(Berita Dari Sabah) Tragedi Kereta api



Dipetik daripada Utusan Borneo)

Kota Kinabalu; Sembilan cedera termasuk beberapa parah selepas kereta api yang dinaiki mereka bersama-sama 200 penumpang lain berlanggar dengan sebuah lori yang memuatkan 27,000 liter minyak petrol di jalan Putatan  berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) di sini kelmarin

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, kereta api milik jabatan Keretapi Sabah yang sedang menuju ke Papar dari sini itu dikatakan telah merempuh bahagian belakang lori terbabit yang masuk ke sebuah stesen minyak ke tepi jalan berkenaan. Difahamkan tangki lori minyak yang membawa 27,000 liter petrol terbakar serta merta selepas dirempuh keretapi, sekaligus menyebabkan letupan dan asap hitam tebal menjulang setinggi 30meter.

Malah kepulan asap hitam dari tempat kejadian boleh dilihat dari pusat bandar. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamzah Taib berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan daripada kejadian malang tersebut dan hanya sembilan orang penumpang dilaporkan cedera. Katanya, pemandu lori tangki minyak tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala pemandu keretapi juga terselamat.
"Lori tangki minyak itu dilaporkan cuba melintas laluan keretapi yang terletak berhampiran jalan besar dekat LTAKK bagi menghantar minyak ke sebuah stesen minyak yang juga terletak berhampiran dengan laluan keretapi tersebut. "Namun lori tangki itu dipercayai tidak sempat melintas dan menyebabkan ia dirempuh keretapi yang menuju ke Papar," katanya pada sidang akhbar tergempar di sini, kelmarin.

Sementara itu, Utusan Borneo yang menemui pemandu lori tangki minyak di tempat kejadian berjaya mendapatkan sedikit maklumat, sebelum pemandu lori berusia 40an "disorok" ke dalam stesen minyak bagi dielak daripada ditemuramah. Katanya, dia mendengar bunyi hon yang kuat dan menyangka ia dibunyikan oleh kenderaan dari belakang. Namun setelah menoleh ke kiri, sebuah keretapi menuju ke arahnya dan dia cuba bertindak memecut lori itu untuk melintas laluan keretapi tersebut.

Jelasnya, tindakannya itu tidak berjaya dan menyebabkan bahagian belakang lori tersebut dirempuh oleh keretapi. Kejadian kelmarin turut menyebabkan kesesakan trafik yang sangat teruk sejauh enam kilometer dan jalan dihadapan LTAKK menghala ke Putatan dekat sini juga ditutup bermula pukul 6 petang kelmarin.


Sumber: Utusan Borneo (1 Nov 2011)





No comments:

Post a Comment