Artikel Asal: CikguSaffuan.com


Siapapun tidak akan pernah terfikir akan tempatkan untuk mengajar nun jauh di pedalaman, apatah lagi apabila ditempatkan di sebuah sekolah yang mempunyai sembilan orang murid di Baram, Sarawak.

SK Long Sepiling - Hari pertama aku jejakkan kaki, bangunan ini yang aku nampak. Tapi, yang aku nampak hanyalah "kosong". Aku bakal menghabiskan masa di sini pergi dan balik sekolah


Bagi  Guru asal Pulau Pinang ini, ia bagaikan mimpi... di dalam hatinya hanya berdoa agar tidak ditempatkan mengajar di Kapit, Song, Belaga dan Baram.

Namun tiada sesiapapun dapat menolak takdir, surat penempatan yang berada di tangan dibaca berulang kali. Apa yang tidak mahu, itulah yang tertulis.

Guru subjek Matematik, Rekabentuk dan Teknologi (RBT), Cikgu Muhammad Saffuan Jaffar menerimanya dengan reda.


Ditempatkan di SK Long Sepiling sebelum ditukarkan ke SK Dato Sharif Hamid pada tahun ke enam penempatan, memberikannya kekuatan untuk mendidik anak bangsa sehingga berjaya.

Ikuti perkongsian pengalaman Cikgu Muhammad Saffuan Jaffar ini.
Genap enam tahun aku di Bumi Kenyalang. Lima tahun di SK Long Sepiling dan setahun di SK Dato Sharif Hamid.

Bermula dari sekolah pedalaman, ke sekolah luar bandar. Dari murid sembilan orang, ke sekolah murid 200 orang. Memang tidak pernah terbayang wujud sekolah yang mempunyai sembilan orang sahaja murid dari Tahun 1 hingga 6.


Kadang-kadang aku renung balik, aku bukanlah guru ‘dari langit’ untuk murid aku, tetapi aku cuba buat yang terbaik

Hampir 20 minit aku taip padam taip padam taip padam, tak tertulis segala pengalaman berharga, pahit dan manis aku di sini.


Pengalaman tiga tahun berkhidmat di pedalaman

Pada saat pagi yang hening, aku cuba mengimbas kembali pengalaman yang telah aku tempuh selama tiga tahun bergelar guru, di pedalaman Sarawak. Hari demi hari aku tempuhi sehinggakan aku sudah sebati dengan kehidupan di sini. Kisah ini aku nukilkan agar menjadi kenangan manis yang kekal terpahat dalam ingatan aku.

Mereka tidak datang dengan tangan kosong, malah lebih dari yang kami sangka. Alhamdulillah, set robotik dan banyak lagi bantuan lain.

Dimulakan kisah, “Aku tak mau kena posting di Kapit, Song, Belaga dan Baram,” bisik aku di dalam hati.

Aku hanya mampu berharap, tetapi sebaik sahaja aku dapat tahu sekolah yang bakal aku berkhidmat, aku perlu reda. Tempat posting masing-masing akan diketahui setelah semua guru tiba di Kuching nanti. Sekali lagi, aku hanya mampu berharap.

Di Hotel Grand Margeritta

Aku berbaris untuk menerima surat penempatan. Sampai giliran aku, surat penempatan diserahkan kepada aku. Aku menarik nafas dalam-dalam. Pelahan-lahan anak mata aku melihat ke kiri dan kanan dari atas ke bawah, membaca satu persatu isi kandungan surat penempatan. Tertera nama sekolah pertama aku. SK Long Sepiling, Baram, Sarawak.

Kejayaan diraikan bersama rakan-rakan

 “Reda bukan bermakna tiada tangisan tetapi adalah penerimaan TANPA persoalan terhadap apa yang ditentukan TUHAN…” ~Ibnu Mussal~

 Gema lagu Ibu Pertiwiku. Pada pagi Isnin yang hening, semasa di perhimpunan aku duduk di barisan paling kanan, dekat dengan pintu.

