pkp 2.0


Januari 2021 menyaksikan kerajaan terpaksa mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di seluruh negara. Pengisytiharan itu menyaksikan sebanyak lima (5) negeri (Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor dan Sabah) serta tiga (3) Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan) diletakkan di bawah PKP. Sementara itu sebanyak enam (6) negeri (Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu) diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKP-B), manakalan Sarawak dan Perlis di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKP-P). Berbeza dengan PKP terdahulu, PKP 2.0 tidak membenarkan perjalanan rentas negeri termasuk kawasan yang diletakkan di bawah PKP-B dan PKP-P. 

Pelaksanaan PKP 2.0 yang bertitik tolak daripada lonjakan kes jangkitan melebihi angka 3000, menyebabkan kerajaan tidak mempunyai pilihan lain selain daripada melaksanakan PKP 2.0 yang melibatkan seluruh negara. Drama politik yang tidak berpenghujung sejak selepas PRU-14 (9 Mei 2018) yang membawa kepada Sheraton Move (22 Februari 2020), PRN-16 Sabah (26 September 2020) dan Krisis Politik Perak (4 Disember 2020). Apa yang dapat dilihat kini, seakan Virus Politik lebih ganas berbanding jangkitan Virus Covid-19. Keputusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal, merupakan langkah terbaik dalam mengekang kemelut politik dan kerajaan semasa dapat menumpukan usaha dan gerak kerja dalam membendung penularan virus Covid-19.


Kembali Ke Matlamat Asal, DEMI RAKYAT

Meskipun kerajaan yang ada pada hari ini bukan kerajaan yang mendapat mandat daripada rakyat pada PRU-14, namun beberapa insiden dan tindak-tanduk dominan pemimpin DAP khususnya membabitkan sektor awam, campurtangan dalam hal ehwal membabitkan agama Islam, aset negara dan juga ideologi Komunis yang mendapat sokongan terbuka pemimpin DAP, kesemua insiden ini secara tidak langsung menyebabkan sebilangan besar rakyat menyokong pembentukan kerajaan alternatif yang disifatkan sebagai KERAJAAN PINTU BELAKANG. Apapun isu yang timbul, kini kerajaan yang dibentuk daripada gabungan BN, PN GPS dan GRS, perlu memberi fokus kepada usaha MEMBANTU RAKYAT yang tidak hanya terjejas ekoran penularan Covid-19, bahkan juga kehilangan sumber pendapatan dan turut diburukkan lagi dengan bencana alam.


BANTU RAKYAT Jika Ingin Kembali Mendapat MANDAT RAKYAT

Kerajaan yang ada pada hari ini, tidak mempunyai pilihan lain selain daripada menuruti kehendak rakyat yang menagih pembelaan dan perhatian sewajarnya dalam mendepani hari-hari mendatang tanpa kepastian dan hala tuju yang jelas. Penularan Covid-19 yang melanda seluruh dunia dan tidak terkecuali Malaysia, menyebabkan rakyat akan berterusan mendesak apa yang difikirkan sebagai HAK mereka yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan. Antaranya;

1. Mempermudahkan pengeluaran i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tanpa syarat dan kriteria. 

2. Meluluskan bantuan kebajikan rakyat musim PKP 2.0 sebagaimana PKP kali pertama.

3. Perlanjutan moratorium tanpa syarat dan tidak dikenakan penalti atau caj tambahan.

4. Para peniaga dan penjaja misalnya masih belum pulih sepenuhnya selepas PKP dilaksanakan pada 18 Mac tahun lalu. Cadangan agar kerajaan membenarkan pengusaha kedai makan untuk melanjutkan operasi sehingga Pukul 10 malam perlu diberi perhatian.

5. Meluluskan semula Program Subsidi Upah (PSU) dan moratorium kepada semua sektor ekonomi, bagi membantu untuk terus bertahan dan mengurangkan kadar pembuangan pekerja secara besar-besaran.

