1. Sejak beberapa minggu yang lalu, kita dengar banyak tentang perkembangan politik negara. Ini termasuklah desakan segelintir pemimpin politik agar Parlimen kembali bersidang; dan sesetengah mendakwa mereka mempunyai angka yang mencukupi untuk membentuk Kerajaan baharu.

2. Saya percaya, ini bukanlah perkembangan yang rakyat harapkan ketika negara masih dalam pandemik. Rakyat mahu kita fokus terhadap pengurusan Covid-19 yang mana saya turut berkongsi harapan yang sama dengan mereka.

3. Terdapat banyak isu politik yang diperdebatkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Ia memenatkan, malah saya sendiri tidak terlepas daripadanya. Dalam artikel pendek ini, saya akan fokus terhadap satu topik yang sering diperkatakan oleh kedua-dua belah pihak iaitu Parlimen.

4. Pertama –  desakan politik agar Parlimen dibuka semula tidak boleh mempunyai agenda tersembunyi. Seruan agar Parlimen kembali bersidang tidak boleh dijadikan alat pemuas nafsu politik sesetengah individu.

5. Usaha-usaha sebegini bukan baru. Kita telah melihatnya berulang kali selama bertahun-tahun - terbaru pada September 2020. Mereka terlalu taksub pada angka yang 'kukuh, hebat, meyakinkan' – sehinggakan, ia meresap ke dalam pelbagai senario serta cuba meyakinkan semua orang bahawa mereka bersatu, dengan harapan dapat meneruskan agenda untuk kembali berkuasa. 

6. Kedua – Ahli-Ahli Parlimen yang kuat mendesak agar persidangan diadakan, mesti mengambil tanggungjawab bersama bagi memastikan persidangan Parlimen yang disambung semula nanti dimanfaatkan sepenuhnya demi kepentingan Malaysia dan rakyatnya terutama dalam pengurusan Covid-19. Agenda negara kita jauh lebih penting berbanding cita-cita peribadi sesiapa jua.

7.  Satu-satunya harapan rakyat Malaysia ketika ini ialah jalan keluar daripada krisis ini dan ia merupakan tanggungjawab kita sebagai Ahli-Ahli Parlimen. Rakyat mahu jumlah kes diturunkan, nyawa diselamatkan dan ekonomi dipulihkan. 

8.  Ketiga - situasi yang sedang kita hadapi sekarang sangat luar biasa - kita berdepan gabungan krisis kesihatan, krisis ekonomi dan ketidakstabilan politik secara serentak. Berpolitik sepanjang masa merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima. Di kala Perdana Menteri dan Menteri-Menterinya mengemukakan Pelan Pemulihan Negara yang bermatlamat membawa negara keluar daripada pandemik – kita semua perlu menyokong, bukannya skeptikal. Pelan tersebut hanya akan berhasil sekiranya semua parti bekerjasama mencari jalan keluar daripada pandemik.

9. Jika kita fokus terhadap tanggungjawab dan berkongsi tekad yang sama, maka saya percaya kita boleh memenuhi harapan bersama.

10. Secara prinsipnya, saya bersetuju bahawa Parlimen penting sebagai ruang semak dan imbang kepada Kerajaan. Prosiding Parlimen juga mustahak untuk Kerajaan berkomunikasi dan membahaskan polisi, serta mencapai persefahaman bersama anggota Parlimen tentang jalan ke hadapan yang jelas demi kepentingan rakyat Malaysia.

11. Saya percaya, dalam mempertimbangkan ketiga-tiga pandangan saya ini, wujudnya satu syarat yang mana kita perlukan kestabilan. Kestabilan ini mungkin membolehkan Parlimen dibuka semula. Kestabilan ini juga mungkin akan memberikan hak kepada Ahli-Ahli Parlimen untuk bertanya soalan dan Kerajaan untuk menjawab ketika sesi persidangan. Tetapi yang paling mustahak, kestabilan ini mestilah tidak dirampas.

12.  Saya faham - kestabilan yang saya minta ini tidak akan kekal selamanya. Namun rayuan saya ringkas - hanya sehingga krisis COVID-19 berakhir.

13. Memandang ke hadapan, ke mana hala tuju negara sekiranya berlaku perubahan dalam landskap politik? Adakah Pelan Pemulihan Negara yang Kerajaan sedang usahakan akan diketepikan seterusnya digantikan dengan yang baru? Amat jelas, pelan pemulihan Covid-19 yang tidak bersepadu tidak diperlukan.

14. Di saat yang menguji ini, rakyat tidak sepatutnya sekali lagi diheret dalam kancah perebutan kuasa.

15. Saya sedar, ada segelintir yang memilih untuk menyerang saya secara peribadi dengan pelbagai tuduhan dan fitnah. Penyebaran berita palsu telah menjadi amalan politik di negara kita. Bagi saya, Baling Batu Sembunyi Tangan semata-mata untuk mewujudkan persepsi yang tidak baik hanyalah langkah murahan demi kepentingan sendiri. Fitnah hanyalah bertujuan mengganggu serta mengalih perhatian dari perbincangan tentang bagaimana untuk memacu negara ini ke arah yang lebih baik.

16.  Tidak nafikan yang ia mengecewakan saya - negara sedang melalui detik getir, tetapi kenapa kita terus mempolitikkan semua isu? Politik tanpa batas tidak akan membawa kita ke mana-mana. 

17.  Kita mesti mengamalkan pembaharuan dalam berpolitik dan bukannya masih dengan amalan politik tanpa batas. Ini adalah masa terbaik untuk kita ahli politik daripada kedua-dua belah pihak buktikan, yang kita boleh berperanan dengan lebih baik; serta tunjukkan kepada rakyat kita di sini untuk berkhidmat.

18.  Jadi – dengan kita sedang mempertimbangkan untuk membuka semula Parlimen, kita mesti bersedia. Masyarakat umum perlu faham ia tidak semudah membuka dewan dan duduk. Memandangkan kita sedang meneliti kemungkinan sesi ‘hibrid’ – Kerajaan perlu diberi ruang untuk membuat pertimbangan serta merancang kaedah dan proses demi memastikan setiap prosiding berjalan lancar.

19. Sebagai Anggota Parlimen, sama ada menjadi lebih baik atau lebih teruk, ia bergantung kepada kita – untuk bersama-sama bertanggungjawab terhadap apa yang bakal terjadi di sesi berikutnya. Kita harus menunjukkan kepada rakyat bahawa kita berada di sini demi kepentingan mereka dan bukannya cita-cita peribadi.

20. Sekiranya niat pembangkang hanya ingin menggunakan Parlimen bagi mendapatkan kuasa dan bukan memanfaatkan fungsinya sebagai wacana yang membina bagi pelbagai pihak, ia akan membawa masalah. Saya tidak nafikan pembangkang berhak mengkritik, tetapi kecelaruan politik tidak akan diterima oleh rakyat terutamanya di saat-saat yang sukar ini.

Hishammuddin Hussein 
16 Jun 2021

#KitaMestiMenang
#RakyatBersamaMuhyiddin
#mypmmalaysia