Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang ada ketika ini asalnya dianggotai oleh lima (5) parti komponen iaitu PPBM/PGRS, PBS, STAR, USNO dan SAPP. Keanggotaan parti bertambah dengan kemasukan PHRS dan LDP (05 April 2023) serta PCS (22 Mei 2024), pasca PRN-16. Menyentuh soal hubungan diantara kepimpinan tertinggi parti komponen dalam GRS, meskipun di luar gabungan ini tampak harmoni, namun hakikatnya hanyalah indah khabar dari rupa, khususnya melibatkan dua parti komponen GRS yang diibaratkan sebagai anak tiri dan anak pungut.

PGRS “Abang Besar”
GRS ketika ini diketuai oleh DS. Hajiji Noor selaku Presiden PGRS dan menjadi parti dominan (27 kerusi termasuk 2 Adun dilantik) diikuti PBS (7), STAR (6), SAPP (1 Adun dilantik) dan USNO tidak memiliki sebarang kerusi. PGRS yang selaku parti dominan ditambah dengan barisan Adun yang majoritinya bekas ahli UMNO, dilihat sukar untuk lekang dengan budaya Abang Besar yang masih menebal dan terus menjalar dalam PGRS ketika ini. Maka tidak hairanlan jika puncak kekuasaan gabungan dan kepimpinan negeri diketuai oleh presiden PGRS dan portfolio penting serta strategik kebanyakannya disandang oleh Adun PGRS dan Adun UMNO yang pro Hajiji. 

PBS “Anak Emas Yang Nazak”
Kedudukan PBS selaku anak emas dalam GRS terlihat jelas dalam kabinet negeri apabila portfolio strategik disandang oleh sebilangan besar pemimpin atau Adun PBS misalnya portfolio Kerajaan Tempatan dan Perumahan (Datuk Dr. Joachim Gunsalam) serta portfolio Luar Bandar (Datuk Jahid Jahim). Lebih Istimewa, sebarang keinginan yang diajukan oleh kepimpinan PBS akan dituruti tanpa perlu dibahaskan. Misalnya, cadangan untuk mewujudkan Unit Media GRS atau Komunikasi Strategik GRS, telah dipersetujui sepenuhnya oleh DS. Hajiji Noor termasuk soal lantikan AJK dan Bajet pada mesyuarat AMT GRS (Mesyuarat AMT GRS 2023 – Bilik Kinabalu 2, SICC KK). 

Rekod cemerlang PBS ketika PRN-16 lalu yang memenangi tujuh (7) kerusi DUN (N.05 Matunggong, N.07 Tandek, N.14 Tamparuli, N.15 Kiulu, N.34 Lumadan, N.36 Kundasang dan N.47 Telupid) gagal diulangi ketika PRU-14, apabila PBS yang diperuntukkan empat (4) kerusi Parlimen (P.168 Kota Marudi, P.170 Tuaran, P.172 Kota Kinabalu dan P.190 Tawau). PBS tewas di tiga (3) kerusi (P.168 Kota Marudu, P.170 Tuaran dan P.172 Kota Kinabalu) dan hanya menang di P.190 Tawau (Lo Su Fui - Majoriti 3,800). Meskipun berstatus anak emas dalam GRS, namun PBS tidak terlepas daripada tindakan sabotaj jentera PGRS khususnya di Kota Marudu dan Tuaran. Kekalahan PBS di Parlimen Tuaran yang juga kawasan Ketua Menteri Sabah telah DKMSabah ulas dengan panjang lebar menerusi artikel bertajuk "Konspirasi Kekalahan PBS Di Parlimen P.170 Tuaran PRU-15".


STAR “Anak Tiri Yang Semakin Berpengaruh”
Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) adalah parti yang dilayan seperti anak tiri dalam GRS dan ini terlihat jelas bukan hanya dalam struktur kepimpinan GRS bahkan juga portfolio yang disandang oleh adun STAR. Tidak seperti PGRS dan PBS yang diberi portfolio strategik dalam kabinet negeri, DDJK (DSP Dr. Jeffrey Kitingan) selaku Presiden STAR sendiri hanya diberi portfolio Pertanian dan Perikanan. Maka tidak hairanlah jika parti ini terlalu sukar untuk mendapatkan projek berskala besar sebagai dana tambahan untuk pengurusan parti. Kesannya, Projek Menambahbaik lima tandas awam di KKIA bernilai RM2.5juta yang dianugerahkan kepada syarikat daripada semenanjung Malaysia turut dipersoalkan oleh pemimpin STAR. 

Agihan kerusi juga memperlihatkan dengan jelas layanan dua darjat GRS terhadap PBS yang diperuntukkan empat (4) kerusi berbanding STAR yang hanya memperoleh dua (2) kerusi. Lebih perit, STAR dinafikan hak untuk melobi kerusi P.182 Pensiangan yang merupakan kerusi selamat STAR. Ketiga-tiga kerusi Dun dalam parlimen Pensingan dimenangi oleh calon GRS menerusi STAR (N.44 Tulid & N.45 Sook) sementara dun N.46 Nabawan dimenangi PPBM/PGRS menerusi Datuk Ghani Yassin. Meskipun kerusi P.182 Pensiangan telah dijanjikan kepada STAR oleh Datuk Seri Hamzah, namun tidak diendahkan oleh DS. Hajiji Noor kerana risau akan kekuatan STAR yang semakin mengukuh khususnya di kawasan pedalaman Sabah. Sebagai Ganti, STAR diberikan kerusi berstatus hitam (P.174 Penampang) dan kekecewaan terpampang jelas di kalangan pemimpin STAR khususnya Datuk Ellron Angin (Adun N.45 Sook & Menteri KBS Sabah).

