1Harga 1Malaysia - Idea Diluar Kotak


Salam,
Saya perhatikan masih banyak produk di Sabah dan Sarawak yang dijual dengan harga lebih tinggi dari Semenanjung terutamanya barangan dan produk yang diperbuat di Semenanjung. Masih banyak kilang yang mempunyai dua harga, satu untuk Semenanjung Malaysia dan satu lagi untuk Sabah dan Sarawak.

Harga yang lebih tinggi ini sudah tentu membebankan rakyat di Sabah dan Sarawak. Beban ini bertambah berat untuk dipikul kerana pendapatan isi rumah di Sabah dan Sarawak jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan pendapatan isi rumah di Semenanjung.

Ini bermakna rakyat di Sabah dan Sarawak berdepan dengan kesan dua tamparan ekonomi yang hebat.

Tamparan pertama ialah pendapatan yang rendah di Sabah dan Sarawak berbanding dengan Semenanjung dan tamparan kedua ialah kos kehidupan (harga barang) yang tinggi berbanding dengan Semenanjung. Kesan dari satu tamparan pun sudah cukup mencabar, apatah lagi jika terkena kedua-duanya dalam sekali gus!

Apa dasar sedia ada kita masa kini untuk menyelesaikannya?
Satu pendekatan yang kita sering ambil ialah dengan menggalakan penubuhan industri pembuatan di Sabah dan Sarawak itu sendiri. Dengan cara ini, kos pengangkutan tidak terlalu membebankan.

Ini idea yang baik tetapi kita juga tahu implementasinya agak sukar dan memakan masa yang panjang kerana faktor-faktor kos atau "raw materials" yang masih tinggi serta pasaran yang kecil serta modal dan kepakaran usahawan Sabah dan Sarawak yang masih terhad.

Ini menyebabkan usahawan Sabah dan Sarawak tidak mempunyai kelebihan "economies of scale" yang dapat mengurangkan harga barangan mereka.

Pendekatan kedua ialah berusaha untuk menaikkan tahap pendapatan isi rumah rakyat di Sabah dan Sarawak. Saya rasa kaedah penyelesaian ini pun baik namun tidak mungkin dapat dilakukan dalam kadar segera kerana ianya memerlukan tempoh masa yang lama untuk dicapai.

Lalu saya terfikir, apakah ada cara lain untuk kita selesaikan isu ini?
Saya teringat slogan-slogan yang mempunyai logo 1Malaysia. Ia melambangkan saranan kerajaan untuk rakyat bersatu hati dalam apa jua perkara-perkara yang berkait dengan kepentingan rakyat dan negara. Dari situ saya terfikir, bolehlah kita mencari jalan penyelesaian di luar kotak untuk dua tamparan ekonomi ini dengan berlandaskan semangat slogan 1Malaysia?

Bolehkah kita mengujudkan satu mekanisma di mana semua barangan yang dijual di Malaysia mempunyai satu harga sahaja tidak kiralah jika anda membelinya di Kuala Lumpur, di Kuantan, di Kuching, di Kota Bahru atau di Kota Belud, Sabah.

Ramai yang berpandangan ianya sukar untuk dilakukan. Alasan yang selalu diberi ialah faktor kos pengangkutan yang tinggi untuk menghantar produk yang dikilang di Semenanjung ke Sabah dan Sarawak.

Sebelum saya memberi pandangan saya dengan lebih panjang, mari kita lihat apa yang berlaku di Semenanjung sekarang ini.

Hakikatnya, sebuah kilang membuat produk susu formula bayi yang terletak di kawasan perindustrian di Johor Bahru akan menjual susu tersebut kepada pengguna di kawasan Johor Bahru dan pengguna di Kota Bharu, Kelantan pada harga yang sama. Ini kerana "tradisi" menjual pada harga yang sama memang sudah lama dipraktikkan di seluruh Semenanjung.

Apa yang kita boleh pelajari dari contoh ini?
Pertama, pengeluar susu formula itu mempunyai mekanisma penetapan harga sama di bandar-bandar besar di Semenanjung.
Kedua, kos pengangkutan susu formula itu dari Johor Bahru ke Kota Bharu telah diambil kira dalam menentukan harga seragam tersebut.
Ketiga, tanpa disedari, pembeli susu formula di Johor Bahru sebenarnya menanggung sebahagian daripada kos pengangkutan susu tersebut ke Kota Bharu.

Sepatutnya pembeli susu formula di Johor Bahru membelinya pada harga yang lebih murah kerana kos menghantar susu tersebut dari kilang ke kedai runcit taman perumahan mereka di Johor Bahru tidaklah setinggi kos penghantaran ke Kota Bharu yang terletak ratusan kilometer jauhnya dari Johor Bahru.

Ini tidak berlaku kerana pengeluar susu formula itu telah memasukkan kos pengangkutan ke Kota Bahru dalam menetapkan harga yang sama di seluruh Semenanjung termasuk di Johor Bahru.

Kalau ini boleh dilakukan antara Johor Bahru dan Kota Bahru, kenapa ini tidak boleh dilakukan untuk seluruh Malaysia?

Kenapa kita tidak seragamkan harga produk susu formula untuk satu Malaysia?
Kenapa kita biarkan pembeli di Sabah dan Sarawak sahaja menanggung kos pengangkutan susu formula dari Semenanjung sedangkan pendapatan dan kuasa membeli mereka jauh lebih rendah dari pembeli di Semenanjung?

