RETROSPEKTIF ASPIRASI
MAJLIS SAMBUTAN SETAHUN
HALA TUJU SABAH MAJU JAYA
OLEH
YAB DATUK SERI PANGLIMA HAJI HAJIJI
HAJI NOOR
KETUA MENTERI SABAH
29 MAC 2022
Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh
Salam Keluarga Malaysia
Salam Sabah Maju Jaya
Terima kasih Saudara Pengacara Majlis,
Yang Berhormat Datuk Haji Kadzim
Haji M. Yahya,
Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah
Yang Berhormat Datuk Seri Panglima
Dr. Jeffrey G. Kitingan,
Timbalan Ketua Menteri
Yang Berhormat Menteri-Menteri
Kabinet Negeri,
Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan
Negeri Sabah
Yang Berhormat Timbalan Speaker dan
Pembantu-Pembantu Menteri,
Yang Berbahagia Setiausaha
Persekutuan Sabah
Ahli-Ahli Yang Berhormat,
Setiausaha-Setiausaha Tetap
Kementerian,
Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan dan
Negeri serta Badan Berkanun,
Pengerusi dan Pengurusan Agensi
Awam,
Pegawai-Pegawai Daerah,
Dif-Dif Jemputan, Tuan-Tuan dan
Puan-Puan yang dihormati sekalian.
MUKADIMAH
1. Alhamdulillah,
syukur ke hadrat Illahi atas kebesaran-Nya, dapat kita berhimpun dalam majlis
yang amat bersejarah pada pagi ini. Sukacita saya mengalu-alukan kehadiran
tuan-tuan dan puan-puan di dewan yang mulia ini. Saya juga ingin merakamkan
ucapan penghargaan atas kebersamaan warga kita yang mengikuti majlis ini secara
maya di kesemua premis pentadbiran perbandaran dan daerah, mahupun di pejabat
dan di mana jua keberadaan masing-masing.
2. Sesungguhnya,
Majlis Sambutan Setahun Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) ini, amat besar nilai
dan maknanya. Majlis yang bermula sejak semalam ini bukanlah semata-mata satu
sambutan ulang tahun, namun ia amat signifikan untuk perjalanan dan langkah
kita ke hadapan. Bukan sekadar meraikan sebahagian daripada pencapaian kita
dalam tempoh setahun, tetapi majlis ini adalah wahana untuk kita bermuhasabah
diri, wacana untuk kita berdepan realiti dan wadah untuk kita terus bersatu
hati, meningkatkan khidmat bakti demi kepentingan pertiwi.
RETROSPEKTIF SMJ
3.
Hala Tuju ini adalah satu perjalanan panjang. Demi memastikan kita sentiasa
berada di landasan yang tepat, kita perlu menentukan garis masa dan
melaksanakan retrospektif aspirasi; iaitu meninjau status prestasi, dan
memperteguh tekad aspirasi.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
4. Kerajaan
Negeri, yang hari ini diperkukuhkan melalui Muafakat GRS-BN, telah ditubuhkan
melalui mandat rakyat pada tarikh keramat 29 September 2020. Dalam tempoh genap
enam bulan iaitu pada 29 Mac 2021, Kerajaan Negeri telah membentangkan Hala
Tuju Sabah Maju Jaya. Hala Tuju ini berteraskan Aku Janji GRS-BN dalam Pilihan
Raya Negeri Ke-16 dan dimurnikan dengan aspirasi rakyat melalui pelbagai sesi
libat urus.
5. Dalam
Majlis Setahun Kerajaan GRS-BN Bersama Rakyat pada 29 September 2021, kita
telah menzahirkan komitmen bahawa status pelaksanaan dan pencapaian setiap
kementerian akan dibentangkan kepada umum setiap tahun bermula tahun pertama
pada 29 Mac 2022. Berikutnya, pada 25 Januari 2022, dalam Perhimpunan Penjawat
Awam Bersama Ketua Menteri, saya telah mengarahkan agar pengisian Majlis
Sambutan Setahun Hala Tuju SMJ disertakan dengan penganjuran hari terbuka untuk
membolehkan rakyat mendengar, melihat dan merasai nilai dan makna di sebalik
pelan pembangunan ini.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
6. Saat
yang dinantikan telah tiba. Bermula semalam, semua kementerian, pelbagai agensi
dan GLCs termasuk agensi persekutuan telah mempersembahkan inisiatif dan
program masing-masing melalui Showcase Sabah Maju Jaya di sekitar ruang
legar dewan ini. Pameran selama tiga hari sehingga 30 Mac ini adalah terbuka
kepada orang ramai.
