PEMBENTANGAN DAN PERBAHASAN KE ATAS USUL MENGENAI PERJANJIAN PERJANJIAN PERKONGSIAN TRANS-PASIFIK (TPPA)





TEKS UCAPAN Y.B. MENTERI
BAGI PEMBENTANGAN DAN PERBAHASAN KE ATAS USUL 
MENGENAI PERJANJIAN PERJANJIAN PERKONGSIAN TRANS-PASIFIK (TPPA)
PADA 26 JANUARI 2016, SELASA DI DEWAN RAKYAT


Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia. 

Tuan, Yang di-Pertua, saya dengan penuh takzim berdiri dalam Dewan yang mulia ini untuk mengemukakan satu usul:

“Bahawa Dewan ini,

menerima akan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka yang terlibat dalam perdagangan antarabangsa, pelaburan asing, teknologi dan pelancongan;

mempersetujui penglibatan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan memperkukuhkan daya saing Malaysia di peringkat serantau dan global;

menyokong keputusan Kerajaan bagi Malaysia untuk menjadi sebahagian anggota negara TPPA dengan menandatangani dan meratifikasi TPPA; dan

Bahawa dalam memutuskan penyertaan Malaysia dalam TPPA, Dewan ini menyeru agar semua pihak bersama-sama berusaha menjayakan matlamatnya.”


Tuan Yang diPertua,

Izinkan saya berhujah mengapa keputusan Kerajaan untuk menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik atau nama ringkasnya TPPA ini adalah selari dengan kepentingan negara.

Tuan yang diPertua,

LATAR BELAKANG
Mesyuarat Menteri-Menteri TPPA di Atlanta, Amerika Syarikat dari 30 September hingga 5 Oktober 2015 telah memuktamadkan rundingan TPPA. Ini adalah setelah lebih 5 tahun berunding. Lanjutan dari itu, pada 5 November 2015, teks penuh TPPA yang mengandungi 30 bab yang terdiri daripada 595 muka surat teks perjanjian, 5755 muka surat yang mengandungi lampiran bagi jadual akses pasaran bagi 12 negara TPPA, jadual syarikat milik Kerajaan, peraturan tempasal; dan 20 surat-surat sampingan yang dipersetujui secara dua hala mengenai isu spesifik telah dihebahkan kepada umum.

Pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri atau MITI telah memuat naik Frequently Asked Questions (FAQ) di laman sesawangnya bagi memudahkan orang ramai memahami kandungan TPPA. Pada 3 Disember 2015, hasil kajian kos-faedah oleh Institute Strategic and International Studies (ISIS) dan PricewaterhouseCoopers (PwC) mengenai impak TPPA telah dimuat naik di laman sesawang MITI.

Disamping itu, ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara telah diberikan dokumen-doumen berikut pada bulan Disember:
Teks dan lampiran TPPA; setebal 16 jilid dan Hasil kajian kos-faedah oleh Institute Strategic and International Studies (ISIS) dan PricewaterhouseCoopers (PwC).

Ringkasan TPPA dalam Bahasa Melayu juga telah diedarkan kepada semua ahli Dewan Rakyat pada bulan Januari 2016. Ringkasan ini juga diedarkan sekali lagi kepada ahli-ahli Dewan Rakyat pada pagi ini sebagai rujukan.

Sebagai usaha kerajaan untuk memberi penjelasan kepada semua lapisan masyarakat, termasuk di peringkat negeri, saya sendiri telah membuat lebih dari 300 sesi penerangan mengenai TPPA sejak 1 Ogos 2013 sehingga ke hari ini. Tujuan program-program ini adalah untuk mendedahkan kandungan TPPA serta mendapat input daripad pelbagai pihak. Golongan-golongan yang telah ditemui termasuklah pelajar-pelajar pusat pengajian tinggi, belia, golongan akar umbi, guru-guru, penjawat awam, persatuan-persatuan perniagaan, pertubuhan bukan kerajaan, Ahli Parlimen dan lain-lain pihak yang berkepentingan. Pegawai-pegawai MITI juga telah memberi penjelasan kepada beberapa pihak berkepentingan dari semasa ke semasa. Selain itu, temuramah di media massa, media elektronik dan media cetak telah diberikan dari semasa ke semasa. Kesemua sesi penerangan dan dialog ini telah memberi peluang kepada semua ahli lapisan masyarakat untuk memahami TPPA dan mengajukan persoalan-persoalan tertentu serta mendapat pencerahan. 

Malah MITI juga telah menubuhkan Cleared Advisors, iaitu kumpulan pakar meliputi beberapa bidang yang memberi nasihat kepada kerajaan berkaitan hal-hal yang sedang dirundingkan di bawah TPPA. Mesyuarat pertama kumpulan ini diadakan pada 4 Disember 2014. Cleared Advisors ini terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang masing-masing dari sektor swasta, kumpulan profesional, ahli akademik dan badan bukan kerajaan. MITI telah berkongsi dengan kumpulan ini butir-butir terperinci mengenai TPPA.

Tindakan Kerajaan untuk membentangkan sebuah triti antarabangsa kepada Dewan Rakyat dan Dewan Negara adalah satu tindakan yang unpredecented, iaitu tidak pernah berlaku dalam sejarah. Semasa sidang media di Sidang Kemuncak APEC di Bali, YAB Perdana Menteri telah membuat keputusan supaya TPPA di bawa ke Parlimen untuk dibahaskan. Daripada sudut undang-undang, iaitu dibawah Perlembagaan Negara Bab 3 Perkara 39 mengenai Kuasa eksekutif Persekutuan “Kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, bolehlah dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau oleh mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, tetapi Parlimen boleh, melalui undang-undang, memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain.” Dalam kata lain, Kerajaan berhak untuk menandatangani perjanjian antarabangsa, termasuk TPPA tanpa perlu dibawa kepada Parlimen. 

Namun demikian, sebagai Kerajaan yang menghormati demokrasi, TPPA dibentangkan ke Parlimen pada hari ini di Dewan Rakyat kerana ia merupakan perjanjian bebas terbesar di dunia yang paling komprehensif berbanding mana-mana FTA yang ditandatangani oleh Malaysia di dunia pada hari ini. Ia meliputi banyak perkara selain dari hal-hal berkaitan dengan tarif dan mempunyai kesan yang besar kepada negara. Sebelum dibahaskan di Parlimen, perkara ini menjadi subjek dalam seminar forum dan menarik perhatian banyak pihak. Keputusan Kerajaan untuk membawa TPPA ke Parlimen amat bertepatan sekali kerana langkah ini telah mendorong kerajaan untuk mengadakan majlis-majlis penerangan diseluruh negara. 

