Peringatan Keras... 
Artikel ini bukan bertujuan untuk mengAibkan mana-mana sekolah, tapi sekadar meluahkan pandangan peribadi untuk diambil iktibar oleh semua pihak. Apa yang diceritakan adalah dapatan penulis hasil pemerhatian dan pengalaman hidup sendiri. Suka atau tidak, itu terpulang pada penilaian masing-masing. Sekarang bukan lagi masa untuk saling menyalahkan, kerana benda sudah berlaku, apa yang penting adalah mencari kesepakatan dan penyelesaian tuntas menoktahkan kes buli di Sekolah kerana penulis sendiri adalah ayah kepada anak perempuan seusia Allahyarhamah Adik Zara Qairina. #justiceforzara #justice4zara


Pergi JAHANAM Dengan Reputasi Cemerlang..! 

Ini antara kata-kata yang terlintas dibenak fikiranku, kali pertama mendapat perkhabaran bahawa mangsa buli (Allahyarhamah Adik Zara Qairina) dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha (SMKA TDM) telah menghembuskan nafas terakhir pada Khamis (17 Julai 2025). Aku ambil masa seminggu untuk menenangkan fikiran sebelum memberi ulasan berhubung isu ini, kerana aku juga mangsa buli, namun bezanya aku terselamat (aku bukan alumni SKMA TDM). Cerita bagaimana aku terselamat akan aku cerita pada artikel berikutnya.

Sebut saja SMKA Tun Datu Mustapha, cukup gah dan dikenali sebagai salah sebuah sekolah yang merekodkan keputusan cemerlang (Top 10) SPM untuk negeri Sabah. Kes BULI dan REPUTASI sekolah, dua perkara pokok yang saling berkait dan sejujurnya bagi aku, inilah faktor utama mendorong berlakunya kes buli di sekolah. 


Buli Tidak Mengenal Usia
Jika ada yang mengatakan buli hanya melibatkan institusi pendidikan terutama sekolah, anda silap. Buli berlaku di semua peringkat usia dan pekerjaan. Bahkan hidup dalam kejiranan juga berlaku kes buli, bezanya sama ada kita sedar atau tidak dan ambil cakna atau sekadar abaikan kerana tidak memudaratkan diri dan keluarga.

Apa yang menimpa Allahyarhamah Adik Zara Qairina hanya sekelumit kecil daripada sekian banyaknya kes buli melibatkan sekolah cemerlang tidak hanya di negeri Sabah bahkan juga di seluruh negara ketika ini. Kes buli juga wujud di beberapa buah sekolah cemerlang SPM & STPM (Top 10) seluruh Sabah, namun sedihnya kes buli didiamkan oleh pihak sekolah atau mangsa enggan tampil melaporkan kes buli kerana takut dipukul oleh pembuli. Lebih sadis, ada dari kalangan mangsa buli yang melaporkan kejadian buli kepada guru sekolah, namun tiada tindakan diambil, atau tindakan sekadar melepas batuk di tangga. 



Reputasi Sekolah Lebih Utama Berbanding Segalanya
Inilah penyakit kronik yang menjalar dan cenderung membudayai mana-mana sekolah cemerlang di seluruh negara. Demi menjaga reputasi dan nama baik sebagai sekolah cemerlang, budaya buli dan gangsterisme dalam sekolah didiamkan. Enggan nama baik dan reputasi selaku sekolah yang berjaya melahirkan ramai pelajar cemerlang tercalar, menyebabkan budaya buli subur di persekitaran sekolah tanpa ada tindakan tegas daripada guru mahupun pentadbir sekolah. 

Akhirnya apa yang menimpa Allahyarhamah Adik Zara Qairina telah membuka mata ramai pihak, bahawa buli tidak hanya melibatkan kecederaan mental dan fizikal, lebih dari itu mengundang kepada insiden luar jangka seperti kematian. Siapa menyangka sekolah cemerlang akademik juga berupaya melahirkan bakal pembunuh cemerlang, tidak hanya mendapat pembelaan (pembelaan daripada keluarga si pembuli) bahkan berkemungkinan besar hukuman yang diterima dianggap tidak setimpal dengan kesalahan yang mereka lakukan mengambil kira konteks pelaku atau pembuli masih di bawah umur.