7. Genap
setahun yang lalu juga saya telah menyerahkan Dokumen Hala Tuju SMJ kepada
semua Ahli Jemaah Menteri sebagai simbolik
amanah dan pertanggungjawaban untuk memimpin pelaksanaan pelan
pembangunan ini di setiap kementerian. Sebentar lagi, Ahli-Ahli Jemaah Menteri
akan menyerahkan Laporan Status Pencapaian Kementerian masing-masing.
8. Sementara
itu, bermula esok, 30 hingga 31 Mac, program Ekadasa Sabah Maju Jaya akan
dianjurkan yang merupakan sesi wacana bersama para pemegang taruh (stakeholders)
bagi setiap kementerian. Bersesuaian dengan pengertian Ekadasa yang memaknai
angka 11, sesi ini akan diterajui sendiri oleh 11 tonggak perkhidmatan awam di
setiap kementerian iaitu Setiausaha - Setiausaha Tetap dan akan dipimpin oleh
Setiausaha Kerajaan Negeri.
9. Pendekatan
ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada manifestasi tekad dan komitmen
barisan Anggota Pentadbiran Kerajaan Negeri dan Pengurusan Tertinggi setiap
Kementerian. Saya mahu setiap peringkat kepimpinan diberikan penghakupayaan
yang datang bersama pertanggungjawaban terhadap amanah yang digalas. Ini
termasuk tanggungjawab pelaporan kepada rakyat selaku pemegang taruh dan klien
utama.
10. Pendekatan
ini akan diperluaskan kepada semua peringkat termasuk pengurusan badan
berkanun, agensi awam hingga ke peringkat pentadbiran daerah. Hasrat kita
adalah untuk memastikan jentera kerajaan di semua peringkat menjunjung Hala
Tuju ini sebagai satu amanah dan melaksanakan pelan pembangunan ini dengan
sepenuh iltizam demi kepentingan anak watan dan tanah air tercinta.
11. Pada
masa yang sama, saya amat menghargai penglibatan jentera Kerajaan Persekutuan
dalam majlis ini termasuk penyertaan dalam pengisian showcase
sebagaimana yang saya hasratkan melalui Setiausaha Persekutuan Sabah pada bulan
Januari lalu. Saya mahu peranan jentera Kerajaan Persekutuan di Sabah terus
diperkasakan seiring dengan jentera Kerajaan Negeri, sebagaimana sejak dari
awal kita telah menjajarkan pelaksanaan Hala Tuju SMJ dengan agenda Wawasan
Kemakmuran Bersama. Sehubungan itu, sebagai Pengerusi Majlis Tindakan
Pembangunan Negeri, saya mahu pelaporan status pencapaian inisiatif-inisiatif
agensi persekutuan yang mempunyai hubung kait dengan teras serta objektif Pelan
Pembangunan SMJ dijadikan salah satu agenda MTPNg.
12. Saya
mahu sinergi di antara jentera Kerajaan Negeri dan Persekutuan dapat
diperkasakan dan bergerak pantas secara seiring pada landasan yang tepat menuju
destinasi yang sama. Ini antara objektif penganjuran majlis ini, iaitu untuk
memastikan semua pihak mempunyai rasa kepunyaan bersama (sense of belonging)
kepada Hala Tuju SMJ, dan rasa keperluan bertindak segera (sense of urgency)
bagi melaksanakan setiap inisiatif SMJ, serta rasa kebanggaan pencapaian (sense
of accomplishment) bila mana menjadi sebahagian daripada usaha menjayakan
sesuatu inisiatif dalam Pelan Pembangunan SMJ.