Kadang-kadang mataku mencuri-curi melihat keluar, hijau pemandangan jauh dari kota. Tiba-tiba terlintas di benak fikiran aku, semasa mengisi permohonan penempatan, aku langsung tak minta untuk mengajar di Sarawak. Kalau boleh nak mengajar di sekolah yang betul-betul depan pintu rumah. Tapi semuanya ketentuan Allah SWT.


Pada awal perjalanan, aku sangat teruja dan tak sabar-sabar nak menjejakkan kaki ke sekolah. Tapi, bila dah sampai dan melalui hari pertama di Sekolah Kebangsaan Long Sepiling, aku bermonolog;

"Boleh ke aku nak survive di sini?"


 Persoalan itu mula bermain di fikiran aku. Serius aku rasa tertekan. Adakah aku seorang saja yang ada rasa seperti ini?

Aku teringat kata-kata yang diluahkan oleh Jaime Escalante dalam temu ramah bersama beliau mengenai On Being Teacher.
“My first year it was completely frustrated…”  

Jaime Escalante meninggalkan kerjayanya sebagai jurutera demi menjadi seorang insan bergelar guru. Beliau yang berasal dari Bolivia memulakan kerjaya di Sekolah Tinggi Garfield.

Segala penat lelah, anak-anak pedalaman ini berjaya mengharumkan nama Sarawak

Kedatangan Escalante di sekolah tersebut mengubah kepercayaan guru-guru yang telah lama berkhidmat di situ terhadap kemampuan pelajar lemah untuk lulus dalam subjek Matematik. Escalante juga mengubah tanggapan pelajar, terhadap diri mereka dan juga tanggapan ibu bapa terhadap kemampuan anak-anak mereka.


Kami tidak berhenti di situ sahaja, ini team pertama KWN SK Long Sepiling. Aku ke Kuala Lumpur bersama-sama dengan anak murid.

 

Seramai 18 orang anak didik Escalante lulus dalam Advance Placement Programme Calculus Exam, peristiwa tersebut telah membuka mata ramai pihak sehingga ke pihak atasan.

Kisah Escalante diabadikan dalam filem Stand and Deliver1988 yang menjadi inspirasi kepada guru-guru.

Itu yang menjadi kekuatan aku...

Sepanjang tiga bulan pertama, aku lalui saat yang begitu sukar. Ia seperti kata-kata yang diluahkan Escalante “My first year it was completely frustrated…”

Selepas 2 tahun dapat set robotik, ini kali pertama kami join pertandingan robotik. Aku pandai? Tak, belajar dari Youtube

Kesukaran yang pertama aku hadapi adalah aku perlu sesuaikan diri dengan persekitaran baru.

Kesukaran yang kedua aku hadapi ialah mencari rentak untuk mengajar murid-murid di sini. Bukan senang untuk mengajar dan mendidik.

Pada awal perkhidmatan, aku berada pada peringkat guru novis. Antara masalah yang dihadapi guru novis seperti aku adalah untuk menghadapi masalah penyesuaian diri dengan realiti sekolah dan bilik darjah.

Hari pertama aku tiba di sekolah, aku rasa seronok dan gembira. Mungkin pada hari pertama aku rasakan seperti seorang pelawat. Rasa risau bermula sebaik sahaja aku mula mengajar.

 Suatu ketika dahulu, aku fikirkan murid tidak ramai lebih mudah untuk mengajar, sebenarnya tidak. Waktu itu aku mungkin tidak mempertimbangkan latar belakang murid yang berbeza kebolehan.

Aku pernah berkongsi masalah dengan mak, aku nyatakan padanya, aku sukar untuk mengajar anak murid aku, alhamdulillah perasaan risau sedikit menghilang.

Namun perasaan risau tetap muncul apabila aku mendengar respon daripada kenalan, apabila mereka tahu aku mengajar di sekolah kurang murid. Paling ramai murid di dalam kelas hanyalah dua orang murid sahaja.

Kenalan 1: “Budak sorang, kau ajar apa kat sekolah? Makan gaji buta?”

Kenalan 2: “Senangnya mengajar, dah macam tuition”

Kenalan 3: “Budak tak ramai, ni mesti kena ajar sampai diorang score, kalau tak score tak tahu la…”


Pada peringkat awal aku belum dapat menentukan arah aku dalam dunia pendidikan. Cita-cita aku besar, angan-angan hendak menjadi seorang guru seperti dalam movie Teacher’s Diary atau menjadi seperti Jaime Escalante.


