PAPAGOMO


Kenapa UMNO perlu memilih jalan sukar dan perlu merisikokan bangsa Melayu dengan menolak penyatuan ummah antara parti parti politik Melayu?

Itu persoalan Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris.

Menurutnya, parti itu perlu mengambil iktibar apa yang berlaku pada tahun 1999 yang mana orang Melayu ada pilihan lain selain UMNO dan ketika itu parti itu hilang kuasa.

“UMNO perlu ambil iktibar dari apa yang telah berlaku pada PRU10 tahun 1999. Pada tahun itu jika tidak kerana undi kaum bukan Melayu dan juga Bumiputera Sabah Sarawak sudah pasti UMNO BN hilang kuasa kepada Barisan Alternatif.

Fakta nya jelas, pada pilihanraya tahun 1999 daripada 193 kerusi Parlimen yang dipertandingkan BN (Barisan Nasional) telah memenangi 148 kerusi Parlimen.

“Pilihan raya 1999 telah menunjukkan bahawa BN tidak boleh beranggapan bahawa UMNO akan selalu menang. Sokongan Melayu untuk UMNO tidak terjamin dan kejayaannya dalam pilihan raya ini adalah disebabkan oleh undi-undi pengundi bukan Melayu serta sokongan yang kuat daripada negeri Sabah dan Sarawak.

“Apakah kita ahli dan pemimpin parti UMNO masih merasakan kita kuat dan akan dipilih rakyat pada pilihanraya akan datang?” soalnya yang dikenali Papagomo dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Wan Muhammad Azri, UMNO kena ingat rakan komponen UMNO yang telah membantu menyelamatkan kita pada PRU 1999 juga telah kalah teruk dan lari meninggalkan UMNO pada PRU 2018.

“Hari ini UMNO bukan seperti dulu boleh mengharapkan undi orang Melayu apatah lagi mengharapkan undi bukan Melayu. Jangan diharap undi kaum lain jika undi Melayu itu sendiri telah berpecah dan telah terbukti DAP telah menjadi pilihan kaum bukan Melayu sejak 2008 lagi dan kemuncak nya pada pilihanraya ke 13 tahun 2013.

“Jadi apa pilihan yang UMNO ada hari ini? Mahu Muafakat Nasional bersama Pas dan tolak kerjasama dengan PPBM? Bagaimana mahu MN jika dalam masa yang sama Pas memberikan jawapan yang parti mereka mahu bersama UMNO dan PPBM (Bersatu)?” soalnya lagi.

Pas menurutnya dengan tegas tidak mahu bersekongkol dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana sudah serik namun bagi UMNO ada pimpinan mahu parti bersendirian dan bekerjasama dengan siapa sahaja termasuk dengan DAP.

Justeru, menurutnya, tempoh darurat adalah masa terbaik untuk parti mengukuhkan parti serta menggunakan peluang kepada pengundi Melayu agar mereka melihat UMNO parti rakyat dan perjuangannya untuk membela kebajikan Rakyat dan memakmurkan ekonomi negara.

“Kalau bukan kita siapa lagi? Kalau bukan sekarang bila lagi? Saya tidak mahu esok UMNO hanya tinggal sejarah dek kerana sikap sombong, bongkak dan angkuh nya kita di mata orang Melayu,” katanya.- MalaysiaGazette