CABARAN DI AWAL PENTADBIRAN
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
13. Mencipta
kejayaan bukan mudah. Namun kita tidak akan merasai nikmat kejayaan selagi kita
tidak merancang, membina tangga dan melangkah menuju mercu kejayaan. Atas sebab
itu, sebaik diberikan mandat untuk memimpin Kerajaan Negeri, saya fokuskan
usaha untuk menyediakan rancangan dalam bentuk hala tuju pembangunan.
14. Saya
mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri dengan berhadapan dengan pelbagai
cabaran dan suka saya berkongsi beberapa cabaran utama sebagai satu
retrospektif untuk melihat di mana kita bermula.
15. Cabaran
pertama adalah keperluan mendesak untuk mengisi vakum dalam konteks lakaran
agenda pembangunan. Sesebuah pentadbiran harus memiliki pelan perancangan
termasuk meletakkan keutamaan mengikut tuntutan semasa. Kita tidak boleh
menggerakkan kerajaan secara business as usual, iaitu meneruskan apa
yang ada di atas meja atau di depan mata. Jika itu pendekatan dipilih, kita
tidak akan dapat menggerakkan jentera kerajaan secara kolektif menuju satu
destinasi dengan aspirasi yang sama.
16. Kedua,
tren kemorosotan pertumbuhan ekonomi negeri untuk tempoh tiga tahun secara
berturut-turut. Bermula pada kadar pertumbuhan ekonomi yang agak tinggi iaitu
8.1 peratus pada tahun 2017, pertumbuhan telah menguncup kepada kadar 1.5
peratus pada tahun 2018 dan terus menguncup kepada kadar 0.5 peratus pada tahun
2019. Ketika Kerajaan GRS-BN mula dibentuk pada penghujung bulan September
2020, tren kemerosotan ini dijangka berterusan bagi tahun 2020 dengan kadar
penyusutan sehingga ke paras negatif.
17. Ketiga,
dan merupakan cabaran yang amat getir adalah penularan pandemik COVID-19 di
seluruh dunia. Tidak pernah dalam sejarah seorang Ketua Menteri dan Kerajaan
pimpinannya yang baharu dibentuk serta-merta berhadapan dengan kegawatan yang
luar biasa. Krisis yang dihadapi melibatkan soal ancaman nyawa dan tekanan sara
hidup rakyat serta gugatan ekonomi yang berpunca daripada faktor di luar
kawalan kita.
18. Keempat,
situasi menjadi bertambah mencabar apabila jentera kerajaan tidak dapat
digerakkan sepenuhnya atas keperluan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Seminggu
selepas mengangkat sumpah, saya sendiri menjadi sebahagian daripada statistik
pesakit COVID-19. Pasca PRN ke-16 juga telah menjadikan Sabah sebagai negeri
dengan kes tertinggi yang sekali gus menjadi punca penyebaran virus ke seluruh
negara.
PELAPORAN PENCAPAIAN SMJ
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
19. Hari
ini, kita masih dilingkari penularan virus COVID-19. Varian baharu terkini
iaitu omicron telah merebak dengan lebih ganas sehingga pernah mencecah angka
5,000 kes jangkitan positif sehari sekitar bulan Februari lalu. Virus ini akan
terus hidup bersama kita untuk tempoh yang agak lama dan implikasinya akan
terus dan terpaksa kita bendung dan hadapi, dalam pelbagai aspek. Namun
Alhamdulillah, saya amat bersyukur, setelah 18 bulan berlalu sejak saya memimpin
Kerajaan, kita berupaya bersama-sama membendung keadaan dan bangkit dari
belenggu permasalahan.
20. Buat
kesekian kalinya, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan
setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha
menangani cabaran pandemik, khususnya buat para petugas barisan hadapan. Begitu
juga penghargaan perlu diberikan kepada sekalian rakyat yang telah memberikan
kerjasama terhadap segala usaha kerajaan dengan kesabaran, disiplin dan
semangat kekitaan sebagai sebuah Keluarga Malaysia sebagaimana yang
diterjemahkan melalui tema ‘kita jaga kita’.