Yang kedua, tindakan unprecedented atau bersejarah adalah keputusan untuk menubuhkan sebuah Kaukus TPP yang melibatkan ahli Parlimen yang daripada Barisan Nasional dan pembangkang. Kaukus ini telah bermesyuarat sebanyak 15 kali. Kali pertama mesyuarat diadakan adalah pada 6 Ogos 2013 dan yang terakhir pada 30 November 2015. Kaukus tersebut yang diketuai oleh Yang Berhormat Jasin terdiri daripada 11 Ahli-Ahli Yang Berhomat yang lain termasuklah 6 dari Barisan Nasional dan 5 ahli pembangkang. Mereka adalah ahli Parlimen Johor Bahru, Putatan, Hulu Rajang, Kuala Selangor, Simpang Renggam dan Kota Tinggi. Pembangkang pula diwakili oleh Lembah Pantai, Kota Bharu, Klang, Sungai Siput dan Kelana Jaya.

Saya ucapkan terima kasih kepada ahli-ahli Yang Berhormat yang menyertai Kaukus TPP kerana memberi pandangan secara yang telus dan terbuka. Kerajaan amat menghargai sumbangan ahli Yang Berhormat dan ia menunjukkan dalam isu-isu melibatkan kepentingan negara, pihak Kerajaan dan Pembangkang boleh duduk semeja. Malah dalam beberapa tegas Yang Berhormat mengenai ISDS dan cukai eksport telah dibawa meja rundinagn dan sebahagian pandangan telah diterima oleh rakan-rakan TPPA yang lain. 

Yang ketiga, satu lagi tindakan bersejarah ialah sesi plenari dan bengkel yang diadakan pada hari Selasa 13 Januari 2016 yang menghimpunkan ahli-ahli Parlimen dari Barisan Nasional dan pembangkang. Pada sidang plenari, ahli-ahli Pembangkang telah mengemukakan lebih banyak soalan berbanding ahli-ahli Barisan Nasional. 

Pada sebelah petangnya pada hari sama, bengkel mengenai isu-isu utama TPPA seperti akses pasaran, ISDS dan pelaburan, perolehan kerajaaan, Bumiputera dan syarikat milik kerajaan serta hakcipta harta intelek dan ubat-ubat telah diadakan. Saya gembira kerana ahli-ahli Yang Berhormat Kerajaan dan Pembangkang telah berbincang isu-isu yang mendalam dalam suasana yang cukup tertib dan berhemah. 


Tuan yang DiPertua,

Hari ini, hari Selasa 26 Januari, saya ucapkan terima kasih kerana YAB Perdana Menteri dan sahabat-sahabat dalam Kabinet yang hadir sidang khas ini. Ini membuktikan bahawa komitmen tinggi Kerajaan. Esok hari Rabu, adalah hari Kabinet. YAB Perdana Menteri telah membuat keputusan bahawa mesyuarat Kabinet ditunda ke hari Jumaat. Ini mencerminkan bahawa seluruh Kerajaan bersatu dan berpendapat bahawa amat penting isu ini dibahaskan di Parlimen untuk kelulusan.

Saya ingin memaklumkan kepada Yang Berhormat bahawa di kalangan 12 negara TPPA, cuma Malaysia sahaja yang membawa perkara ini ke Parlimen untuk kelulusan sebelum menandatangani perjanjian tersebut. Kesemua negara lain telah membuat keputusan untuk pergi ke Auckland, New Zeland pada 4 Februari 2016 bagi menandatangani perjanjian ini kerana ia tidak memerlukan kelulusan badan legislatif negara-negara berkenaan. Bagi Malaysia, kita akan membuat keputusan samada untuk menandatangani TPPA atau tidak hanya selepas ia dibahaskan dan diputuskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Ini merupakan satu langkah yang menunjukkan bahawa Kerajaan ini menghormati pandangan ahli-ahli Yang Berhormat. 

Sekiranya ahli-ahli Yang Berhormat setuju agar Kerajaan menandatangani TPPA, ianya belum boleh dilaksanakan lagi. Tempoh kira-kira 2 tahun diperlukan untuk kita membuat beberapa pindaan kepada undang-undang berkaitan dan peraturan tertentu sebelum dapat diratifikasikan. Sebanyak 26 pindaan perlu dibuat ke atas 17 undang-undang bagi mengambil kira beberapa persetujuan dicapai oleh negara-negara dalam TPP.

Pindaan undang-undang yang substantif merangkumi bab-bab berikut:
  • Empat pindaan, yang melibatkan bidang penguatkuasaan dibawah Akta Kastam 1967, Akta Zon Bebas 1990 dan Perintah Kastam No.27 dalam Bab Barangan (Bab 2);

  • Dua pindaan yang melibatkan bidang penguatkuasaan dibawah Akta Kastam 1967 dan Akta Zon Bebas 1990 dalam Bab Tempasal (Bab 3);

  • Sembilan pindaan yang melibatkan bidang paten, hakcipta, cap dagangan, petunjuk geografi dan penguatkuasaan dibawah Akta Tanda Niaga 1976, Peraturan-peraturan Tanda Niaga 1997, Akta Paten 1983, Peraturan-peraturan Paten 1986, Akta Hakcipta 1987, Akta Indikasi Geografikal 2000, Akta Anti-Money Laundering and Anti-Terrorism Financing Act 2001, Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan Baru 2004 , Peraturan-peraturan Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2008 390/2008 dan 389/2008, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, Directive No. 2/2011 (berkaitan “data exclusivity”) dan Akta Pencegahan Perubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 dalam Bab Harta Intelek (Bab 18);

  • 10 pindaan yang melibatkan bidang penguatkuasaan di bawah Akta Kesatuan Sekerja 1958, Akta Perhubungan Perusahaan 1967, Akta Kerja 1955, Akta Pasport 1966, Akta Standard-standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990, Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981, Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007, Akta Kanak-kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966, Ordinan Buruh Sabah Cap 67 dan Ordinan Buruh Sarawak Cap 76 dalam Bab Buruh (Bab 19);

  • Satu pindaan yang berkaitan dengan anti-rasuah dan melibatkan bidang penguatkuasaan dibawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dalam Bab Ketelusan (Bab 26). 

