HARIMAU MALAYA TUMPAS LAGI





KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Muda A sekali lagi dirundung duka apabila dibelasah teruk 0-4 kepada Jepun pada perlawanan kelima saingan kumpulan C Kelayakan Olimpik London 2012 bagi Zon Asia yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.
Jepun bermula garang sejak awal babak pertama melakukan beberapa cubaan berbahaya bagi membolosi gawang gol negara yang dikawal rapi oleh Khairul Fahmi Che Mat.

Malaysia hampir memperoleh peluang untuk menjaringkan gol pertama menerusi sepakan percuma pada minit ke-24 namun ia gagal digunakan sepenuhnya oleh Wan Zaharulnizam Wan Zakaria apabila sepak derasnya tersasar.

Jepun yang terus melakukan asakan bertubi-tubi ke gawang gol Malaysia akhirnya berjaya memecah kebuntuan menerusi gol pertama yang dijaringkan oleh Sakai Hiroki pada minit ke-35.


Pemain berusia 22 tahun skuad Samurai biru, Osako Yuya kemudian menyumbang gol kedua hasil tandukan pada minit ke-44.

Pada babak kedua perlawanan, pasukan Jepun mula berpesta gol apabila Haraguchi Gengki menjaringkan gol ketiga pada minit ke-55, diikuti gol keempat oleh Saito Manabu lima minit kemudian.

Jepun dijadual bertemu Bahrain pada 14 Mac depan.

Malaysia kalah kesemua perlawanannya sebelum ini dan berada di tangga tercorot antara empat pasukan dalam kumpulan C.

Kali terakhir skuad bola sepak negara layak ke Olimpik adalah pada tahun 1972 di Munich, Jerman yang ketika itu dikenali Jerman Barat. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment