Tolak Gelaran Datuk

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar bukan nama asing. Beliau muda, rajin bekerja serta bijak. Bagaimanapun, di sebalik itu semua, Khairy tetap tidak terlepas daripada menjadi bahan cemuhan netizen atas pelbagai isu berbangkit daripada pegawai kanan di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) diseret ke mahkamah kerana didakwa menyeleweng lebih RM30 juta hingga isu hadiah RM10 untuk pemenang perlumbaan basikal.

Walaupun diserang kiri dan kanan, Khairy tetap tenang menjawab semua isu dilontar. Pada Kafe Ahad kali ini, Penulis Khas Harian Metro Nazarali Saeril dan Meor Riduwan Meor Ahmad berpeluang menyelami isi hati Ahli Parlimen Rembau itu dalam berdepan semua isu terbabit.


Yang Berhormat (YB) kerap menyertai acara sukan. Apa yang mahu dibuktikan kepada orang ramai?

Apabila kita menyertai acara sukan mencabar seperti triathlon Ironman yang membabitkan kita berenang, berlari separuh maraton, ia bukan hanya cabaran fizikal, tetapi cabaran minda. Jadi di situ, saya memahami apabila atlet selalu cakap bahawa separuh daripada kejayaan adalah kekuatan mental.

Apa saya nak sampaikan kepada belia dan atlet ialah kalau kita ada kekuatan mental untuk melakukan sesuatu maka kita mampu berjaya. Bila tiada kemahuan, mengalah dan cepat putus asa, di situlah kita hadapi kegagalan.


YB satu-satunya menteri tiada gelaran seperti Datuk, Datuk Seri. YB tidak rimas?

Saya ditawarkan beberapa kali sebenarnya dan kali terakhir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sudah menyenaraikan nama saya dan dapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada empat tahun lalu untuk terima pingat di peringkat Persekutuan.

Setiap kali saya terima dan bukan hanya pada peristiwa itu dan beberapa tahun kemudian di peringkat negeri, saya menghadap siapa yang yang perlu saya menghadap untuk saya mohon dikecualikan daripada penganugerahan pingat berkenaan atas satu sebab.

Bagi saya, pingat ini terutama membawa gelaran Datuk terlalu istimewa.

Saya lihat penerimanya mestilah berkelayakan dan saya sendiri masih lagi tidak layak. Saya berumur 40 tahun, baru bermula kerja sebagai menteri tiga tahun lalu. Saya tidak anggap apa yang saya buat selama tiga tahun ini melayakkan diri saya memegang gelaran Datuk.

Saya lihat ramai kejar gelaran ini yang saya rasa terlalu muda, tidak buat apa-apa dalam kerjaya mereka yang melayakkan mereka pegang gelaran Datuk. Sudah jadi budaya kejar gelaran, benda ini bukan satu yang baik untuk kita sampaikan kepada generasi muda.

Selagi saya dalam politik, lebih baik saya tolak, ini keputusan peribadi. Bukan saya kata orang yang terima itu salah, itu keputusan mereka. Saya hormat dan saya sendiri syorkan orang lain juga untuk dapat gelaran Datuk. Bagi saya, selagi saya berkhidmat lebih baiklah saya berkhidmat tanpa apa-apa gelaran.


YB kerap menghiasi majalah selain tercalon dalam anugerah televisyen. Mahu jadi model atau jadi menteri?

Pertama, saya tidak pernah minta disenarai apa-apa anugerah atau mana-mana anugerah hiburan. Saya tidak ambil tahu, tidak pernah kempen dalam media sosial, minta sokongan ramai.

Itu bidang hiburan, walaupun ia pengiktirafan, saya orang politik. Contoh, saya berpeluang ditemu bual majalah, saya setuju ditemu bual untuk sampaikan mengenai hal sukan, kerja-kerja dalam kementerian.