Pernahkah anda berfikir sejenak, bagaimana keadaannya apabila pembuli memasuki alam pekerjaan? atau mungkin menjadi seorang pendidik? atau mungkin guru Taska atau pusat asuhan kanak-kanak?


Kes Buli Kedua Berakhir Dengan Kematian 
Untuk rekod, ini merupakan insiden buli kedua di negeri Sabah yang berakhir dengan kematian bagi tempoh kurang dua (2) tahun. Terdahulu seramai 13 pelajar lelaki berusia antara 16 hingga 19 tahun didakwa membunuh Mohamad Nazmie Aizzat, 17, di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam 21 Mac 2024 hingga 7.38 pagi 22 Mac 2024. Kes ini sedang berjalan dan semalam (23 Julai 2025), keputusan kes yang sepatutnya diumumkan oleh Mahkamah Tinggi Tawau ditangguhkan sekali lagi kepada 28 Ogos 2025, dan ini merupakan penangguhan kali ketiga (3). Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.


Semua pihak harus berganding bahu memerangi dan menoktahkan budaya buli di sekolah. Pihak sekolah terutama Pengetua perlu bertanggungjawab sepenuhnya. Menyembunyikan kejadian buli yang berlaku di sekolah demi menjaga nama baik dan reputasi selaku antara sekolah cemerlang harus dinyahkan dari kawasan sekolah, kerana apa yang seharusnya menjadi objektif dan pembudayaan sekolah adalah melahirkan modal insan berkualiti dan memiliki akhlak dan sahsiah terpuji. 

Sekarang terserah kepada pihak pengurusan dan warga pendidik khususnya sekolah cemerlang yang terpaling menjaga reputasi sekolah, sama ada untuk kekal dengan sikap mendiamkan dan menyembunyikan kes buli yang wujud di sekolah masing-masing atau mengambil langkah sewajarnya. Jika sekolah-sekolah cemerlang kekal dengan sikap mendiamkan kes buli demi menjaga reputasi sekolah, maka sekolah berkenaan dalam persiapan melahirkan seorang lagi bakal pembunuh di masa hadapan. 

Makanlah reputasi cemerlang yang kamu bangga-banggakan sangat, kerana hakikatnya kamu sendiri secara tidak langsung kini bertindak sebagai agen melahirkan pembunuh. Demi memelihara reputasi sekolah, kamu mendiamkan kes buli. Berbahagialah dengan tindakan BODOH kamu selaku pihak yang diberikan amanah oleh ibubapa pelajar, kerana kamu kini berhutang nyawa. Di dunia kamu mungkin terlepas dan hanya menerima hukuman yang tidak sepadan dengan penyiksaan dan kesakitan yang dialami oleh mangsa buli, namun yakinlah setiap dari kita tidak akan terselamat dari pengadilanNya di sana nanti.

Ingat...!

PemBULI... berhutang nyawa
Mendiamkan kes BULI... berhutang nyawa
Pendidik dan guru yang menyembunyikan kes BULI demi reputasi sekolah... juga berhutang nyawa

Kifarah itu pasti, jika tidak berlaku kepada si pelaku, mungkin kepada keturunannya atau warga pentadbir dan pendidik yang mendiamkan dan menyembunyikan kes buli di sekolah masing-masing. 

Bertindak sekarang sebelum ada lagi yang bakal menjadi mangsa. 

Tidak perlu MALU pada apa yang berlaku ketika ini jika ada usaha untuk memperbetulkan dan memperbaiki keadaan sekarang untuk generasi pewaris bangsa pada masa akan datang. Yang seharusnya MALU adalah mereka yang berusaha sehabis mungkin untuk menyembunyikan KES BULI seterusnya melahirkan GENERASI PEMBUNUH di masa hadapan. 


https://picasion.com/


RUJUKAN

FB Marhamah Rosli (Sreenshoot) Teks WhatsApp (1)

FB Marhamah Rosli (Sreenshoot) Teks WhatsApp (2)



Keputusan SPM
Sabah Info; Keputusan SPM 2021