Pindaan yang prosidural merangkumi bab-bab berikut:
Semakan semula akan dibuat keatas peraturan perolehan kerajaan sedia ada yang akan melibatkan pindaan untuk memastikan keseragaman peraturan berkaitan pelaksanaan dibawah Arahan Perbendaraan (T1) dan satu Pekeliling Perbendaharaan yang berkaitan dengan Treasury Instructions (1PP) dibawah Bab Perolehan (Bab 15).

Saya ingin menekankan disini bahawa pindaan ke atas 17 undang-undang Malaysia adalah untuk memastikan bahawa 26 pindaan keatas undang-undang kita dikemaskini berdasarkan perkara yang telah dipersetujui dalam rundingan dan tidak melibatkan pindaan perlembagaan. Perlu ditekankan bahawa pindaan ini tidak menjejaskan dasar-dasar utama negara seperti agenda Bumiputera. Sebaliknya, pindaan ini secara amnya adalah bertujuan untuk menggunapakai amalan-amalan terbaik dalam hal berkenaan buruh, alam sekitar serta hakcipta harta intelek.


Tuan Yang diPertua,

GLOBALISASI DAN PERDAGANGAN
Berkurun-kurun lamanya Malaysia adalah sebuah negara yang amat bergantung pada perdagangan antarabangsa. Sejak Zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi, tanah air kita adalah sebuah pusat perdagangan yang ulung kerana lokasi yang strategik dalam menemukan saudagar-saudagar dari seluruh dunia. Ini telah membawa kemakmuran kepada Melaka.

Legasi perdagangan ini diwarisi sehingga sekarang dan Malaysia terus unggul dalam perdagangan antarabangsa. Malaysia sebagai sebuah ekonomi terbuka, di mana jumlah dagangan adalah 1.5 kali ganda lebih besar daripada KDNK. Pada masa ini, Malaysia berada di tangga ke-23 negara pengeksport dan ke-25 negara pengimport tertinggi di dunia. Jumlah dagangan pada tahun ini dijangka RM1.4 trillion.

Untuk makluman ahli-ahli Yang Berhormat, Malaysia berdagang dengan lebih 200 buah negara di seluruh dunia. Dasar kita adalah untuk berkawan dan berdagang dengan semua negara. Oleh itu, kita telah menandatangani 13 FTA sehingga hari ini, yang terkini dengan Turki dan Malaysia juga sedang merundingkan beberapa FTA yang lain termasuklah Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang melibatkan China serta FTA dengan Kesatuan Eropah. Jumlah perdagangan dengan Turki telah melonjak lebih 70% sejak Ogos tahun lepas. Penglibatan dalam TPPA bukanlah bermakna kita meminggirkan China, ASEAN ataupun negara-negara Islam. Malaysia perlu mempelbagaikan hubungan dagangan kita, dan jika ada peluang sudah pasti kita ingin menjual barangan kita ke seluruh dunia. Dalam dasar luar negara Malaysia, ASEAN adalah keutamaan kita. Pada masa yang sama China dan negara-negara sahabat yang lain juga penting untuk kita. Penglibatan dalam TPPA tidak bermakna kita memilih Amerika dan mengenepikan hubungan perdagangan dengan negara-negara lain. Ini adalah tanggapan yang tidak tepat.

Di samping itu, penglibatan Malaysia dalam TPPA tidak bermakna kita mengabaikan Organisasi Perdagangan Dunia (WTO). Malaysia masih lagi berkeyakinan WTO merupakan platform terpenting untuk meningkatkan hubungan perdagangan antara ngegara-negara dunia. WTO mempunyai 162 negara ahli dan insiatif WTO seperti Doha Development Agenda yang bermula pada 2001 sehingga ke hari ini masih lagi belum menampakkan hasil. Kita tidak boleh menunggu Doha Development Agenda ini ditamatkan sebelum kita terlibat dalam mana-mana FTA. Ini satu tindakan yang tidak cerdik. Sekiranya kita menunggu sehingga Doha Development Agenda tamat, kita tidak akan dapat menandatangan satu FTA baru pun. Oleh itu, pihak-pihak yang berkata kita tidak patut menandatangani TPPA dan terus terlibat dalam WTO dan tidak faham tentang perdagangan antarabangsa.


Saya ingin berkongsi dengan ahli-ahli Yang Berhormat sekalian kenyataan Ketua Pengarah WTO, Roberto Azevedo. Mengikut beliau bahawa TPPA bukanlah satu persaingan sebaliknya ia melengkapi ataupun complement. Kenyataan ini datang daripada orang paling kanan dalam perdagangan dunia. Siapalah kita ini semua untuk menidakkan pandangan Azevedo yang secara terbuka mengalu-alukan TPPA sebagai satu perjanjian yang penting dalam melengkapi WTO.

Sejarah membuktikan bahawa negara yang mengamalkan dasar terbuka lebih berjaya dari negara yang tertutup. Negara-negara yang mengamalkan dasar tertutup seperti Korea Utara, Cuba dan suatu ketika dahulu Myanmar tidak mencatatkan prestasi ekonomi yang memberangsangkan. Sebab itulah negara berlumba-lumba untuk menandatangani FTA. 619 FTA telah dilaporkan kepada WTO dan 413 daripadanya telah pun berkuatkuasa. Kita boleh memilih untuk menutup pintu kita kepada perdagangan dan pelaburan asing. Kita juga boleh memilih untuk membuka pintu kita seluas-luasnya tanpa had. Namun bagi Malaysia, kita mengamalkan sistem pasaran terbuka tetapi akur kepada Perlembagaan Persekutuan, agama Islam dan budaya tempatan.

Malah, agensi seperti MIDA, InvestKL, Iskandar Malaysia, Koridor Pembangunan Sabah (SDC), Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE), Koridor Utara dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur telah diperkenalkan bagi menarik lebih banyak pelaburan asing ke dalam negara kita. Itulah sebabnya juga ada InvestPenang di Pulau Pinang, InvestSelangor di Selangor, InvestPerak di Perak dan InvestJohor di Johor. Semua negeri berlumba-lumba untuk mendapatkan pelaburan asing. Malah keadaan sama di peringkat antarabangsa di mana negara-negara dunia turut berlumba untuk menarik pelaburan asing. Kalau ada ahli-ahli Yang Berhormat beranggapan bahawa pelaburan asing mencuri peluang pelabur tempatan seperti dihujahkan di Padang Merbok oleh beberapa penceramah pada hari Sabtu yang lalu, maka Yang Berhormat Bagan perlu tutup InvestPenang dan Yang Berhormat Gombak pula harus tutup InvestSelangor. Selaku Menteri MITI saya juga perlu tutup MIDA dan MITI.