21. Agenda
pengurusan kesihatan awam akibat COVID-19 telah digerakkan seiring dengan
proses pemulihan ekonomi. Sejajar dengan Aku Janji GRS-BN, komitmen kita adalah
untuk mengembalikan landasan pertumbuhan ekonomi negeri sekali gus melonjakkan
kedudukan ekonomi dan kemajuan negeri. Atas sebab itu, Kerajaan Negeri telah
mula dan bertindak segera melakar dan melaksanakan strategi dan pendekatan bagi
memulihkan ekonomi, sungguhpun ketika itu kita masih berada dalam fasa pandemik
yang serius.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
22. Berkat
kesungguhan dan muafakat semua pihak, usaha kita telah menunjukkan perkembangan
yang positif dan menghasilkan pelbagai pencapaian yang signifikan. Saya tidak
berhajat untuk menghuraikan perkembangan setiap satu daripada lebih 500
inisiatif di bawah Hala Tuju SMJ atas kekangan masa dan tanggungjawab pelaporan
telah diberikan kepada setiap kementerian. Pada kesempatan yang terhad ini,
suka saya berkongsi beberapa indikator yang menyentuh aspek pemboleh daya (enabler)
dan teras utama SMJ.
PEMBOLEH DAYA SMJ
23. Antara
pemboleh daya penting adalah kemampanan fiskal. Keupayaan kita untuk
meningkatkan perbelanjaan bagi faedah rakyat akan bergantung kepada kemampanan
hasil negeri. Atas sebab itu, antara fokus Hala Tuju adalah untuk meningkatkan
hasil negeri melalui pelbagai pendekatan termasuk strategi percukaian.
Sebagaimana yang telah diumumkan, kita telah melakar sejarah baharu dengan
kutipan hasil tertinggi negeri bagi tahun 2021. Pertama kali sejak merdeka kita
berjaya menembusi angka RM 5 bilion dengan jumlah keseluruhan kutipan bagi
tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2021 ialah RM 5.449 bilion. Sungguhpun
mencabar, kita akan terus berusaha untuk memastikan momentum ini dapat
dikekalkan.
24. Selain
itu, Kerajaan Negeri juga sedang dalam peringkat akhir memuktamadkan
perundingan dengan Kerajaan Persekutuan berhubung kajian semula pemberian khas
kepada Negeri Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan. Kita yakin
rundingan ini akan dapat memberikan jumlah pertambahan pemberian khas pada
kadar yang signifikan sekali gus akan membantu meningkatkan hasil negeri.
25.
Kita juga mensasarkan pertambahan hasil negeri dengan penerokaan sumber baharu,
inisiatif-inisiatif pelaburan dan pelbagai aktiviti ekonomi lain melalui
pembayaran seperti cukai, premium tanah dan royalti.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
26. Sejajar
dengan usaha menggalakkan penglibatan badan berkanun dan GLCs dalam sektor
ekonomi, kerajaan juga akan mempertimbangkan strategi pemerkasaan amalan tadbir
urus korporat. Matlamat utama adalah untuk memastikan semua badan dan syarikat
terlibat menunaikan tanggungjawab pembayaran dividen yang lebih tinggi. Bagi
tahun 2021, Kerajaan Negeri telah menerima sejumlah RM112.2 juta dividen
daripada badan berkanun dan GLCs yang merupakan peningkatan sebanyak 12.9
peratus berbanding tahun 2020. Kita mahu pemerkasaan peranan badan berkanun dan
GLCs datang bersama sumbangan yang lebih signifikan kepada usaha meningkatkan
hasil negeri.
27. Dalam
berusaha meningkatkan hasil negeri, kita juga akan sentiasa memastikan
kedudukan kewangan berada dalam keadaan yang stabil dan diurus serta
dibelanjakan secara berhemah tanpa menjejaskan rezab sedia ada. Tanggungjawab
ini berkait secara langsung dengan aspek tadbir urus, keberkesanan dan
kecekapan sistem penyampaian kerajaan yang juga merupakan pemboleh daya
SMJ.
28.