Selepas itu, penerbit kata, boleh letakkan KJ di muka depan, bagi saya bila dia dah minta dan benda itu boleh sampaikan sesuatu mesej kepada golongan sasaran, saya pun tidak ada apa-apa masalah.

Saya bukan nak merebut apa-apa, nak menjadi model pada majalah dan sebagainya, saya lebih suka pada mesej yang saya cuba sampaikan.

Contoh terbaru, saya ditemu bual oleh majalah ‘Men’s Health’ dalam itu saya sebut banyak pasal budaya kesukanan di Malaysia, obesiti dan kadar kencing manis. Apa yang kita buat dalam sukan negara dan Fit Malaysia.

Mereka tanya boleh tak letak YB sebagai ‘cover’, saya kata kalau sesuai saya kata tidak ada apa-apa masalah. Semua permintaan orang, saya hanya memenuhi permintaan.


Ada yang kata YB lebih menonjolkan diri sebagai individu dan bukan Ketua Pemuda UMNO.

Pemuda UMNO banyak kita buat program, tetapi mungkin penjenamaan KBS lebih menonjol daripada Pemuda UMNO itu sendiri. Ini kerana, KBS dapat sambutan semua rakyat bukan hanya yang sokong UMNO saja. Bila kita buat hari sukan negara, ramai terbabit bukan hanya yang sokong UMNO.

Jadi penonjolan itu, lebih besar sebab program KBS lebih senang diterima oleh rakyat Malaysia. UMNO ini sebab dia parti. Dia hanya yang jadi ahli UMNO dan sokong UMNO saja yang akan ambil tahu isu-isu yang dibuat oleh UMNO.

Tapi saya melihat kita banyak buat program di bawah Pemuda UMNO tapi beza zaman dulu.

Mungkin penonjolan zaman dulu adalah Ketua Pemuda UMNO sering buat kenyataan kontroversi, buat demonstrasi, panjat pagar kedutaan dan sebagainya, saya telah buat itu semua pada penggal pertama saya jadi Ketua Pemuda UMNO.

Tapi hari ini saya lihat orang muda hendak penyelesaian, mereka tidak mahu retorik, retorik ada juga.

Adakalanya kita buat kenyataan yang pedas tetapi anak muda nak lihat apa yang dapat kita boleh buat untuk bantu mereka dari segi tingkat kemahiran, dapat kerja dan sebagainya.

Sebab itu kita anjur banyak kurus, kursus profesional, penghujahan, bahasa Inggeris bagi profesional muda, latihan vokasional serta pendidikan teknikal.

Baru-baru ini di Perak, kita jalankan program dana ‘outreach’ Bumiputera untuk membantu usahawan muda dapat pinjaman daripada agensi kerajaan tetapi mungkin program ini tidak seksi, ia tidak cukup untuk mencuri tumpuan ramai.

Berbanding saya buat kenyataan kontroversi lawan orang lain dan sebagainya, itu menarik perhatian. Tapi bila kita buat program yang banyak membantu seperti usahawan muda dapat pinjaman, ia tidak dapat perhatian sebab tidak kontroversi.

Baca selanjutnya: News365



Dari DKM Sabah,
Suatu ketika ketika DKM Sabah juga bergelar Mahasiswa, ramai anak muda yang bertanya “kenapa Menteri Belia dan Sukan dilantik dari kalangan orang-orang yang tidak aktif bersukan/ orang-orang yang sudah berusia?”

Tidak cukup dengan itu, ada juga yang menyifatkan Menteri Belia dan Sukan tidak lebih kepada individu yang hanya dari kalangan mereka yang terlibat sebagai penggubal dasar. Namun KJ berjaya buktikan sebaliknya.

Kalau DKM Sabah, Program Kupi-kupi Table antara program yang masih segar dalam ingatan. Bagaimana keterujaan dan sambutan pelajar UiTM dengan beliau. Remaja cukup suka dengan program sebegitu, tanpa protokol dan bersifat santai. Selamat Maju Jaya, moga lebih ramai lagi pemimpin muda sepertinya.