Sumber: Armada Bersatu Negeri Sabah
KOTA KINABALU: Armada Bersatu Negeri Sabah tidak menyokong pendirian rasmi Armada Pusat yang memutuskan untuk kembali bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH). Ketuanya, Encik Isquzawan Israq Datuk Seri Arsit berkata, Armada Sabah menolak sekeras-kerasnya pendirian sayap pusat itu kerana ramai Ketua Armada Bahagian tidak diberitahu mengenai hasrat Armada Pusat menentukan pendiriannya mengenai isu yg amat penting ini.
"Pendirian Armada Sabah ialah tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat oleh Armada Pusat kerana ianya bukan diputuskan dalam Mesyuarat Khas Exco Armada Pusat".
"Sebaliknya mesyuarat khas yang dinyatakan dalam kenyataan media Armada Bersatu Malaysia itu sebenarnya merupakan Mesyuarat Penyelarasan Agihan Bantuan Armada Bersempena Ramadhan 2020 dan Perjumpaan Bersama Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad", katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Armada Bersatu Malaysia yang menyatakan pendirian sayap itu menolak UMNO dan kembali kepada PH. Kenyataan itu berkata, Ahli mesyuarat ARMADA Malaysia penetapkan pendirian bahawa;
i. Menyokong penuh pendirian Pengerusi BERSATU .YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak bekerjasama dengan UMNO.
ii. Mengembalikan mandat rakyat sebagaimana yang telah diberi pada Pilihanraya Ke-14 yang lepas dan kembali bekerjasama dengan Pakatan Harapan.
Katanya, pendirian ini adalah berdasarkan undian yang dibuat semasa perjumpaan dan dipersetujui oleh lebih 2/3 ahli mesyuarat dan selebihnya berkecuali tanpa ada yang menolak. Isquzawan berkata, Armada Sabah menyokong penuh kepimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Perdana Menteri (PM) Malaysia.
"Pendirian Armada Sabah adalah jelas bahawa kita tetap bersama Presiden parti dan dengan perkembangan politik semasa kita tidak akan bermusuh dengan mana-mana parti yang menyokong PN", katanya.
Isquzawan tidak menghadiri Mesyuarat penyelarasan agihan bantuan Ramadhan itu yang diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, hari ini kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Pandemik Covid-19.
0 Comments