Dasar Kerajaan adalah untuk menggalakkan pelaburan asing kerana ia mendatangkan banyak manfaat kepada negara. Di Kelantan ada syarikat Jepun bernama Rohm-Wako Electronics yang sudah 30 tahun beroperasi. Rohm-Wako Electronics tidak mencuri peluang orang Kelantan sebaliknya ia membawa pelaburan bernilai RM924 juta ringgit, 1,700 peluang pekerjaan dan eksport produk LED syarikat tersebut yang tidak boleh dihasilkan oleh Kelantan dihantar 100% ke seluruh dunia. Adakah Rohm-Wako Electronics mencuri peluang orang Kelantan? Jawapannya tidak sama sekali. Sekiranya kemasukan syarikat-syarikat asing dikatakan mencuri peluang rakyat tempatan, maka wajarlah Kerajaan Negeri Pulau Pinang mencadangkan agar syarikat seperti Dell dan Intel berpindah keluar dari negeri tersebut. Saya yakin Yang Berhormat Bagan tidak bercadang untuk berbuat demikian. Justeru, berhati-hatilah ketika bercakap kerana sebenarnya Malaysia bergantung kepada perdagangan luar dan pelaburan asing yang mewujudkan peluang pekerjaan dan membawa masuk modal serta menjadi pemangkin kepada kemajuan setempat seperti yang berlaku di Kulim dan Selangor.

Pelaburan asing juga telah membawa pembangunan kepada kawasan setempat. Kulim Hi-Tech Park yang mempunyai lebih 20 pelabur asing bertaraf global umpamanya telah menyediakan 25,000 peluang pekerjaan. Tidak ada pelaburan asing di Kulim Hi-Tech Park, maka pembangunan Kulim terbantut. Tanpa perdagangan luar, tidak adalah Pelabuhan Klang, Perlabuhan Pulau Pinang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Negara China dahulunya miskin. 50 tahun dahulu rakyat China kebuluran. Waris-waris mereka di Malaysia menghantar wang kepada sanak saudara di China untuk membolehkan mereka makan. Hari ini, negara China pesat berkembang. Kenapa? Kerana Deng Xiaoping pada tahun 1989 telah memperkenalkan reformasi yang radikal dan membuka ekonominya. Pada tahun 2001, China menjadi ahli WTO setelah 15 tahun berunding. Kenapa China mahu menjadi sebahagian dari dunia? Kerana Deng Xiaoping dan China nampak faedah keterbukaan. Pada saat dan ketika ini, banyak kawasan di negara China lebih maju dari Malaysia. Hari ini mungkin orang China menghantar wang kepada keluarga mereka di Malaysia. 

Lima puluh lima tahun dahulu, Singapura sama miskin dengan Malaya. Hari ini, pendapatan perkapita Singapura lima kali lebih besar dari pendapatan per kapita Malaysia. Kenapa? Kerana dasar keterbukaan Singapura. Singapura tidak mengeluarkan setitik pun minyak petroleum tetapi merupakan salah sebuah negara pengeluar refined pteroleum terbesar di dunia. Singapura tidak ada kelapa sawit, getah atau padi. Mereka tidak ada sumber, mereka cuma ada modal insan atau pun human capital. Kita harus akui bahawa Singapura lebih berjaya dari Malaysia pada hari ini kerana dasar keterbukaannya.

Negara kita boleh memilih samada untuk tutup atau buka. Kerajaan Barisan Nasional berpendapat untuk menjadi sebuah negara maju, untuk mencatatkan pertumbuhan tinggi, untuk membawa lebih banyak pembangunan ke Sabah Sarawak dan luar bandar, kita harus menjadi sebahagian dari sistem perdagangan dan pelaburan antarabangsa. Syarikat kita harus bersaing agar mereka dapat menjadi sebahagian dari global value chain. 

Dalam menghadapi TPPA ini, Malaysia perlu ada keberanian. Kerajaan harus berani melaksanakan langkah yang mungkin tidak popular dalam jangka pendek. Pada tahun 1974, Allahyarham Tun Abdul Razak, mantan Perdana Menteri telah mengiktiraf negara China. Ramai yang tidak bersetuju pada ketika itu kerana China adalah sebuah negara komunis yang membantu Parti Komunis Malaya. Namun jelas bahawa tindakan berani yang diambil oleh Allahyarham Tun Abdul Razak itu membawa manfaat kepada Malaysia. Hari ini, hubungan perdagangan di antara Malaysia dan China amat baik. 

TPPA memberi akses kepada pasaran lebih luas. Benar kita sudah ada komuniti ekonomi ASEAN, benar kita sudah ada 12 FTA lain. Tetapi pada pandangan saya adalah salah untuk mengatakan bahawa 13 FTA sudah cukup buat Malaysia. Apabila kita tandatangan TPPA, pasaran kita akan berkembang khususnya di empat negara yang Malaysia masih belum mempunyai FTA iaitu Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan Peru. Analoginya cukup mudah, kalau saya orang Kelantan nak berniaga tomyam di Kelantan insyaAllah rezeki ada saya masih boleh hidup. Tetapi sekiranya saya memilih datang ke Lembah Klang maka pasaran saya lebih luas dan rugilah sekiranya saya melepaskan peluang ini. Samalah juga halnya dengan TPPA, sekiranya kita diberi peluang untuk menambah perniagaan di pasaran terbesar di dunia maka kita tidak sewajarnya menolak peluang untuk perniagaan tersebut.


