Sekalung ucapan tahniah daripada DKM kepada UPKO, yang mana syor dan cadangan mereka telah diterima. Cadangan yang menyentuh agar agihan kerusi parlimen yang seimbang antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak diambil perhatian serius oleh PSC. Pihak DKM selaku pemerhati politik dan tidak menyertai mana-mana parti politik sehingga ke hari ini, beranggapan bahawa, cadangan yang dikemukakan oleh UPKO merupakan contoh pandangan dan kajian yang baik dalam usaha untuk menambahbaikkan sistem pilihanraya negara kita. Kajian yang lengkap dengan Proposal dan kajian menyeluruh bermula daripada sejarah penubuhan Malaysia dengan membawa masuk Sabah, Sarawak, Singapura dan Brunei, sehinggalah keluarnya Brunei dan Singapura daripada pembentukan Malaysia.

Tambahan dan keseimbangan agihan kerusi antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak merupakan satu platform yang baik bagi memastikan segala dasar yang bakal diputuskan oleh kerajaan pusat kelak mendapat restu dan mandat daripada rakyat Sabah. Keseimbangan agihan kerusi ini juga dapat menjamin agar setiap suara, tuntutan dan kehendak rakyat Sabah dapat disampaikan dan dibahaskan diparlimen, dan sudah tentu ketegasan dan pendirian Sabah akan lebih dipandang serius. 

Secara logikalnya juga, pihak DKM berpendapat bahawa, sebarang usaha untuk menjatuhkan kerajaan yang giat berlaku dan dianjurkan oleh pihak pembangkang tidak akan menganggu-gugat kestabilan politik di sabah dan sarawak. Dengan kata lain, kerajaan tidak akan bubar dan bertukar selagi tidak mendapat mandat daripada Sabah dan Sarawak.

Ini merupakan satu simbolik dan penghargaan yang cukup jelas buat rakyat Sabah. Sekiranya syor ini diluluskan, maka Sabah tidak lagi dipandang sebagai Fix Deposit , tapi sebaliknya akan menjadi penentu samada dasar kerajaan kelak boleh dilaksanakan atau sebaliknya, berdasarkan konsep "majoriti 2/3".