Wednesday, October 23, 2013



Dipetik: Majalah Solusi Isu 60
Penulis: Zizi Azlinda Mohd. Yusoff

"Hidup Morsi!"
"Gulingkan Bassyar al-Asad!"
"Stop the war towards Gaza"

Sejak kebelakangan ini, selain maruah Masjid al-Aqsa dipertahankan secara demonstrasi oleh segenap pelosok dunia, Muslim tidak kira lelaki atau wanita, dewasa atau kanak-kanak dengan berani keluar beramai-ramai dan dengan lantangnya bersuara demi menentang kezaliman yang dicetuskan oleh musuh-musuh Islam.

Kebanyakan negara-negara Islam sejak dahulu hingga kini ditindas dan ditekan dengan begitu keji oleh musuh-musuh di seantero benua. Namun, umat Islam tetap bersatu padu dalam satu barisan dan bersuara membantah kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah.


Hukum Demonstrasi

Umumnya, Ketua Ulama Sedunia; Dr. Yusuf al-Qaradawi menyifatkan muzaharat atau demonstrasi hukumnya harus berdasarkan kaedah fiqah, al-asl fil asya' al-ibahah. Semestinya, tujuan demonstrasi yang diizinkan oleh syariat Islam ialah yang menepati syarak seperti menuntut hak atau sebagai reaksi menolak ssuatu perkara dalam politik, ekonomi, hubungan antarabangsa apatah lagi jika demonstrasi tersebut bertujuan untuk memelihara agama.

Beliau mengkategorikan demonstrasi termasuk dalam urusan kehidupan manusia iaitu muamalat. Hukum asalnya harus.

"Maka Dia telah memperincikan kepada kamu apa-apa yang diharamkan kepada kamu." (Surah al-An'am 6:119). Jika dikatakan berdemonstrasi bukan daripada bukan Islam, Profesor Yusuf al-Qaradawi membahaskan bahawa ia tidak boleh disabitkan haram, selagi mana ia perkara yang harus, dan para Muslimin melihatnya sebagai satu perkara yang bermanfaat. Sabda Rasulullah:

"Hikmah itu barang orang Mukmin yang tercicir. Di mana sahaja kamu menjumpainya, maka kamu adalah yang paling berhak ke atasnya." (Riwayat al-Tirmizi)

Contohnya Nabi sendiri yang mengambil manfaat daripada orang bukan Islam. Ketika Perang Khandak, para Muslimin pernah mencedok kaedah menggali lubang di sekeliling Madinah untuk mengelak daripada serangan musyrikin daripada orang Parsi.


Pandangan Ulama Kontemporari

Bagaimana jika para Muslimah turut terlibat dalam demonstrasi? Ayuh kita perhatikan pendapat dua orang ulama kontemporari berkenaan isu ini.

Syeikh Abu Munzir al-Syanqiti
  • Para Muslimah wajib keluar melawan dan mempertahankan diri apabila kaum lelaki Muslim tidak berkemampuan mempertahankannya lagi dan apabila jumlah lelaki tidak mencukupi untuk menentang musuh Islam.
  • Wanita-wanita yang berhadapan dengan darurat dan keperluan, mereka dibolehkan keluar berdemonstrasi tetapi terikat dengan beberapa syarat.
  • Lebih baik jika para wanita diberi tanggungjawab dalam bahagian media penyebaran berita untuk memenangkan hujah pihak yang berdemonstrasi. Kerja-kerja tersebut dilakukan di rumah sahaja kerana lebih sesuai dengan tabiat dan naluri keperempuanan.
Syarat-syarat untuk Muslimah yang akan menyertai demonstrasi:
  1. Wajib mendapat izin suami dan mafsadah (keburukan) yang berlaku memyebabkan wujudnya demonstrasi itu lebih besar dari mafsadah maksiat si suami.
  2. Himpunan demonstrasi tersebut mestilah disertai oleh para wanita kesemuanya ataupun tempat berdemonstrasi tersebut tidak ada percampuran antara lelaki dan wanita ataupun tidak didominasi oleh kaum lelaki sahaja.
  3. Demonstrasi tersebut mestilah diiringi oleh kawalan keselamatan. Jika tiada kawalan tersebut, sebaiknya para wanita berada di rumah.
  4. Wanita yang keluar berdemonstrasi mestilah tidak mendatangkan fitnah kepada dirinya dan agama berdasarkan ayat al-Quran. "Dan mana-mana perempuan tua yang telah putus haid, yang tidak mempunyai harapan berkahwin lagi maka tidak ada salahnya mereka menanggalkan pakaian luarnya, dengan tidak bertujuan mendedahkan perhiasan mereka; dalam pada itu perbuatan mereka menjaga kehormatannya (dengan tidak menanggalkan pakaian luarnya itu adalah) lebih baik bagi mereka; dan Allah Maha mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Nur 24:60)

Dr. Muhammad Syahhat al-Jundi
  • Suara kaum wanita bukan sahaja menjadi penguat semangat sebelum revolusi tetapi kini terutama dalam isu bantahan terhadap penangkapan Dr. Morsi di Mesir, para wanita telah berada dalam demonstrasi.
  • Kaedah am dalam syariat Islam iaitu, "persamaan antara lelaki dan perempuan kecuali dalam hal-hal yang secara jelas ada nas-nas dalam al-Quran dan sunnah".
  • Demonstrasi itu tidak boleh mengakibatkan kemudaratan dan kehancuran harta benda dan jiwa.
Syarat wanita berdemonstrasi:
  1. Memakai pakaian yang menutup aurat dan menepati etika Islam.
  2. Menjaga adab dan akhlak sebagai wanita Muslimah.
  3. Demonstrasi yang disertai mestilah bertujuan baik yang tidak bercanggah dengan syariat Islam seperti menuntut hak dan keadilan ditegakkan.
Memang ada segolongan Ulama yang tidak bersetuju dengan demonstrasi. Apatah lagi jika wanita turut keluar berdemonstrasi. Namun, penulis lebih selesa dan senang dengan hukum harus dalam isu wanita keluar berdemonstrasi seperti yang diterangkan oleh sebahagian ulama di atas kerana berpegang kepada dua kaedah yang sangat penting dalam fiqah dan usul fiqah iaitu:
  1. Kaedah al-maslahah al-mursalah
  2. Kaedah Lil Wasail Hukmul Maqasid

ZIZI AZLINDA MOHD. YUSOF
(Lulusan Sarjana dan Sarjana Muda dalam bidang fiqah dan usul fiqah UIAM)
Mengam kursus bahasa Arab di Kujamma' Syeikh Kiftaro, Abu Nur (Syria)
Dipetik daripada Majalah Solusi
Kerana minat yang mendalam pada Majalah Solusi yang dilihat
bersesuaian dengan semua peringkat umur mahupun latar belakang masyarakat kini,
maka DKM Sabah berminat untuk memetik 1 atau 2 artikel keluaran Solusi
Sebagai usaha dakwah kepada semua masyarakat
Share this Article on :

No comments:

Post a Comment

 

© Copyright DKM SABAH 2010 -2011 | Design by Herdiansyah Hamzah | Published by Borneo Templates | Powered by Blogger.com.