Agenda meningkatkan kecemerlangan perkhidmatan awam termasuk badan berkanun dan
agensi awam merupakan satu usaha berterusan sejajar dengan peranan penting
dalam menjayakan Hala Tuju kerajaan. Antara pendekatan yang telah dilaksanakan
adalah pengenalan Polisi Amalan Baik Peraturan Negeri Sabah (GRP Sabah), peluang
pengajian dan latihan sehingga ke peringkat doktor falsafah, latihan dalam
perkhidmatan, pemerkasaan pentadbiran daerah, pewujudan pelan anti rasuah dan
pelbagai inisiatif lain.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
29. Kerajaan
Negeri juga melaksanakan strategi untuk memberi pendedahan awal kepada graduan
muda tempatan untuk mendapat pengalaman dalam perkhidmatan awam melalui Program
Hi-Talent dan Felo Sabah Maju Jaya. Program ini sekali gus menjadi platform
untuk mengenal pasti potensi calon berkelayakan untuk dipertimbangkan
perkhidmatan dalam kerajaan.
30. Keberkesanan
sistem penyampaian juga melibatkan pemboleh daya kerajaan digital yang
berteraskan teknologi dan inovasi. Selain
memanfaatkan pelbagai inisiatif program pendigitalan kerajaan yang
dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui kerjasama pintar, Kerajaan
Negeri juga telah berjaya merangka Pelan Transformasi Digital. Pelaksanaan pelan ini melibatkan tiga
fasa iaitu Fasa Automasi Digital, Fasa Transformasi Digital dan Fasa Inovasi
Digital. Inisiatif Kerajaan Digital akan memacu usaha meningkatkan keberkesanan
perkhidmatan dan sistem penyampaian kerajaan sekali gus membantu kejayaan pelan
pembangunan negeri.
TERAS UTAMA SMJ
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
31. Pelbagai
strategi berkaitan aspek pemboleh daya berjalan seiring dan memacu pelaksanaan
tiga teras utama Hala Tuju SMJ. Banyak inisiatif dan program yang telah
direalisasikan di bawah teras pertama iaitu melonjakkan pertumbuhan ekonomi
melalui tiga Sektor Fokus Utama iaitu Pertanian, Perindustrian dan
Pelancongan yang kelak akan dihuraikan oleh setiap kementerian
bertanggungjawab.
32. Fokus
pertumbuhan sektor pertanian adalah membina rantaian nilai, khususnya
pengeluaran, penghasilan, pemprosesan dan pemasaran. Selain memastikan sektor
ini lebih kompetitif melalui teknologi dan inovasi, usaha pemodenan ini
melibatkan kumpulan petani, penternak dan nelayan sekali gus membantu membina
kapasiti mereka dengan pelbagai bantuan serta bimbingan.
33. Manakala,
pelbagai usaha sedang digerakkan untuk melonjakkan potensi sebenar sektor
perindustrian negeri. Kita optimis Sabah boleh kembali berada pada
kedudukan sebagai kuasa besar industri (industrial powerhouse) di negara
ini sebagaimana dalam era 1980-an. Antara inisiatif yang dilaksanakan adalah
penambahbaikan infrastruktur, pembinaan kapasiti keusahawanan, penerokaan
sumber khazanah secara mapan dengan rantaian nilai yang lebih tinggi,
peningkatan pelaburan dan penyertaan syarikat tempatan dalam sub-sektor
strategik.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
34. Dalam
konteks ini, antara fokus adalah meningkatkan penyertaan bermakna negeri dan
syarikat tempatan dalam industri minyak dan gas. Kejayaan Kerajaan Negeri dalam
menandatangani Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan PETRONAS pada 7
Disember 2021 merupakan langkah penting merealisasikan hasrat tersebut. Melalui
CCA, Sabah akan mempunyai suara, penyertaan dan perkongsian hasil yang lebih
besar dalam industri minyak dan gas kita.
35.
Tidak sampai sebulan dari tarikh CCA dimeterai, kita telah dapat melihat
hasilnya dengan Pelancaran Pelan Induk Gas Sabah (SGM) pada 4 Januari 2022. SMJ
Petroleum Sdn. Bhd. telah ditubuhkan sebagai entiti negeri yang akan
menyelaraskan tindakan susulan dan kerjasama dengan PETRONAS serta pemain industri
minyak dan gas yang lain. Kerjasama rapat ini bermatlamat untuk mewujudkan
persekitaran yang kondusif bagi kemajuan industri berkenaan di negeri ini
sekali gus melonjakkan rantaian nilai penyertaan GLCs berkaitan dan
syarikat-syarikat tempatan lain. Alhamdulillah, hari ini kita bakal menyaksikan
majlis menandatangani perjanjian dan memorandum persefahaman yang melibatkan
inisiatif pelaburan di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).