USNO “Anak Pungut Yang Bercita-cita Tinggi”
Tidak seperti parti komponen GRS ketika PRN-16 lalu (PPBM, PBS, STAR dan SAPP) yang bertanding selaku komponen Perikatan Nasional (PN), USNO ketika itu memilih untuk bertanding secara solo. USNO telah meletakkan 47 calon bertanding dengan Tan Sri Pandikar Amin Mulia turut bertanding di kerusi N.08 Pintasan melawan lima (5) calon lain termasuk daripada PN (Fairuz Renddan) dan WarisanPlus (Mohd Safian), namun TS. Pandikar Amin yang memperoleh 2,660 undi tewas dengan majoriti 84 undi. 

Berbeza dengan parti SAPP pimpinan DSP Yong Teck Lee, USNO sebagai salah sebuah parti komponen terawal yang menganggotai GRS, tidak diberikan sebarang kouta Adun dilantik. Adun dilantik ketika ini dimiliki oleh PGRS-2 (Datuk Amisah Yassin dan Datuk Jaffari walliam), UMNO-2 (Datuk Raimie Unggi dan Datuk Suhaimi Nasir), SAPP-1 (DSP Yong Teck Lee) dan PAS-1 (Datuk Dr. Aliakbar Gulasan). Lebih memeritkan buat USNO, apabila parti berkenaan tidak diperuntukkan sebarang kerusi ketika PRU-15 lalu, menyaksikan USNO menjadi satu-satunya komponen GRS yang tidak bertanding ketika itu. SAPP lebih bernasib baik, apabila diberikan kerusi berstatus hitam (P.186 Sandakan).

Suara Tan Sri Pandikar dalam menuntut kerusi N.08 Pintasan telah diketahui umum dan tanpa berahsia ketika Majlis Perasmian Ibu Pejabat USNO, beliau secara terbuka menyuarakan hasrat untuk bertanding di kerusi N.08 Pintasan pada PRN-17. Kelantangan dan ketegasan USNO dalam menegur kepimpinan GRS yang seakan menyimpang dari agenda penubuhan asal gabungan itu, tidak diterima oleh sebilangan besar kepimpinan PGRS. Dibalik kritikan dan tohmahan bertali arus yang diterima oleh Pandikar Amin, DDJK menjadi Presiden parti komponen GRS pertama yang tampil menyokong pandangan dan persoalan yang dikeutarakan oleh Pandikar Amin.


RUMUSAN
Tidak dinafikan bahawa PGRS menjadi Abang Besar dalam GRS ketika ini. DNA yang diwarisi daripada UMNO suatu ketika dahulu, menjalar subur dalam kepimpinan PGRS yang menerajui tampuk kepimpinan negeri amnya dan GRS khasnya. Meskipun pelbagai usaha digerakkan untuk melemahkan parti yang diumpamakan sebagai anak tiri (STAR) dan anak pungut (USNO), namun ia berdepan jalan buntu. Malah GRS ketika ini berada di persimpangan dilema sama ada untuk mengekalkan sentiment Parti Tempatan atau sekali lagi terpaksa bekerjasama dengan parti daripada Semenanjung. 

"Rumah kita, kitalah tuannya. Rumah kita, kitalah penentu menu dan resipinya. Rumah kita, kitalah yang jaga!"
Persidangan Agung Tahunan PGRS (Gagasan Rakyat)
14 November 2023, SICC Kota Kinabalu

Kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang cuba dipertahankan sehingga PRN-17 kelak, dilihat sebagai pendekatan yang mencalar imej GRS yang sebelum ini memainkan sentiment “rumah kita, kita jaga” sebagai simbol membangkitkan kembali perjuangan parti tempatan. Hakikat yang nyata, GRS tersepit antara kelangsungan Kerajaan negeri ketika ini dengan agenda kenegerian yang semakin memuncak.


HM @ DKMSabah
Mantan Pem. Pegawai Penerangan (S.29), Caw. Siasah & Pengurusan Isu (CSPI), JASA Sabah (2010-2018)
Mantan Penganalisa ‘Unit Data Analisa’ Ibupejabat PPBM Alamesra PRN-16 (2020)
Mantan Penganalisa ‘Unit Data Analisa’ Ibupejabat PPBM Alamesra PRU-15 (2022)


https://picasion.com/

RUJUKAN:

Astro Awani (05 Apr 2023); LDP, PHRS kini komponen GRS – Masidi.

Sinar Harian (22 Mei 2024); PCS Diterima Sertai GRS.

Laman Rasmi Kerajaan Negeri Sabah (05 Mei 2025); Kabinet Negeri Sabah 2025.

Minit Mesyuarat AMT GRS 2023, Bilik Kinabalu 2, SICC Kota Kinabalu, Sabah.




Sinar Harian (20 Okt 2022); STAR tuntut kerusi Parlimen Pensiangan.

Daily Express (01 May 2025); ‘Tinggalkan GRS jika tak puas hati’


FB Jeffrey G. Kitingan (05 May 2025); Pandikar Ada Benarnya – GRS Perlu Kembali Ke Landasan.

Daily Express (07 May 2025); Pulihkan ketertiban dan integriti: Jeffrey.



https://picasion.com/

#SEO #DigitalMarketing #SocialMedia #ContentCreation #MarketingTips #OnlinePresence #SearchEngineOptimization #VideoMarketing #InstaMarketing #BrandGrowth #MarketingStrategy #ContentMarketing #EngagementBoost #LocalSEO #WebsiteTraffic #ViralContent #SocialMediaStrategy #GrowthHacking #BusinessTips