Tuan Yang DiPertua,

Dalam dunia hari ini kita perlu bersaing. 115 tahun dahulu, Argentina dahulu adalah antara negara terkaya di dunia. Pada satu masa dahulu United Kingdom merupakan satu kuasa ekonomi dan militari terkemuka dunia. Malah, sewaktu dulu Jepun dikatakan bakal mengancam kedudukan Amerika Syarakat. Tetapi dunia sudah berubah. Hari ini China merupakan negara ekonomi kedua terbesar di belakang Amerika Syarikat. Pada 30 tahun dahulu, Malaysia, Korea Selatan, Singapura dan Taiwan berada di tahap pembangunan yang sama. Ketiga-tiga negara tersebut sudah menjadi negara maju dan Malaysia masih terperangkap dalam middle income trap. Sebab itu kita laksanakan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) untuk pastikan cita-cita Malaysia menjadi negara maju tercapai. Kita tidak mahu negara kita dipintas oleh Vietnam atau negara jiran yang lain. Kita mahu jadi negara maju tetapi saya bimbang sekiranya kita mengambil pendekatan yang terlalu jumud, tertutup, anti pelaburan asing, anti perdagangan, saya takut Malaysia akan tercicir dan kita akan berputih mata. Vietnam kini mengamalkan dasar terbuka dan semakin agresif dalam menarik pelaburan asing. Saya bimbang Malaysia akan menyesal sekiranya kita tidak menyertai TPPA kerana para pelabur akan melihat negara-negara seperti Vietnam sebagai satu destinasi pelaburan yang lebih menarik.

Terbuka tidak bermakna kita abaikan segala-gala tanpa ada kawalan atau sekatan. Dasar keterbukaan yang kita amalkan adalah bertepatan dengan Perlembagaan Persekutuan, melindungi hak Bumiputera, merapatkan jurang antara yang kaya dan miskin, serta merapatkan jurang antara negeri maju dan mundur. Dalam TPPA, ada yang berkata ia akan mengakibatkan kemasukan bahan lucah tanpa kawalan. Ini merupakan satu fitnah kerana Malaysia masih lagi boleh mengawal selia bahan-bahan ini di bawah TPPA. Penyertaan dalam TPPA tidak menjejaskan hak. Kerajaan untuk menapis kandungan asing termasuk filem dan majalah-majalah dari negara-negara ahli TPPA. Ini telah dimasukkan dalam senarai pengecualian di bawah Bab Pelaburan dan Bab Perdagangan Rentas Sempadan (Cross-Border Trade). Kemasukan buku-buku, majalah-majalah atau suratkhabar, karya-karya seni serta filem-filem yang diimport dan akan diedarkan ke dalam pasaran Malaysia adalah tertakluk kepada perundangan Malaysia.

TPPA melibatkan 12 buah negara. Benar, Amerika Syarikat menyumbang 20% kepada pengeluaran dunia dan merupakan negara terbesar dalam TPPA. Namun yang demikian, prinsip yang digunakan di sepanjang rundingan TPPA ialah “Nothing is agreed until everything is agreed”. Ini bermakna kita membuat keputusan berdasarkan konsensus. Kita memasuki TPPA atas kerelaan kita, tanpa dipaksa, dan bab 30 perkara 6 memperuntukkan bahawa kita boleh keluar dari TPPA sekiranya ia membawa kemudaratan kepada negara. Keluar TPPA tidak bermakna kita akan disaman atau menjadi sebuah negara muflis. 

TPPA adalah lebih demokratik dari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), International Monetary Fund, dan World Bank. Beberapa negara dalam PBB diberikan kuasa veto manakala dalam TPPA keputusan dibuat secara bersama atau konsensus. Di bawah perjanjian perdagangan ini, TPPA Commission bakal ditubuhkan di mana tidak ada satu negara pun memiliki kuasa veto. IMF dan World Bank pula memberikan lebih kuasa kepada negara besar berbanding negara kecil. Justeru, TPPA adalah satu perjanjian yang lebih adil dan demokratik berbanding PBB, IMF dan World Bank.

Segelintir individu cuba menakutkan rakyat dengan tuduhan tidak berasas. Contohnya, ada yang mengatakan bahawa negeri-negeri tertentu tidak boleh mengisyhtiharkan cuti pada hari Jumaat. Ada juga beranggapan bahawa TPPA akan memaksa kedai-kedai dibuka pada pukul 12-3 petang hari jumaat dan mungkin disaman sekiranya mereka tutup pada waktu itu. Sesungguhnya, ini merupakan fitnah daripada individu-individu yang langsung tidak memahami TPPA. TPPA melibatkan 12 buah negara termasuklah negara Islam seperti Brunei. Harus diingat bahawa Brunei merupakan sebuah negara Islam. Malaysia juga diberi kebenaran untuk terus menggunapakai sistem pensijilan halal yang diiktiraf oleh JAKIM.

Salah seorang penulis dari sebuah universiti tempatan telah menerbitkan buku TPPA yang menggunakan gambar khinizir. Ini merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab oleh seorang yang cerdik. Kerajaan menyatakan bahawa TPP mempunyai kelemahan dan kebaikan.

Ahli-ahli Yang Berhormat juga perlu sedar bahawa Malaysia merupakan negara yang hebat. Ratusan ribu rakyat Malaysia kini bekerja sebagai profesional di luar negara sebagai doktor, perniaga dan profesional. Malah, syarikat milik kerajaan seperti Khazanah Nasional dan Petronas adalah dihormati. UEM dan SP Setia beroperasi di Australia, Rimbunan Hijau beraksi di New Zeland. Mengikut perangkaan BNM sehingga September 2015, pelaburan Malaysia di luar negara berjumlah RM600 bilion berbanding pelaburan syarikat asing di Malaysia bernamai RM500 billion. Bagi negara-negara tertentu, umpamanya Australia bagi setiap RM1 yang dilaburkan syarikat Australia di sini, syarikat kita ada RM5 di sana. Adakah pelaburan Malaysia di negara asing bermakna kita menjajah negara tersebut? Jawapannya tidak. Perniagaan adalah menang-menang. Kita untung, dia untung. Kita harus sedar bahawa TPPA bukan sahaja memberi peluang untuk syarikat asing memasuki pasaran Malaysia tetapi juga buat syarikat Malaysia untuk melangkah masuk ke pasaran antarabangsa.

TPP menjadi kontroversi kerana ia tidak hanya bertumpu kepada tariff dan pengurangan cukai. TPP merupakan satu perjanjian alaf baru dan komprehensif. Perjianjian TPPA ini meliputi enam perkara yang penting bagi Malaysia iaitu:
  • Cukai yang lebih rendah bagi barang-barang tertentu khususnya barang elektronik dan elektrikal;
  • Layanan lebih baik di empat buah negara yang kita belum ada perjanjian iaitu AS, Kanada, Mexico dan Peru;
  • Liberalisasi dan perlindungan pelaburan Malaysia di luar negara; 
  • Meningkatkan kerjasama; dalam bidang kastam, pembangunan PKS;
  • Penguatkuasaan peraturan alam sekitar, buruh dan harta  intelek; dan
  • Ketelusan serta dasar anti-rasuah.