36.
Bagi sektor pelancongan, usaha sedang giat dilaksanakan bagi pembukaan
produk-produk pelancongan untuk pelancongan domestik dan sekali gus pembukaan
sempadan negara secara berperingkat bermula 1 April 2022 ini. Agensi-agensi
berkaitan sedang melaksanakan promosi pelancongan yang lebih agresif,
menyelenggara produk pelancongan sedia ada, memperkasa infrastruktur dan
kemudahan asas serta meneroka peluang baharu. Antara strategi adalah
mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelancongan luar bandar bertaraf dunia
sejajar matlamat mencapai ASEAN Standard menjelang tahun 2025. Kini kita
mempunyai lebih 500 pengusaha pelancongan desa berasaskan komuniti.
37. Selain
itu, Kerajaan juga mengambil inisiatif untuk merintis lonjakan imej dan
persekitaran bandar-bandar utama khususnya Bandaraya Kota Kinabalu sebagai
pintu masuk udara utama. Selain menambah baik prasarana dan kebersihan, lanskap
dan wajah Kota Kinabalu pada masa depan akan berubah dengan pelaksanaan
pelbagai jenis projek pembangunan seperti di kawasan Waterfront, Star City,
Hyatt Centric, The Shore, Sadong Jaya, Coral Bay, Tanjung Aru Eco Development,
Jesselton Quay Central, Pavillion Harbour City, Jesselton 101, Botanical
Garden, pengindahan Menara Jam Atkinson dan banyak lagi.
KEPENTINGAN INISIATIF PELABURAN
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
38. Secara
keseluruhannya, lonjakan pembangunan ketiga-tiga sektor ekonomi utama di bawah
Hala Tuju SMJ akan melibatkan inisiatif pelaburan sebagai enjin pertumbuhan.
Kita tidak boleh hanya bergantung kepada inisiatif dan sumber domestik. Atas
sebab itu, saya amat bertegas dalam aspek keterbukaan dan komitmen dalam
meningkatkan pelaburan. Sering saya ulangi bahawa kita mesti mengamalkan
pendekatan mesra pelabur termasuk dalam urusan birokrasi. Ini kerana penilaian
persekitaran pelaburan yang kondusif itu bukan hanya dalam konteks kestabilan,
infrastruktur fizikal dan kekayaan sumber, tetapi juga polisi serta peraturan
kerajaan dan amalan tadbir urus serta sikap jentera sesebuah kerajaan.
39. Saya
menyeru semua agensi berkaitan untuk menjadikan inisiatif pelaburan asing yang
melibatkan syarikat Kumpulan LINACO bagi penanaman kelapa bersepadu, dan
syarikat SK Nexilis bagi pembuatan kerajang tembaga, sebagai contoh dan model
kejayaan untuk merealisasikan pelaburan dalam tempoh kurang setahun dari tarikh
MOU dimeterai.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
40. Teras
utama kedua Hala Tuju SMJ iaitu modal insan dan kesejahteraan rakyat
digerakkan secara berterusan sebagaimana komitmen untuk bukan sahaja menjadikan
Negeri Sabah maju, tetapi rakyatnya juga berkemajuan. Pembangunan modal insan
yang merupakan pelaburan masa depan dilaksanakan melalui penambah baikan
program-program sedia ada dan inisiatif-inisiatif baharu yang melibatkan
pendidikan, latihan, bimbingan, bantuan pengembangan kerjaya dan keusahawanan.
Antaranya inisiatif BUDI, BAKTI, BAIK, BISTARI, BISBAH, BAGUS, AKSA, Dewan
Belia Sabah dan Majlis Perundingan Pelajar Sabah, PitchBorneo dan banyak lagi.
Pada masa yang sama, Kerajaan terus komited untuk meningkatkan peluang
biasiswa, dermasiswa dan pinjaman pendidikan.
