Lebih banyak PPV dibuka bagi meningkatkan lagi proses vaksinasi


SIARAN MEDIA
15 JUN, 2021

KOTA KINABALU: Usaha kerajaan negeri memperhebatkan pelbagai strategi termasuk membuka lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) dan pendaftaran jangkau luar komuniti, dijangka meningkatkan jumlah penduduk yang akan menerima vaksin COVID-19 di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor.

Setakat 13 Jun 2021, katanya seramai 249,945 atau 8.5 peratus daripada 2,932,700 penduduk Sabah yang disasarkan, telah menerima dos pertama vaksin, sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dilancarkan pada 26 Februari lalu.

Hajiji berkata kadar semasa penerima vaksin adalah 13,000 sehari. Bermula 1 Julai 2021, kadar vaksin harian yang disasarkan adalah 30,000 orang sehari.

"Pelbagai usaha sedang dilakukan untuk meningkatkan jumlah penduduk menerima vaksin seperti membuka lebih banyak PPV. Ini termasuklah PPV Wisma Wanita, iaitu salah satu daripada 16 PPV awam yang dibuka pada bulan ini,” katanya sempena lawatan ke PPV Wisma Wanita, di sini hari ini.

Ketika ini, sebanyak 72 fasiliti kesihatan dan 23 PPV awam beroperasi bagi membantu program imunisasi yang sedang giat dilaksanakan serta mula diperluaskan kepada penduduk Sabah berumur 18 tahun ke atas.

Dengan kapasiti 400 orang setiap hari, PPV Wisma Wanita mula beroperasi pada 14 Jun, yang digunakan untuk pemberian vaksin kepada penjawat awam negeri dan Persekutuan yang bertugas di Kota Kinabalu serta kepada penduduk setempat.

Keutamaan akan diberikan kepada kakitangan perkhidmatan awam yang sentiasa berada di lapangan dan bertemu orang ramai seperti pemandu, penghantar barang, pegawai kaunter dan anggota polis, Jabatan Air, Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendidikan.

Seramai 20,549 penjawat awam negeri di seluruh Sabah manakala 107,172 pula adalah penjawat awam Persekutuan. Bagi penjawat awam yang bertugas di daerah, mereka akan menerima vaksin di PPV sedia ada di kawasan masing-masing.

Hajiji berkata, Universiti Malaysia Sabah (UMS) juga telah membuka PPVnya dengan kapasiti 1,000 orang setiap hari mulai 14 Jun, untuk memenuhi keperluan pensyarah dan pelajar universiti serta penduduk berhampiran.

Beberapa PPV awam lain akan mula beroperasi pada bulan ini antaranya PPV Dewan Masyarakat Menggatal, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Dewan Serbaguna Libaran, Dewan Institut Pendidikan Guru (IPG) Balung, di Tawau.

Beliau berkata, kerajaan negeri amat menghargai penglibatan pihak swasta dalam PICK Sabah dengan membenarkan fasiliti dan kakitangan mereka digunakan untuk program berkenaan.

“Bermula bulan Jun, Hospital Gleneagles dan Rafflesia Medical Center dan 36 buah klinik swasta juga terlibat dalam memberi vaksin kepada penduduk di negeri ini. Pengurusan Pacific Sutera juga telah membenarkan penggunaan fasiliti hotel untuk dijadikan PPV dan sebagai CSR (tanggungjawab sosial korporal) mereka.

"Kerajaan negeri merakamkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan kerana memasukkan Sabah dalam pelaksanaan Program Imunisasi Industri COVID19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) dalam Fasa 4 yang akan bermula Julai ini,” katanya.

SICC berkapasiti 3,500 orang sehari, akan dijadikan sebagai PPV bagi PIKAS di Sabah untuk pemberian vaksin kepada pekerja industri, kilang dan perkhidmatan ekonomi (economic services) yang lain. PPV SICC berkapasiti 3,500 orang sehari. 

Ketua Menteri berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah telah memulakan Program Bergerak (mobile outreach) ke pedalaman melibatkan 26 pasukan iaitu satu pasukan untuk satu daerah, bermula 18 Mei 2021.

Turut membantu ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menghantar pasukan perubatannya untuk memberi vaksin kepada penduduk di pedalaman negeri ini menerusi Program Jiwa Murni. Lokasi pertama untuk program ini akan diadakan di Long Pasia. 

Beliau turut merakamkan terima kasih kepada Persatuan Pacuan Empat Roda (4WD) kerana membantu membawa vaksin dan pegawai perubatan ke kawasan pedalaman di negeri ini.

Mengenai pendaftaran penerima vaksin, Hajiji berkata seramai 670.282 orang atau 22.9 peratus penduduk di Sabah telah mendaftar untuk vaksinasi setakat 13 Jun 2021.

Program Jangkau Luar Komuniti untuk mendaftar penduduk sebagai penerima vaksin COVID-19 diketuai oleh Jabatan Penerangan Sabah bersama jabatan/agensi Negeri dan Persekutuan telah digerakkan dan dipertingkatkan, bagi memastikan lebih ramai penduduk pedalaman, mendaftar. 

Mengenai bekalan vaksin ke Sabah, beliau berkata bekalan vaksin akan diterima setiap minggu dan mengikut perancangan, pada bulan ini. 

“Sabah akan menerima lebih banyak bekalan vaksin pada bulan Julai dan seterusnya,” katanya sambil menambah jenis bekalan vaksin ke Sabah adalah Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca, setakat ini.

Katanya, kerajaan negeri yakin program imunisasi di Sabah akan mencapai matlamat imuniti berkelompok mengikut jadual yang ditetapkan, dengan pelbagai usaha diambil termasuk penyediaan vaksin yang konsisten.

“Kita berharap imuniti berkelompok dapat dicapai pada akhir tahun ini sekali gus mengekang penularan COVID-19. Sentiasa patuh SOP, amalkan gaya hidup sihat dan lindung diri dan keluarga,” katanya sambil mengulangi seruannya agar semua rakyat di negeri ini segera mendaftar diri sebagai penerima vaksin. 


No comments:

Post a Comment