Malaysia memasuki TPPA di atas terma-terma sendiri. Sejak awal lagi YAB Perdana Menteri telah menegaskan kepada Presiden Obama dan pemimpin dunia lain bahawa Malaysia tidak akan mengorbankan dasar Bumiputera semata-manta mahu memastikan tempatnya di dalam TPPA. Pada 8 Oktober 2013, sewaktu mesyuarat ketua-ketua kerajaan di Bali sempena Sidang Kemuncak APEC, YAB Perdana Menteri dengan lantang mengatakan bahawa dasar Bumiputera merupakan dasar yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Dasar ini tidak boleh digugat. Perdana Menteri dengan lantang menegaskan bahawa Malaysia tidak akan mengorbankan dasar ini semata-semata untuk menyertai TPPA. Buat pertama kalinya dalam perjanjian pedagangan antarabangsa, kedudukan Bumiputera diiktiraf. Ini adalah satu kemenangan bagi malaysia dan inilah sebabnya kita buat keputusan untuk masuk TPPA.


Tuan Yang Di-Pertua,

Saya tahu kebanyakan ahli-ahli Yang Berhormat telah faham dan membaca TPPA. Bagi pihak Barisan Nasional, saya berani beri jaminan mereka faham kerana mereka telah mengadakan beberapa bengkel yang saya sendiri turut serta. Bagi pembangkang saya kurang pasti. Oleh yang demikian, saya tidak akan senaraikan secara terperinci kandungan bab dalam TPPA. Sepeti sedia maklum TPPA memmpunya 30 bab jadi saya akan highlight beberapa bab yang difikir penting untuk diberikan penerangan. 

Yang pertama, Malaysia membuat keputusan untuk menyertai TPPA kerana kita masih belum mempunyai FTA dengan 4 buah negara iaitu Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan Peru. Amerika Syarikat adalah kuasa ekonomi terbesar di dunia dan peluang untuk menembusi pasaran negara ini akan memberi pulangan kepada syarikat-syarikat Malaysia. Pada pagi ini, saya cuma ingin menjelaskan tentang faedah yang dinikmati oleh syarikat Malaysia dalam tiga bidang utama iaitu elektrikal & elektronik, tekstil dan komponen automotif.

Cukai import bagi barangan eletrikal & elektronik Malaysia untuk memasuki pasaran Amerika Syarikat buat masa ini adalah secara purata 5%. Dengan terlaksananya TPPA, duti ke atas 99.8% dari produk elektrikal & elektronik akan dimansuhkan serta merta. Ini akan memberi faedah kepada syarikat tempatan untuk meningkatkan pelaburan dan menerusi pelaburan tambahan ini kita menjangkakan peluang pekerjaan serta eksport juga akan bertambah.

Dalam bidang tekstil, baju-baju ini tarifnya sekarang ialah di antara 0.5 hingga 32% di Amerika Syarikat. Melalui TPPA, cukai import yang dikenakan ke atas produk-produk ini akan dikurangkan sebanyak 70% pada tahun pertama. Syarikat-syarikat pengeluar tekstil dan pakaian tempatan menjangkakan bahawa pelaksanaan TPPA akan membantu meningkatkan hasil eksport sebanyak 30%.

Walaupun Malaysia bukanlah pengeluar utama sektor automotif, Kerajaan berpendapat sektor ini mempunyai potensi besar di bawah TPPA. Melalui pemansuhan duti dan peraturan tempasal yang memerlukan pengeluar automotif mendapatkan inputnya dari negara-negara TPP, komponen ini dapat dieskport ke negara seperti Kanada, Amerika Syarikat dan Mexico, sekaligus menambah peluang pekerjaan. 


Tuan Yang DiPertua,

APA YANG BERJAYA DIPERTAHANKAN 

Secara ringkasnya dibawah TPPA Malaysia telah berjaya mempertahankan:

Pelaksanaan dasar bumiputera di bawah Bab Perolehan, SOE serta Bab Pelaburan dan Perkhidmatan. Fleksibiliti yang diberi kepada Malaysia meliputi:
  • Tempoh dan threshold yang lebih tinggi untuk melaksanakan obligasi Malaysia, terutama dibawah Bab Perolehan dan SOE. Pengecualian ini termasuk:
    • Memperuntukkan 30% untuk kontraktor Bumiputera dalam sektor pembinaan; 
    • Memberi keutamaan kepada Bumiputera (termasuk PKS) dan juga entiti daripada Sabah dan Sarawak sehingga 40% peruntukan pembelian tahunan SOEs;
  • Disamping itu, pembekal dan pengeluar Bumiputera akan terus menikmati keutamaan harga bagi barangan dan perkhidmatan bagi perolehan kerajaan;
  • Projek IPP dan pembangunan luar bandar serta pengecualian entiti-entiti khusus daripada obligasi Bab SOE, iaitu KWSP, KWAP, LTAT, MARA, TERAJU, EKUINAS, PNB dan Lembaga Tabung Haji; dan
  • Pengecualian dasar bumiputera dari obligasi Bab Pelaburan dan Perkhidmatan, di mana Malaysia berhak untuk memberi layanan istimewa dalam bentuk lessen / permit kepada pengusaha bumiputera, serta pemberian subsidi kepada pengusaha bumiputera. 

Hak kerajaan negeri di pelihara bagi:
  • Urusan tadbir hal-hal berkaitan tanah, termasuk untuk meluluskan dan menetapkan syarat-syarat bagi transaksi dan soal berkaitan pemilikan tanah di bawah Bab Pelaburan dan Bab Perkhidmatan Perolehan Kerajaan di peringkat Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan yang dikecualikan dari obligasi Bab Perolehan; dan
  • Badan Berkanun Kerajaan Negeri dan anak-anak syarikatnya yang dikecualikan dari obligasi Bab SOE.

Pensijilan Halal tidak dianggap sebagai suatu halangan kepada perdagangan, iaitu sistem sedia ada diteruskan.

Sistem pengimportan dan pengedaran beras di Malaysia tidak tertakluk kepada disiplin TPPA.

