang mana sebelum ini gagal atau sukar diperolehi.

Akhir kata, mampukah UMNO/BN mempertahankan tiga (3) kerusi Parlimen (P.176 Kimanis, P.182 Pensiangan dan P.187 Kinabatangan) yang dimenangi pada PRU-14 jika bergerak solo?


RUJUKAN: 

[1] Free Malaysia Today (FMT): Peringatan KJ Buat UMNO. Diakses pada 11 Disember 2021, melalui;
https://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2021/11/23/peringatan-kj-buat-umno/

[2] Malaysia Kini (MK): Ismail Sabri mahu sokongan Umno sebagai PM, bantu isu rakyat. Diakses pada 11 Disember 2021, melalui;
https://www.malaysiakini.com/news/602603

[3] Sabah News Today (SNT): Pemuda UMNO Tuntut Kerusi Parlimen Tuaran. Diakses pada 13 Disember 2021, melalui;
https://sabahnewstoday.net/pemuda-umno-tuntut-kerusi-parlimen-tuaran/

[4] UMNO Onlien: PRN Melaka - BN Menang, Kembali Bentuk Kerajaan Negeri. Diakses pada 14 Disember 2021, melalui;
https://umno-online.my/2021/11/20/prn-melaka-bn-menang-kembali-bentuk-kerajaan-negeri/

[5] Astro Awani: PAU2019: UMNO Sabah diberi kuasa autonomi, tentu hala tuju sendiri. Diakses pada 14 Disember 2021, melalui;
https://www.astroawani.com/berita-politik/pau2019-umno-sabah-diberi-kuasa-autonomi-tentu-hala-tuju-sendiri-224761

[6] KOSMO: Jumlah ahli UMNO terkini 3.3 juta orang. Diakses pada 14 Disember 2021, melalui;
https://www.kosmo.com.my/2021/03/28/jumlah-ahli-umno-terkini-3-3-juta-orang/
#COVID19 #pkp2021 #pkp #TotalLockdown #MCO3 #kitajagakita #kitapastimenang #wawa #wazirenterprise #pkp #pkpd2021 #pkpdkglikas #pkpdsabah #DBKK #pkob #DSSA #mknsabah #KerajaanGagal #malaysia #kualalumpur #travel #love #instagood #kelantan #photography #kl #kotabharu #photooftheday #jerawat #jeragat #kulitkusam #parutjerawat #travelphotography #kurusbadan #resdung #sakiturat #brunei #eczema #acne #putihkulit #gojessmojess #drkno5 #solitemolite #drk #drkkosmetik #travelgram #chlush #kulitsensitif #trending #viral #love #instagram #tiktok #explorepage #instagood #follow #like #fashion #explore #likeforlikes #followforfollowback #photography #memes #music #india #trend #instadaily #likes #style #photooftheday #trendingnow #dance #model #bollywood #foryou #kerala #bhfyp #bhfyp #beautiful #cute #beauty #trendy #youtube #picoftheday #mumbai #meme #followme #comment #tamil #viralvideos #art #insta #fashionblogger #d #lifestyle #bgm #stayhome #life #onlineshopping #covid #new #k #funnymemes #repost #comedy #instafashion #nature #myself #Malaysia #MenangBersama #kitajagakita #lindungdirilindungsemua #covid19 #staysafe #pkp #EURO2020  #DapurBelia4 #RumahKita #KitaJaga #UMNO #UMNGOK #PAU2022