Jawapannya mudah.
Penetapan harga barang yang sama untuk satu Malaysia tidak diwajibkan. Pengeluar susu formula tadi tidak perlu menggunakan mekanisma yang sama untuk penetapan harga seragam bagi Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Sebab itulah pengguna di Sabah dan Sarawak terpaksa menanggung kos pengangkutan itu bersendirian.

Bayangkan kalau ada dasar satu harga untuk satu Malaysia yang diwajibkan. Apa yang berlaku ialah pengilang susu formula itu akan menetapkan satu harga sahaja untuk seluruh Malaysia. Maknanya, pengguna di Semenanjung akan menanggung sebahagian dari kos penghantaran barangan kepada pengguna di Sabah dan Sarawak.

Apakah ini akan membebankan pengguna di Semenanjung dengan harga yang lebih tinggi dan mengakibatkan inflasi di Semenanjung? Mungkin ya, tetapi saya rasa tidaklah sampai memudaratkan mereka.

Pertama, pengguna di Semenanjung berjumlah 23 juta orang sementara di Sabah dan Sarawak hanyalah 6 juta orang sahaja. Lagi pun 23 juta pengguna di Semenanjung mempunyai daya beli yang lebih tinggi daripada pengguna di Sabah dan Sarawak kerana pendapatan mereka lebih tinggi.

Jadi kenaikkan harga barangan untuk menampung sebahagian kos pengangkutan ke Sabah dan Sarawak tidak akan dirasai sangat oleh pembeli di Semenanjung kerana ianya akan diserap oleh pembeli yang ramai dan kuantiti pembelian yang lebih banyak di Semenanjung.

Pendeknya, kenaikan harga yang bakal dipikul oleh pengguna di Semenanjung adalah minima kerana kos itu akan teragih kepada 23 juta pengguna yang membeli lebih banyak kuantiti barangan tersebut berbanding di Sabah dan Sarawak.

Kenapa saya ingin cadangkan idea penyeragaman harga seluruh Malaysia ini?
Pertama kerana kita perlu mencari anjakan baru dalam mengurus ekonomi kita.

Keduanya, idea ini adalah "wow factor" dan "low hanging fruit" yang boleh dilaksanakan dengan cepat dan mampu memberikan impak besar kepada rakyat dan ekonomi tanpa kerajaan perlu menyediakan peruntukan kewangan kerana ianya ditanggung oleh pasaran atau pembeli itu sendiri.

Malah besar kemungkinan kerajaan akan dapat menjimatkan bajet negara kerana subsidi ratusan juta yang kerajaan belanjakan setiap tahun untuk menyeragamkan harga beberapa barang dan produk di sesetengah kawasan di Sabah dan Sarawak akan dibayar oleh pengguna atau pasaran itu sendiri.

Ketiga, pendekatan yang ada sekarang ini (menggalakan pengujudan sektor pembuatan dan penambahan pendapatan isi rumah di Sabah dan Sarawak) akan memakan masa untuk mencapai matlamatnya.

Keempat, dengan ujudnya konsep 1Harga 1Malaysia, bukan sahaja pembeli dari Sabah dan Sarawak yang mendapat manfaatnya. Saya yakin pembeli atau pengguna yang tinggal di kawasan pedalaman Semenanjung juga akan mendapat faedah darinya kerana sekarang ini harga runcit susu formula di kawasan pedalaman Semenanjung lebih tinggi dari bandar-bandar besar di Semenanjung.

Kelima, ini adalah konsep persekutuan (federalisma) yang lebih bermakna. Kalau pendapatan dan hasil sesebuah negeri dikongsi bersama-sama oleh semua penduduk dalam persekutuan, saya rasa tidak salah kalau "keperitan" dan "kesusahan" negeri tersebut dapat dikongsi bersama oleh semua dalam sebuah persekutuan. Kata pepatah Melayu, "berat sama dipikul, ringan sama dijinjing".

Untuk makluman semua, saya sudah membangkitkan isu ini dalam mesyuarat jemaah menteri minggu lepas.

Alhamdulillah, dengan keperhatinan YAB Perdana Menteri, beliau telah mengarahkan satu kajian terperinci dibuat bagi melihat tentang keberkesanan idea 1Harga 1Malaysia ini. Kabinet kemudian telah meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah dipilih untuk menjalankan kajian tersebut.

erima kasih saya ucapkan kepada YAB Perdana Menteri yang bersedia mendengar dan memahami isu yang saya bawa ini. Kita dengan sabar menunggu hasil kajian itu nanti.

Saya berpandangan kita perlu gunakan idea "outside the box" atau pendekatan "unorthodox" bagi menangani sebahagian daripada isu-isu ekonomi dan kos sara hidup di negara kita.

Seperti cogan kata yang tertulis di jata negara, "Bersekutu Bertambah Mutu", saya percaya masanya sudah tiba untuk kita keluar dari ruang keselesaan dan tangani isu ini secara kolektif.

Marilah kita berkongsi kekayaan dan kesusahan, kesenangan dan kesengsaraan bersama-sama dalam satu keluarga persekutuan yang besar bernama Malaysia.

Salam hormat dan terima kasih.
Abdul Rahman Dahlan
Setiausaha Barisan Nasional Negeri Sabah
Merangkap Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia.

No comments:

Post a Comment