Hanya Malaysia dan Vietnam yang boleh terus mengenakan cukai eksport dalam TPPA.

Kerajaan boleh terus melaksanakan dasar kawal selia internet serta penapisan bahan-bahan berunsurkan lucah dan bercanggah dengan nilai moral dan agama tempatan.

Hak Kerajaan untuk mengurus aliran modal tidak menentu (volatile capital flows) apabila berlaku krisis kewangan atau ancaman krisis. 


Tuan yang DiPertua,

KEBIMBANGAN TERHADAP TPPA
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memberi penjelasan kepada beberapa kebimbingan yang diutarakan terhadap TPPA, samada melalui media sosial atau semasa sesi penerangan TPPA.

Harga Ubat
Terdapat pelbagai dakwaan bahawa harga ubat akan naik oleh kerana TPPA. Kita harus sedar bahawa terdapat pelbagai faktor yang menentukan harga ubat, seperti kadar pertukaran matawang, kos penyelidikan dan tempoh masa pengujian ‘clinical trials’. Hasil rundingan TPPA mengekalkan dasar patent sedia ada seperti berikut:
  • Undang-undang Malaysia memperuntukkan perlindungan paten selama 20 tahun dan ini kekal di bawah Perjanjian TPP, konsisten dengan terma di bawah WTO.
  • Tempoh perlindungan paten hanya akan dilanjutkan sekiranya berlaku kelewatan tanpa sebab-sebab munasabah. Amalan sedia ada bagi kelulusan pemasaran adalah efisyen dan mengambil masa kurang dari 245 hari. Memandangkan tempoh 245 hari tidak dianggap kelewatan tidak munasabah untuk kelulusan pemasaran, maka tempoh paten kekal 20 tahun.

Bagi ubat-ubatan biologik (bukan kimia):
Syarikat farmaseutikal boleh mendaftarkan data ujian ubatan untuk mendapat perlindungan selama 5 tahun menerusi proses perlindungan data farmaseutikal yang telah berkuatkuasa semenjak tahun 2011.
Kerajaan bersetuju untuk memberi tempoh perlindungan yang sama bagi produk ubatan biologik.

Selain daripada Malaysia, negara TPPA seperti New Zealand dan Australia juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa TPP tidak akan menyebabkan kenaikan harga ubat kerana seperti Malaysia, negara-negara tersebut mengekalkan mengekalkan dasar patent sedia ada. 

ISDS
ISDS, atau mekanisme penyelesaian pertikaian diantara pelabur dengan kerajaan bukan sesuatu yang baru kepada Malaysia. Sehingga kini, negara telah menandatangani 74 perjanjian pelaburan dua hala dan 8 FTA yang mengandungi mekanisme ISDS. Perlu ditegaskan disini bahawa ISDS tidak menyekat hak Kerajaan untuk mengawal selia bagi perkara-perkara berkaitan kesihatan awam, keselamatan dan alam sekitar. ISDS juga bertujuan melindungi pelabur-pelabur kita di negara-negara yang mempunyai perjanjian pelaburan dengan Malaysia. Memandangkan ada kegusaran dan kelemahan dalam mekanisma ISDS sedia ada beberapa penambahbaikan bagi proses ISDS telah dirundingkan dalam TPPA. Penambahbaikan ini termasuk mewajibkan proses konsultasi dan rundingan sebelum dibincangkan di tribunal antarabangsa. 
Interpretasi peruntukan-peruntukan TPPA ditentukan oleh negara ahli TPPA, melalui Suruhanjaya TPPA, dan Tribunal wajib mengikut interpretasi ini. Di samping itu semua tuntutan tidak munasabah atau frivolous claim tidak akan dibenarkan. Tempoh masa untuk pelabur membawa kes terhadap kerajaan terhad kepada 3 tahun 6 bulan.


Kebanjiran Pekerja Asing
Terdapat kebimbangan bahawa TPPA akan mengakibatkan kebanjiran pekerja asing. Ingin diperjelaskan disini adalah bahawa obligasi di bawah Bab Buruh bertujuan untuk mempertingkatkan standard perburuhan sedia ada ke tahap yang lebih tinggi, seperti memberi kebebasan menubuhkan kesatuan pekerja, rundingan secara collective, penghapusan buruh paksa, buruh dibawah umur & diskriminasi di tempat kerja, penetapan gaji minima, waktu bekerja serta aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan. TPPA tidak akan mengubah dasar mengenai kemasukan pekerja asing. Pekerja asing maupun pekerja mahir masih tertakluk kepada syarat-syarat domestik sekiranya mereka ingin bekerja di Malaysia.

Industri Kecil dan Sederhana (PKS)
Ramai pihak bimbang bahawa industri kecil dan sederhana (PKS) tidak dapat bersaing di bawah TPPA. Hakikatnya di bawah FTA sedia ada, pasaran kita sudahpun terbuka, di mana duti import ke atas lebih dari 90% produk yang masuk ke Malaysia telahpun dimansuhkan. PKS diutamakan di dalam TPPA dimana satu Bab Khusus telah diwujudkan dimana usaha bersama kesemua ahli-ahli TPPA akan diadakan untuk membina upaya PKS. Di samping itu Kerajaan telah pun mempunyai pelbagai program bina upaya untuk membantu PKS mengambil peluang dari peluang yang wujud dibawah TPPA. PKS di Malaysia telah pun terlibat dalam pasaran eksport, dimana lapan belas peratus (18%) daripada bilangan PKS telah terlibat dalam eksport. Lima puluh satu peratus (51%) PKS adalah dari sektor perkhidmatan dan empat puluh lapan peratus (48%) dari sektor pembuatan. TPPA akan membuka peluang yang lebih besar kepada PKS.

Bab PKS akan meningkatkan peluang penglibatan PKS di dalam rantaian bekalan global dimana setiap negara TPPA perlu:
  • Menyediakan program khusus pembangunan kapisiti PKS; dan 
  • Menyediakan pangkalan data untuk dikongsi bersama oleh PKS.
PKS juga dapat meraih faedah di bawah TPPA:
  • Meningkat eksport melalui akses pasaran baru yang luas dikalangan ahli TPPA, terutama pasaran ahli baharu, iaitu Mexico, Kanada, Peru dan Amerika Syarikat.
  • Mengurangkan kos operasi memandangkan kos impot bahan mentah adalah lebih rendah akibat pengurangan duti import. 
Dari aspek Perolehan Kerajaan:
  • Keutamaan syarikat Bumiputera dan PKS dikekalkan.
  • Pembekal PKS Malaysia juga berpeluang memasuki pasaran perolehan kerajaan luar negeri – produk makanan, produk minyak masak, pakaian, sarung tangan getah, komponen otomotif.

