hajiji noor

Kerajaan negeri Sabah (16 Januari 2021) mengumumkan, akan melaksanakan Bantuan Prihatin COVID-19 2.0 melibatkan peruntukan RM128.98 juta bagi membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik itu, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor. Beliau berkata peruntukan itu diagihkan secara dua bahagian iaitu; 

Bantuan sekali bayar RM300 berjumlah RM97.4 juta melalui peruntukan kerajaan negeri.
Melibatkan seramai 324,661 orang terdiri daripada golongan eKasih, B40, anak yatim, orang tua, orang kurang upaya, ibu tunggal, petani, nelayan, pekebun kecil, penternak, pemandu pelancong, malim gunung, porter, penggiat seni, pemandu teksi, pemandu bas, pemandu lori dan penjaja.

Bantuan bakul makanan kepada penduduk terjejas melibatkan peruntukan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bernilai RM31.58 juta. 
Bakul makanan akan diberikan kepada penduduk Sabah yang terkesan akibat arahan perintah kuarantin di rumah dan lokaliti yang terlibat dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).


ULASAN
Berdasarkan maklumat yang diperolehi, bantuan yang diumumkan oleh kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan menggunakan kaedah serupa sepertimana yang pernah digunakan oleh Warisan, iaitu penerima yang tersenarai dalam senarai penerima E-Kasih akan layak menerima bantuan kerajaan.

Rakyat secara umumnya telah mengetahui bahawa sistem E-Kasih adalah antara sistem yang paling bermasalah. Sistem E-Kasih yang digunapakai selain pengenalan beberapa sistem lain untuk rakyat mendaftar secara online oleh kerajaan terdahulu (Warisan), menjadikan rakyat marah dan menuduh kerajaan sebagai tidak telus dalam membantu dan membela nasib rakyat yang terhimpit sepanjang PKP yang lalu.

KENAPA Kerajaan GRS tidak menyalurkan bantuan tersebut menerusi LHDN? kerana LHDN ada data penerima B40 BSH, BPN dan BPR. Mana-mana golongan B40 yang berdaftar dan ada dalam pengkalan data LHDN, akan layak menerima bantuan tersebut secara automatik sepertimana yang dilakukan oleh Kerajaan GPS Sarawak.

Jangan umum bantuan yang mana suatu masa nanti akan menjadi LIABILITI kepada kerajaan GRS. Bantuan yang diumumkan sepatutnya menjadi KREDIT dan menaikkan imej kerajaan dan bukannya menjadi modal politik untuk Parti Warisan menggunakan isu serupa untuk menyerang Kerajaan GRS. Kerja selaku pembangkang itu lebih mudah berbanding menjadi kerajaan. Tetapi jangan pula setiap keputusan yang dibuat memberi LAMPU HIJAU untuk pembangkang menyerang kerajaan GRS.


Sukar untuk membina imej baik di mata rakyat berbanding mengundang tohmahan rakyat. Kerajaan GRS perlukan PASUKAN PEMIKIR sendiri yang terlebih dahulu akan menilai setiap keputusan yang akan dibuat oleh kerajaan GRS sebelum ia diumumkan. Bukannya umum dahulu dan pikir kemudian, akhirnya keputusan dibatalkan bila menerima kecaman daripada rakyat.

Permudahkan penyaluran bantuan kepada rakyat, kerana keikhlasan yang dicurahkan kerajaan ini akan menjadi faktor pemberat kepada rakyat untuk mempertahankan kerajaan ini pada PRU-15 nanti.



Rujukan

Sabah laksana bantuan Prihatin COVID-19 2.0 lebih RM128 juta. Diakses pada 19 Jan 2021 melalui;
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=1922729

COVID-19: Sarawak umum pakej rangsangan RM1.15 bilion. Diakses pada 19 Jan 2021 melalui;
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/03/668365/covid-19-sarawak-umum-pakej-rangsangan-rm115-bilion

Golongan B40 Sarawak dapat bantuan khas RM250 sebulan sehingga September. Diakses pada 19 Jan 2021 melalui;
https://www.utusanborneo.com.my/2020/03/23/golongan-b40-sarawak-dapat-bantuan-khas-rm250-sebulan-sehingga-september