Sumber: Portal JKJAV

Program Vaksinasi/ Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang bermula pada 24 Februari 2021 dengan Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech, menjadi sebahagian daripada usaha kerajaan dalam membendung penularan Covid-19 di Malaysia. Kes jangkitan harian sehingga 13 Jun 2021 sebanyak 5,304 kes menunjukkan trend penurunan berbanding kes jangkitan tertinggi yang pernah dilaporkan iaitu sebanyak 8,209 kes (3 Jun 2021), namun kes jangkitan ini masih dianggap tinggi sejak tercetusnya gelombang ketiga selepas PRN-16 Sabah (26 September 2020).

Sementara itu, Sabah yang turut tidak terkecuali daripada PICK turut melancarkan Program Imunisasi Covid-19 Sabah pada 4 Mac 2021 dengan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menjadi individu pertama di Sabah menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech.

Sejak pelancaran pendaftaran vaksin atas talian menerusi Aplikasi MySejahtera pada penghujung Januari 2021, sehingga ke hari ini jumlah rakyat Malaysia yang telah mendaftar adalah seramai 13,789,736 (14 Jun 2021) dan seramai 3,132,304 sudah diVaksinasi. Sabah menjadi negeri tercorot pendaftaran Vaksinasi dengan hanya seramai 670,282 (22.86%) daripada jumlah populasi Sabah (2,932,700 orang) yang berumur 18 tahun ke atas telah mendaftar, manakala yang telah divaksinasi pula adalah seramai 243,973 orang (8.32%). Tindakan drastik daripada kerajaan negeri Sabah amat ditagih dalam menjayakan Sasaran Imuniti Kelompok (80% populasi divaksinasi).

Antara isu dan persoalan yang perlu PERHATIAN oleh kerajaan negeri adalah;

1. Apakah strategi untuk meningkatkan proses pendaftaran di negeri Sabah yang pada ketika ini pada kadar yang sangat rendah? (19.6% = 573,326 orang daripada 2,932,700 populasi di atas 18 tahun.

2. Berapakah jumlah dos vaksin yang tersedia pada ketika ini? Apakah strategi kerajaan untuk memastikan bekalan vaksin di negeri ini mencukupi?

3. Apa strategi khusus kerajaan negeri untuk mempercepatkan dan mempertingkatkan proses pendaftaran vaksinasi di luar bandar khsususnya kawasan yang kekurangan akses telekomunikasi terutamanya internet?

4. Apa pendekatan yang akan digunapakai oleh Kerajaan dalam memastikan masyarakat pedalaman khususnya di kawasan-kawasan terpencil yang tidak dapat dihubungi melalui jalan darat, akan menerima vaksin?

5. Bagi Kawasan pedalaman yang menghadapi masalah pengangkutan, akses internet dan tidak dapat dihubungi menerusi jalan darat, adakah kerajaan mempunyai cadangan daftar dan terima vaksin pada hari yang sama? Ini bagi meminimumkan pergerakan penduduk pendalaman untuk hadir menerima vaksin sekiranya dilakukan pada hari yang berlainan.

6. Golongan miskin, warga emas, OKU antara yang sukar untuk mendaftar dan hadir ke pusat vaksinasi – adakah kerajaan mempunyai rancangan untuk menggerakkan kelengkapan logistik dan aset kerajaan untuk menghantar pergi dan balik golongan ini dari rumah ke PPV?

7. Rakyat Sabah masih takut untuk menerima suntikan vaksin Covid-19. Apa strategi kerajaan untuk meningkatkan kesedaran dan keyakinan rakyat Sabah untuk mengambil vaksin?

8. Penerima vaksin di kawasan PKPD, adakah penerima vaksin akan diberi kebenaran untuk hadir ke PPV bagi menerima suntikan vaksin?

9. Berapa kapasiti penerima suntikan harian yang boleh ditampung oleh seluruh PPV di Sabah pada ketika ini? Bagi mempercepatkan proses vaksinasi, apakah strategi kerajaan untuk menangani isu ini?

10. Berapa banyak pusat vaksin yang ada sekarang dan berapa banyak pusat vaksin baru akan dibuka?

11. Adakah klinik swasta dibenarkan untuk menjadi pusat vaksinasi di negeri Sabah? Sekiranya YA, berapa buah klinik dan berapa kapasiti penerima suntikan harian?

