ARUL: US$ 3.5B ADALAH PERJANJIAN ANTARA 1MDB BERSAMA EKSEKUTIF IPIC DAN AABAR


<img src="https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgClx0o9CuBWegWr2pT827ltCwfW2ryo4f7t-eyHYHOCyRHUaL1FLe_0ChHe80jmnmHbxudUmWvpn25ShCK5SoLOiMWGNKatJkIljY4adWrGkJ55kY4PlKG7opNbaGc5CzRmyvNdUEt53k/s1600/seo+icon.jpg" alt="ARUL KANDA, 1MDB 2.6B "/>



Oleh SYED AZAHEDI AND HARIZ MOHD AND ALIZA SHAH


KUALA LUMPUR : 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah berurusan secara langsung dengan para eksekutif tertinggi International Petroleum Investment Company (IPIC) milik Abu Dhabi dan anak syarikatnya, Aabar Investments PJS (Aabar) dalam satu perjanjian yang melibatkan US$3.5 bilion melibatkan Aabar Investments PJS Ltd (Aabar BVI).

Dalam temuramah meluas yang ditayangkan melalui Wawancara Khas RTM1 semalam, Presiden 1MDB dan Pengarah Eksekutif Kumpulan tersebut, Arul Kanda Kandasamy berkata bahawa pembayaran yang dibuat kepada Aabar BVI pada 2012 dan 2013 adalah hasil interaksi antara 1MDB dan Pengarah Urusan IPIC iaitu Khadem AL Qubaisi dan Ketua Pegawai Eksekutif-nya Mohamed Badawy Al Husseiny.

Beliau menjawab kepada kenyataan IPIC dan Aabar kepada London Stock Exchange yang menafikan mereka mempunyai kaitan dengan Aabar BVI atau mereka pernah menerima bayaran daripada syarikat tersebut yang berlokasi di British Virgin Islands.

Arul menafikan kenyataan tersebut dengan mengatakan bahawa perjanjian itu dimeterai bersama Qubaisi dan Husseiny.

Beliau juga berkata bahawa tanggungjawab syarikat itu kini adalah untuk mengkaji perjanjian itu dengan lebih lanjut dan mencari ke mana wang 1MDB telah pergi sekiranya ianya tidak berada di IPIC.

“Bayaran tersebut dibuat pada 2012 dan 2013 dan ianya jelas direkodkan di dalam Penyata Kewangan diaudit milik 1MDB, sebuah dokumen awam yang boleh diakses melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia,” tambahnya.

Arul juga menyuarakan persoalan kenapa isu ini tidak dibangkitkan selama ini. “Ini menimbulkan keraguan terhadap isu ini,” dan tambahnya lagi, 1MDB juga akan mengeluarkan kenyataan-kenyataan lanjutan berkenaan keraguan ini.

Terdahulu, Arul berkata bahawa 1MDB adalah syarikat yang disiasat, yang paling terbuka dan telus setakat ini dalam sejarah Malaysia.

Beliau juga menyatakan bahawa Jabatan Audit Negara, SPRM, PDRM, Bank Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) juga telah menyiasat syarikat ini.

Katanya, laporan siasatan yang disediakan oleh PAC juga adalah satu laporan yang telah lengkap dan dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak iaitu kerajaan dan wakil jawatankuasa dari pihak pembangkang.

“Laporan sebanyak 106 mukasurat yang disediakan oleh PAC, adalah bersifat menyeluruh… Ianya ada rumusan ringkas daripada laporan Ketua Audit Negara.

“Ia merangkumi segala fakta tentang 1MDB, dan yang lainnya. Laporan itu juga menunjukkan akauntabiliti syarikat tersebut dan bagaimana ianya boleh lebih maju ke depan.”

Ketika dialog khas yang berlangsung selama sejam itu, Arul juga ditanya tentang cadangan yang dikemukakan oleh PAC, termasuk untuk menyiasat bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB untuk kegagalan urus tadbirnya, sehingga menyebabkan Lembaga Penasihat terpaksa dibubarkan, dan kerana mengakibatkan segala aset 1MDB dipindahkan ke Kementerian Kewangan.

Arul menjawab bahawa pihak 1MDB masih lagi membincangkannya dengan pemegang-pemegang saham mereka berkenaan pembubaran Lembaga Pengarah dan pemindahan aset, manakala kesalahan urus tadbir tersebut sudah berada dalam siasatan polis.

“Sekiranya kita membaca laporan PAC itu, ianya tidak hanya menamakan bekas CEO sahaja, namun juga keseluruhan Ahli Lembaga Pengarah sebagai mempunyai kelemahan dalam proses membuat keputusan.

“Apa yang penting adalah prinsip seseorang itu tidak boleh dikatakan bersalah sehinggalah terdapat buktinya. Kita tidak boleh terus menghukum seseorang sehinggalah proses siasatan telah lengkap.”

Beliau juga menyatakan bahawa perkataan “salah laku(wrongdoing)” atau “jenayah(crime)” tidak digunakan di dalam laporan PAC tersebut.

“Malah apa yang digunakan di dalam laporan tersebut adalah ‘kelemahan’ dan ‘beberapa kekangan di dalam pentadbiran 1MDB’.”

“Namun, PAC juga telah mengarahkan pihak berkuasa untuk menyiasat sekiranya terdapat sebarang salah laku, dan para penyiasat haruslah menunaikan tanggungjawab mereka agar mereka dapat menemukan sebarang salah laku, sekiranya ada,” katanya.

No comments:

Post a Comment