6. Bantuan kepada ketua isi rumah yang kehilangan pekerjaan. Program Subsidi Upah (PSU) hanya melindungi pekerja di sektor swasta daripada dibuang kerja. Berbeza dengan mereka yang berniaga sendiri secara kecil-kecilan dan pekerja dalam sektor ekonomi gig, PKP memberi kesan besar kepada golongan ini.

7. Ganti pemberian bakul makanan dengan BAUCAR MAKANAN. Cadangan yang dikeutarakan oleh Adun N.57 Kuamut (Datuk Masiung Banah). Pemberian baucar akan lebih memudahkan proses penyaluran bantuan di samping memudahkan rakyat untuk memilih barang keperluan yang menjadi keperluan keluarga tersebut. Cadangan ini bukan hanya akan menjimatkan masa kerajaan dalam penyaluran bantuan, bahkan juga menjimatkan kos di samping kuantiti barangan yang diterima oleh rakyat akan lebih banyak berbanding dengan apa yang diberikan kini.

8. FOOD BANK, tidak hanya melibatkan peniaga dan sektor swasta, bahkan juga orang perseorangan boleh membantu dengan menyumbang lebihan barangan keperluan yang dimiliki kepada mereka yang memerlukan.

Memetik pandangan yang dikemukakan oleh Adam Firouz dan Hawati Abdul Hamid (Khazanah Research Institute) dalam Artikel yang diterbitkan Malaysia Kini bertarikh 15 Januari 2021;

"Dengan kemungkinan besar PKP 2.0 pada tahun 2021 ini akan berlanjutan lebih lama daripada dua minggu yang diumumkan, adalah jelas bahawa pakej rangsangan baru perlu dirangka dengan segera. Dengan pengalaman yang dipelajari daripada PKP 1.0 pada tahun 2020, bantuan yang diperkenalkan haruslah memastikan aspek liputan (“breadth”) dan kecukupan (“depth”) agar semua dilindungi dengan seadilnya".




RUJUKAN:

PKP 2.0 - Apa yang kita perlu tahu? Diakses pada 17.01.2021 melalui;
https://www.1media.my/2021/01/pkp-20-apa-yang-kita-perlu-tahu.html

Syed Saddiq says saw ‘Sheraton Move’ coming but never thought it could be pulled off. Diakses pada 17.01.2021 melalui;
https://www.malaymail.com/news/malaysia/2020/09/17/syed-saddiq-says-saw-sheraton-move-coming-but-never-thought-it-could-be-pul/1904030

Undi percaya DUN Perak: MB Faizal Azumu gagal peroleh sokongan majoriti. Diakses pada 17.01.2021 melalui;
https://www.astroawani.com/berita-malaysia/undi-percaya-dun-perak-mb-faizal-azumu-gagal-peroleh-sokongan-majoriti-271548

Agong perkenan darurat hingga 1 Ogos ini. Diakses pada 17.01.2021 melalui;
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/01/775177/agong-perkenan-darurat-hingga-1-ogos-ini

Henti polemik politik, tumpu bantu rakyat: Pemuda UMNO. Diakses pada 17.01.2021 melalui;
https://www.sinarharian.com.my/article/119428/BERITA/Politik/Henti-polemik-politik-tumpu-bantu-rakyat-Pemuda-UMNO

PKP 2.0: Bantuan Berterusan Amat Penting. Diakses pada 17.01.2021 melalui;
https://sallehsaid.com/2021/01/14/pkp-2-0-bantuan-berterusan-amat-penting/

Bantu sektor swasta bertahan. Diakses pada 17.01.2021 melalui;
https://www.sinarharian.com.my/article/119152/BERITA/Nasional/Bantu-sektor-swasta-bertahan

ULASAN | Sejuta isi rumah miskin jika tiada bantuan PKP 2.0. Diakses pada 17.01.2021 melalui;
https://www.malaysiakini.com/news/559149

Masiung cadang bakul makanan diganti baucar. Diakses pada 17.01.2021 melalui;
https://www.utusanborneo.com.my/2020/11/30/masiung-cadang-bakul-makanan-diganti-baucar