41. Kesejahteraan
rakyat akan terus menjadi teras penting dalam dasar dan program kerajaan. Dalam
tempoh pandemik, Kerajaan Negeri telah membelanjakan peruntukan sejumlah RM1.2
bilion bagi membantu rakyat. Jumlah ini tidak termasuk bantuan bulanan dan
bantuan one-off yang disalurkan kepada golongan yang memerlukan bagi kes
kesihatan, bencana dan lain-lain.
42. Selain
itu, pembinaan perumahan rakyat akan terus menjadi keutamaan. Antaranya projek
yang telah dan hampir siap adalah penyediaan 750 unit rumah mampu milik di
Papar dan di Tuaran. Manakala, dalam tempoh RMKe-12, pembinaan sebanyak 175
unit rumah mampu milik sedang bermula yang melibatkan kawasan Kemabong, Sukau,
Melalap dan Beluran. Kita juga akan melaksanakan pembinaan kompleks perumahan
penjawat awam di tapak seluas 136 ekar di Papar.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
43.
Kualiti dan tahap kesejahteraan rakyat juga bergantung kepada akses kepada jaringan
infrastruktur dan kelestarian hijau yang merupakan teras utama ketiga Hala
Tuju SMJ. Keperluan penambah baikan jaringan infrastruktur merupakan antara
cabaran utama yang menuntut peruntukan yang amat besar. Kerajaan Negeri akan
terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan untuk mengenal pasti
mekanisme penyelesaian, Di samping itu, kita akan memastikan projek-projek
berimpak yang telah diluluskan dapat segera dilaksanakan dan disiapkan mengikut
jadual seperti Projek Lebuh Raya Pan Borneo, Jalan-Jalan Luar Bandar dan
Program JENDELA.
44. Kerajaan
Negeri sentiasa komited untuk melaksanakan semua inisiatif yang dirancang dalam
agenda kelestarian hijau. Kita akan memastikan sasaran 30 peratus atau seluas
2.2 juta hektar kawasan hutan Sabah diwartakan sebagai Kawasan Dilindungi
Sepenuhnya (TPAs). Ini sekali gus menjadikan Sabah sebagai teras kepada
pelaksanaan Heart of Borneo Initiative. Sabah juga telah mendahului
rekod tertinggi dalam menjayakan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok bagi suku
tahun pertama 2022. Selain itu, Jabatan Perhutanan Sabah telah berjaya merangka Pelan Tindakan
Pembangunan Ladang Hutan 2022-2036.
PENUTUP - ASPIRASI
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
45. Alhamdulillah,
secara keseluruhannya, telah banyak kejayaan yang kita capai, namun masih
banyak yang perlu kita terus usahakan. Semua ini adalah hasil kerjasama dan
kesungguhan banyak pihak. Saya ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada semua
pihak yang terlibat dalam perjuangan murni ini. Perjalanan seterusnya menuntut
kita bekerja dengan lebih keras dengan sederap langkah sebagai satu pasukan.
46. Demi
memperkemaskan gerak kerja penyelarasan di semua peringkat termasuk kerjasama
dengan pihak-pihak berkepentingan, kita melihat keperluan untuk
menginstitusikan Sekretariat Hala Tuju Sabah Maju Jaya sebagai satu badan
penyelarasan dan pemantauan pelaksanaan. Dengan mekanisme yang lebih
komprehensif dan tersusun, kita yakin akan dapat melonjakkan pencapaian pelan
pembangunan SMJ.
47. Akhir
kata, saya mengajak semua untuk bersatu menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya. Marilah kita meletakkan kepentingan
besar tanah air melebihi segala kepentingan lain. Kita pasti ada perbezaan,
namun biarlah kita melihat dan mencati kepada titik persamaan. Sungguhpun kita tidur lain-lain bantal,
lain-lain bilik, dan mungkin lain-lain rumah, namun yang pasti, bumi tempat dipijak
tetap sama; Sabah tanah air tercinta. Dan saya yakin kita punyai mimpi yang
sama, hasrat dan cita-cita yang serupa, iaitu ingin melihat Negeri SABAH yang
lebih MAJU dan berJAYA, aman dan makmur dalam Malaysia.
Sekian. Wabillahi Taufik Walhidayah. Wassalamualaikum
Wrt. Wbt.
0 Comments