Penjajahan Semula
Adalah tidak benar, bahawa TPPA akan mengakibatkan penjajahan semula di Malaysia. Pelaburan Malaysia di luar negara yang berjumlah kira-kira RM600 bilion, melebihi pelaburan asing di negara kita sebanyak RM500 bilion (Q3 2015). Kehadiran syarikat dan profesional Malaysia di luar negara tidak bermakna kita menjajah negara-negara tersebut. Disamping itu, pelabur dari Amerika Syarikat, Jepun dan Singapura sudah lama berada di Malaysia. Pelaburan asing adalah penting untuk Malaysia, terutama pelaburan yang berintensifkan modal serta berteknologi tinggi dan dapat mewujudkan peluang-peluang pekerjaan yang memerlukan kemahiran tinggi.

Hakcipta dan Buku Rujukan Kegunaan Pelajar Universiti
Terdapat kebimbangan dipihak pelajar universiti bahawa tempoh hakcipta (copyright) akan dipanjangkan dibawah TPPA daripada 50 tahun kepada 70 tahun, dan ini akan mengakibatkan peningkatan dalam kos kepada pelajar universitI. Namun begitu, terdapat beberapa pengecualian daripada komitmen tersebut bagi tujuan:
  1. Pengajaran,
  2. Penyelidikan,
  3. Akses maklumat oleh individu yang ada kesukaran penglihatan, ataupun
  4. lain-lain tujuan yang seumpama.

Tuan Yang DiPertua,

Kerajaan sedar bahawa penyertaan dalam TPPA ada kosnya. TPPA akan memberi kelonggaran untuk penubuhan Kesatuan Sekerja. TPPA akan memudahkan prosidur sekiranya kesatuan itu ingin mengadakan mogok. TPPA juga membolehkan orang asing memimpin kesatuan sekerja dengan syarat-syarat tertentu. Ini mungkin akan mengenakan tekanan kepada majikan tetapi ia adalah baik untuk pekerja kerana mereka mendapat hak yang lebih. Di bawah TPPA juga, kita dikehendaki untuk menambahbaik kebajikan pekerja termasuklah membanteras perdagangan manusia, menghapuskan buruh kanak-kanak. Ini merupakan satu langkah yang baik untuk pekerja.

TPPA juga membolehkan beberapa PKS dalam sektor pembuatan meningkatkan daya saingnya bagi menembusi pasaran luar negara. Benar, bukan senang untuk menembusi pasaran tersebut walaupun beberapa PKS sudah pun berjaya. Kerajaan mengakui bahawa kita memerlukan satu pelan tindakan yang mantap bagi memastikan PKS tempatan mampu menembusi pasaran global. MITI dan agensi-agensinya seperti SME Corp akan menjalankan dan memperkasakan program bina upaya dan peningkatan pencapaian piawaian antarabangsa. MATRADE akan memainkan peranan lebih aktif dalam mencari pasaran dan memastikan agar syarikat kita mampu bersaing di luar negara. 

Kajian PwC mengatakan bahawa imbangan dagangan akan berkurangan kerana meskipun jumlah ekport meningkat, namun jumlah import akan meningkat pada kadar lebih tinggi. Imbangan dagangan akan menurun sebanyak 4.3-5.2% dalam masa 10 tahun selepas TPPA dilaksanakan. Apa yang lebih penting ialah Malaysia akan terus mendapat lebihan dagangan setelah TPPA dilaksanakan. Kerajaan akau terus berusaha meningkatkan jumlah eksport negara khsusnya melalui inisiatif yang dirangka oleh Majlis Eksport Negara yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri.

Dalam apa jua keputusan ada buruk dan baiknya. Kerajaan buat keputusan berdasarkan buruk baik. Kerajaan berpendapat Malaysia dapart meraih kebaikan dan kita akan ketinggalan sekiranya tidak menyertai pakatan perdangan terbesar ini. 

Ramai mungkin tak nampak feadahnya hari ini tapi saya bimbang ekonomi negara-negara jiran lain yang menyertai TPPA akan menjadi lebih mantap sekiranya kita memilih untuk tidak menyertai TPPA.

Kalau kita pilih untuk menunggu dan masuk kemudian kita mungkin tidak akan dapat pengecualian yang sama dalam isu seperti bumiputera, pensijilan Halal dan lain-lain kelonggaran yang telah dirundingkan. Ini dipanggil first mover’s advantage. Kalau Malaysia menyertai TPPA kemudian perkara yang telah berjaya dirundingkan mungkin tidak akan terpakai lagi


PENUTUP

Tuan Yang DiPertua,

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli Yang Berhormat yang telah banyak memberikan pandangan tentang TPPA sepanjang 5 tahun tempoh rundingan berlangsung. Ucapan terima kasih saya tujukan khusus kepada ahli Kaukus TPP yang diketuai oleh YB Jasin. Banyak isu yang telah dibangkitkan oleh wakil Kerajaan dan Pembangkang, ahli-ahli Yang Berhormat serta rakyat Malaysia yang menyertai ratusan sesi engagement yang diadakan.

Saya ingin menyatakan penghargaan kepada para perunding kita yang diiktiraf negara TPPA lain sebagai berpengalaman dan tegas mempertahankan kedudukan kita dan berjaya merundingkan TPPA atas terma Malaysia.Tahniah kepada pegawai kita, terima kasih kepada Kaukus TPP dan terima kasih rakyat Malaysia. Saya harap semua pihak dapat menilai TPPA secara objektif serta mengambil kira manfaat jangka masa panjang serta peluang yang mungkin terlepas sekiranya kita tidak menyertai perjanjian ini. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka Kerajaan merasakan bahawa penyertaan Malaysia ke dalam TPPA adalah selari dengan kepentingan negara.

Harum sungguh bunga kemboja,
Bunga karangan cantik tersemat,
Janganlah membaca kulit sahaja,
Telitilah kandungan sehingga tamat

Pohon berangan tempat bertemu,
Girangnya rasa si anak dara;
Berbahaslah tuan berbekalkan ilmu,
Binalah bangsa bangunkan negara

Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment