Situasi ‘willing buyer, willing seller’ Proton





Tun Dr Mahathir Mohamad telah meminta rakyat Malaysia supaya membantu Proton. Proton bukanlah hak milik kerajaan Malaysia tetapi adalah sebuah syarikat pemilikan swasta. Namun begitu, Mahathir tetap mahu rakyat supaya membantu Proton khususnya sebagai tanda patriotisme atau sebagai salah satu cara untuk berbakti kepada negara.

Saya tidak mahu berhujah tentang ini, kerana memandangkan saya juga adalah rakyat Malaysia sebagaimana Mahathir dan saya menyokong apa sahaja yang mampu menaikkan nama negara.

Namun begitu, apa yang perlu kita fahami adalah dengan membeli sebuah kereta tidak harus dikaitkan dengan konsep nasionalisme mahupun patriotisme. Ianya lebih kepada bagaimana seseorang individu itu ingin membelanjakan separuh daripada gajinya (untuk kegunaan ansuran kenderaan, cukai kenderaan, insurans, minyak, tol, bayaran parking, servis kenderaan dan sebagainya), dan ini tidak termasuk dengan susut nilai kenderaan tersebut yang boleh mencecah 20% sebaik sahaja kenderaan tersebut didaftarkan dan dibawa keluar dari bilik pameran.

Oleh itu, sekiranya seseorang individu itu membeli sebuah kereta, ianya pasti kerana kereta tersebut setimpal dengan nilainya dan sama ada ianya masih mampu memberi keuntungan walaupun setelah dijual kembali atau ‘trade-in’. Dan membeli kereta adalah pelaburan yang paling tidak menguntungkan kerana nilainya yang susut sebaik sahaja dibeli dan anda kehilangan lebih nilai setiap hari, selagi anda masih memilikinya.

Disebabkan inilah, isu tekanan pasaran dan teori asas penawaran dan permintaan menjadi titik tolak kepada tindakan anda. Sekiranya ada permintaan, maka penawaran boleh terwujud. Namun, kita tidak boleh mewujudkan permintaan dengan meminta rakyat Malaysia supaya membeli produk kita hanya semata-mata kerana mereka adalah rakyat tempatan dan Proton adalah produk tempatan.

Pemimpin Sweden tidak pernah mengarahkan rakyatnya supaya membeli kereta Volvo hanya semata-mata ingin mengelakkan syarikat mereka dari dijual kepada China. Britain tidak pernah menggesa rakyatnya untuk membeli Mini hanya untuk mengelakkan syarikatnya dijual kepada rakyat German. Dan masalah yang dihadapi oleh kerajaan Britain kini adalah mereka berkemungkinan terpaksa menutup tiga kilang keluli TATA (yang kerugian hamper RM6 juta sehari) di UK, serta boleh mengakibatkan hamper 40,000 bakal hilang pekerjaan. Ini kerana ramai yang lebih gemar mendapatkan keluli dengan harga yang jauh lebih murah dari negara China.

Kesimpulannya, isu ini lebih berfokuskan kepada minat pembeli, dan kesanggupan penjual atau ‘willing buyer, willing seller’. Apabila pembeli tidak berminat atau sanggup untuk membeli, maka penjual tidak mempunyai hak untuk memaksa mereka. Walau bagaimanapun, persaingan dan globalisasi telah membentuk dunia niaga sedia ada sebagai pasaran pembeli. Secara amnya, inilah kelemahan Proton dalam menangani hati pembeli dan bukannya kerana rakyat gagal memainkan peranan mereka sebagai nasionalis atau patriotik.

Kredit: DLA

No comments:

Post a Comment