12. Adakah kerajaan mengambil kira data jumlah pendaftaran penerima vaksin dengan penyediaan bekalan vaksin / pembukaan pusat vaksinasi? Sekiranya YA, apa strategi kerajaan untuk menjelaskan kepada rakyat pentingnya mendaftar sebagai penerima vaksin?


Berikut antara CADANGAN yang mungkin boleh dipertimbangkang oleh kerajaan negeri dalam menggalakkan rakyat mendaftar dan mencapai imuniti kelompok 80%;

    Segerakan pemberian Vaksin kepada individu yang telah mendaftar samaada menerusi Aplikasi MySejahtera, Portal JKJAV dan secara manual (talian hotline, hadir ke fasiliti kesihatan kerajaan/ swasta atau menerusi program bantuan bagi masyarakat luar bandar).

    Tingkatkan jumlah penerima vaksin harian khususnya di kawasan bandar yang menjadi tumpuan sektor ekonomi. Ini adalah bagi memastikan sektor ekonomi dapat beroperasi seperti biasa tanpa perlu melanjutkan PKP untuk suatu tempoh masa yang Panjang. Pelanjutan tempoh PKP untuk jangka masa Panjang tidak hanya melumpuhkan sektor ekonomi, tapi lebih daripada itu menyababkan lebih banyak sektor perniagaan berisiko gulung tikar.

    Libatkan seluruh agensi kerajaan Pusat dan Negeri dalam menggalakkan pendaftaran vaksin di kalangan rakyat. Penglibatan daripada seluruh rakyat dan ahli politik tanpa mengira ideologi dan fahaman politik akan dapat membantu mencapai sasaran 80% imuniti kelompok.

    Perbanyakkan program dan hebahan berbentuk kesedaran berhubung perlunya kepada mencapai sasaran imuniti kelompok 80%. Masyarakat pedalaman khususnya tidak melihat pemberian vaksin sebagai sesuatu yang perlu dalam mengekang penularan covid-19 dalam komuniti. Ini diburukkan lagi dengan liputan jalur lebar yang terhad menyebabkan rakyat tidak berminat dan mengabaikan pendaftaran vaksinasi.

    Tindakan tegas terhadap individu dan pihak anti vaksin yang menakut-nakutkan serta menghasut rakyat untuk tidak mengambil suntikan Vaksin, menjadi antara punca utama empat negeri di Malaysia merekodkan pendaftaran vaksin terendah di Malaysia (Terengganu, Kelantan, Kedah dan Sabah). Tindakan tegas kerajaan ke atas individu yang menghasut rakyat daripada menerima suntikan vaksin adalah perlu dalam usaha kerajaan merealisasikan imuniti kelompok 80% seterusnya rakyat dan sektor ekonomi dapat kembali seperti sediakala.

    Terdapat juga cadangan pemberian wang saguhati kepada masyarakat di kawasan pedalaman yang telah mendaftar dan hadir menerima vaksin ke PPV. Perlu diingat, ramai daripada masyarakat pedalaman khusunya di kawasan-kawasan yang sukar dihubungi dengan akses jalan darat, mengabaikan keperluan untuk menerima vaksin atas faktor kewangan dan desakan hidup. Malah kos untuk hadir ke PPV juga menjadi faktor penolak untuk mereka mendaftar dan menerima vaksin. Selain daripada cadangan agar kerajaan menggerakkan sepenuhnya agensi dan logistik milik kerajaaan Pusat dan Negeri ke kawasan-kawasan pedalaman, inisiatif pemberian wang saku antara langkah yang boleh dipertimbangkan, mengambil kira faktor geografi dan ekonomi penduduk di kawasan luar bandar yang rata-ratanya terdiri daripada golongan petani. Selain itu, pemberian Bakul Makanan juga boleh dipertimbangkan sebagai penarik untuk masyarakat pedalaman mendaftar sebagai penerima vaksin dan hadir ke PPV.

    Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) tidak akan mencapai sasaran 80% imuniti kelopok jika semua pihak tidak bekerjasama. Seluruh rakyat tanpa mengira fahaman politik seharusnya berganding bahu dan bekerjasama dalam merealisasikan sasaran 80% imuniti kelompok, agar rakyat di seluruh negara dapat hidup dan menjalani aktiviti harian seperti sediakala.