PENCEROBOHAN LAHAD DATU: LAWATAN NAJIB SUNTIK SEMANGAT PERWIRA NEGARA


Sumber: Berita Harian

TAWAU: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di Lapangan Terbang Tawau, Sabah sebentar tadi.
Beliau berada di Sabah bagi memantau Ops Daulat yang dilancarkan anggota keselamatan negara terhadap pengganas Sulu di Lahad Datu.

Kedatangan Perdana Menteri ke lokasi pertempuran adalah bagi menyuntik semangat anggota polis dan tentera yang terbabit dalam operasi berkenaan.

Najib di Sabah hari ini pantau Ops Daulat

Sumber: Berita Harian

LAHAD DATU: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini akan berada di Sabah bagi memantau Ops Daulat yang dilancarkan sejak tiga hari lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kedatangan Perdana Menteri ke lokasi pertempuran adalah bagi memberi semangat kepada anggota polis dan tentera yang terbabit dalam operasi berkenaan.
 "Beliau juga ingin melihat sejauh mana kemudahan logistik dan beberapa peralatan yang digunakan. Selain itu, Perdana Menteri akan meninjau kebajikan anggota keselamatan bagi menyuntik semangat mereka," katanya pada sidang media bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein di sini, sebentar tadi.

Ahmad Zahid berkata, pengalaman Perdana Menteri yang pernah memegang jawatan sebagai Menteri Pertahanan selama 14 tahun adalah alasan terbaik untuk beliau turun ke medan pertempuran.

"Selama memegang jawatan itu juga, beliau pernah turun ke medan perang di Bosnia, melawat anggota tentera kita di Timor Leste, meninjau keadaan askar Batalion Malaysia di Lubnan Selatan dan terakhir, melawat bumi Gaza," katanya.

Ditanya bilakah Perdana Menteri akan berada di Sabah, Ahmad Zahid berkata, "Beliau akan sampai seketika nanti...jam berapa dan di mana beliau mendarat, kita tidak boleh beritahu atas faktor keselamatan."

Bagi mengetahui maklumat dan keadaan terkini mengenai Ops Daulat, Zahid berkata, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengadakan sidang akhbar dari semasa ke semasa yang akan turut disertai Perdana Menteri.

No comments:

Post a Comment