Banyak kali cubaan untuk mendidik anak murid seperti aku mahu, seperti dalam movie yang aku tonton, aku gagal. Apabila gagal, aku mula untuk berhenti mencuba.

Baru tiga bulan, aku sudah mengalah. Perjalanan aku masih jauh, aku kecundang lebih awal daripada yang aku sangkakan.

“… jika seorang guru mempunyai acuan pendidikan, dia tidak akan runsing dengan tekanan yang dihadapi olehnya kerana dia tahu ke mana acuannya sedang membawanya.”  ~Mat Lutfi~

Aku mengimbau kembali movie Stand and Deliver. Ia merupakan adaptasi kisah sebenar seorang guru, Jaime Escalante yang meninggalkan kerjayanya sebagai jurutera untuk menjadi seorang guru.

Kedatangan Escalante di sekolah barunya melawan arus guru-guru lain yang telah lama berkhidmat di situ dari aspek kepercayaan mereka terhadap kemampuan pelajar lemah untuk lulus dalam subjek Matematik.

Adakah kedatangan aku ke sini membawa perubahan seperti Escalante? Aku sendiri tidak pasti.

Kisah Escalante selama dua jam itu merangkul kisah kejayaan beliau mengubah keputusan anak muridnya dari gagal kepada cemerlang.

Aku mencari maklumat mengenai kisah hidup Escalante, dan aku menemui temu bual bersama beliau. Hakikatnya ia bukan semudah itu, kejayaan beliau bukan mengambil masa dua jam, tetapi ia usaha bertahun-tahun secara berterusan.

Escalante juga memberitahu yang dia sentiasa melakukan kesilapan demi kesilapan dan kesilapan itu diperbetulkan.

 Aku seorang guru novis, mungkin banyak kesilapan yang aku buat. Pada masa sama aku perlu belajar daripada kesilapan. Aku mula mengorak langkah, belajar menyesuaikan diri dengan persekitaran.

Aku mula belajar untuk mengenali anak-anak murid aku. Paling penting aku perlu belajar untuk tidak cepat menyerah kalah.

Alhamdulillah sepanjang tiga tahun di sini, aku menyaksikan beberapa kejayaan yang berjaya dilakarkan oleh anak-anak didik aku.

Kejayaan kami juga tiada maknanya tanpa sokongan orang-orang di sekeliling kami yang sentiasa memberi ruang, membantu sekolah kecil ini untuk mengecapi cita-cita.

Selama tiga tahun itulah, ada kenangan manis aku bersama-sama anak murid. Selain daripada itu banyak perkara yang aku belajar dan pengalaman di sini sedikit sebanyak mendidik aku untuk menjadi seorang guru.

Aku kongsikan nanti gambar-gambar yang sempat aku rakam sepanjang berada di SK Long Sepiling.

Segala pengalaman yang aku lalui ada kalanya amat perit dan ada kalanya bahagia, ada masa aku cepat mengalah, dan cepat rasa sedih.

Tetapi aku teringat kata-kata Jaime Escalante “Don’t quit, if you quit, you disintergrate yourself…”

Di sini aku mesti kuat. Kisah yang aku tulis adalah sebahagian kecil dari kisah-kisah guru lain yang mengajar di pedalaman. Ingatlah, ada yang jauh lebih sukar dari yang aku alami.

Aku menulis coretan kisah aku di sekolah pedalaman bukan bermakna aku guru yang hebat. Aku ingin berkongsi dan kisah ini sebagai coretan kenangan manis aku bersama anak-anak murid dan kenangan pahit dan manis yang aku tempuhi semasa aku bertugas di sini.

Setiap pengalaman yang disajikan, berbeza latar belakang budaya dan tempat. Aku hanya guru biasa, yang punya cerita suka dan duka, untuk dikongsi bersama. Anak-anak murid pedalaman, seperti juga anak-anak murid yang lain tidak kira di mana jua, mereka punya perasaan yang sama. Rasa sayang, rasa hormat terhadap guru. Itulah episod-episod kenangan manis aku di sini.