1. Apakah kilang Lynas dan siapa pemiliknya?
Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas), sebuah syarikat milik Australia, telah
memohon kelulusan Kerajaan Malaysia untuk membina sebuah kilang di Gebeng,
Kuantan Pahang untuk memproses bijih nadir bumi (rare earth) yang diimport dari
Mount Weld, Australia Barat.
Lynas dikendalikan dan diuruskan sepenuhnya oleh rakyat Malaysia dengan
dibantu oleh lima orang penasihat pakar nadir bumi dari China dan India. Kilang
LYNAS adalah kilang kimia dan BUKAN KILANG NUKLEAR seperti Chernobyl (Rusia),
Bhopal (India) dan Fukushima (Jepun).
2. Apakah itu nadir bumi?
Istilah nadir bumi merujuk kepada sejenis galian atau bijih yang
terbentuk semula jadi yang biasanya ditemui di dalam kerak bumi dan sukar
dikeluarkan.
3. Apakah produk yang dihasilkan oleh kilang Lynas?
Ia digunakan dalam peralatan moden seperti Flat Screen TV, TV LED,
komputer, telefon bimbit, panel solar untuk bekalan elektrik, kincir angin,
komponen elektronik untuk pengeluaran kereta hybrid, bateri kereta, turbin
angin, auto catalytic converter dan aditif dalam diesel.
4. Apakah isu kontroversi yang dikaitkan dengan Lynas?
Ia mempunyai kaitan dengan isu kesihatan dan keselamatan orang awam. Bijih
nadir bumi yang diproses di kilang LYNAS mengandungi sejumlah kecil sahaja
radioaktif yang terbit secara semula jadi. Terdapat dakwaan bahawa bahan
radioaktif di dalam bijih dan produk yang dihasilkan oleh kilang LYNAS boleh
mendatangkan kemudaratan dan kerosakan terhadap alam sekitar.
5. Benarkah kilang LYNAS mengeluarkan bahan radioaktif berbahaya?
Perlu ditegaskan radioaktif ada di mana-mana disekeliling kita yang
berpunca daripada proses semula jadi, tetapi tidak mendatangkan
kesan kepada orang awam. Terdapat
tiga jenis bahan sisa iaitu Gypsum Sintetik (FGD), Gypsum Magnesium (NUF) yang
kaya dengan magnesium, dan Fosfogypsum Besi (WLP).
Gypsum Sintetik (FGD) dan Gypsum Magnesium (NUF) adalah bahan sisa bukan
radioaktif dan program untuk menjadikannya sebagai bahan komersil kini
peringkat akhir. Fosfogypsum Besi (WLP) mengandungi kadar radioaktif pada tahap
0.165%. Kadar yang ditetapkan oleh piawaian antarabangsa bagi mengukur sesuatu
bahan bukan radioaktif ialah 0.05%.
Lynas telah mengenal pasti kaedah bagi menstabil dan menurunkan paras
radioaktif di dalam Fosfogypsum Besi (WLP) dari 0.165% ke paras 0.03% iaitu
lebih rendah daripada paras yang ditetapkan oleh piawaian antarabangsa. Dengan
penurunan tersebut, sisa Fosfogypsum
Besi (WLP) yang diuruskan oleh Lynas dikategorikan sebagai BAHAN BUKAN
RADIOAKTIF DAN BUKAN TOKSIK.
Setelah distabilkan, Fosfogypsum Besi (WLP) boleh digunakan sebagai
bahan asas penting dalam pembinaan jalan raya dan tempat meletak kereta. Oleh
itu, ia boleh digunakan untuk tujuan komersil dan memberi faedah kepada negara.
6. Siapakah yang meluluskan lesen bagi kilang Lynas ?
Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar
(DOE) Malaysia yang bertanggungjawab menentukan piawaian keselamatan di Lynas
dianggotai oleh anggota-anggota yang memiliki kepakaran dalam bidang yang
berkaitan nuklear. Kewibawaan mereka mengesahkan bahawa tahap keselamatan di
Lynas adalah terjamin / tidak perlu diragukan.
Laporan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) kepada Kerajaan Malaysia pada 30 Jun
2011 menyatakan bahawa undang-undang dan peraturan di Malaysia berhubung
keselamatan radiasi adalah komprehensif dan mematuhi piawaian IAEA.
7. Adakah kilang kimia seperti Lynas terdapat di negara lain?
Kilang memproses nadir bumi terdapat di China, Amerika Syarikat, Rusia,
Perancis, India dan negara-negara Scandinavia. Kilang yang sama sedang
dirancang untuk dibina di Afrika Selatan dan Vietnam. Ketika ini, China merupakan negara yang menguasai pasaran nadir bumi di
dunia dengan memenuhi hampir 97 peratus permintaan dunia.
8. Apakah kemungkinan kilang Lynas akan meletup dan menyebarkan radioaktif?
Kilang Lynas bukanlah loji atau reactor nuklear yang mengeluarkan sisa
buangan radioaktif seperti Loji Nuklear Chernobyl di
Ukraine yang meletup pada 26 April 1986
dan Fukushima Daiichi di Jepun yang meletup pada 11 Mac 2011 akibat
dilanda Tsunami besar. Justeru, rakyat
Malaysia tidak perlu bimbang tentang risiko tersebut kerana jika berlaku
bencana di luar jangkaan, kilang Lynas tidak akan meletup.
9. Bagaimana bahan sisa kilang Lynas diuruskan?
Sisa bahan kilang LYNAS akan diuruskan dengan selamat berteraskan
piawaian yang telah ditetapkan oleh Lembaga Pelesenan Atom Malaysia dan Tenaga
Atom Antarabangsa berasaskan piawaian dan spesifikasi berikut:
1. Reka bentuk dan pembinaan tempat penyimpanan dalam kawasan kilangnya telah
diluluskan oleh AELB pada Mac 2010.
2. Bahagian dalaman set tempat penyimpanan adalah dilindungi oleh dua
lapisan yang tidak dapat
ditembusi air.
3. Penilaian oleh Agensi Nuklear Malaysia mengesahkan bahawa tiada
kemungkinan kebocoran atau pencemaran air bawah tanah boleh berlaku.
4. Sebagai perlindungan tambahan, sel tempat penyimpanan akan dilengkapi dengan
sistem pengesanan kebocoran.
5. Kaedah pengawasan geoteknikal akan digunakan bagi memastikan kestabilan
bahagian dalaman sel tempat penyimpanan.
6. Air hujan dari sel tempat penyimpanan akan dibendung, di kitar semula
dan dirawat.
7. Pembendungan air hujan direka bentuk berdasarkan senario hujan paling
lebat yang telah berlaku dalam tempoh 100 tahun.
8. Walaupun Kerajaan berpuas hati Lynas tidak menghasilkan bahan buangan
radioaktif, tetapi sebagai langkah tambahan yang disyorkan oleh Agensi Tenaga
Atom Antarabangsa IAEA, Lynas hendaklah menyediakan kemudahan pelupusan tetap
(PDF) di tempat yang jauh daripada penempatan awam. YAB Perdana Menteri sendiri
amat prihatin tentang perkara ini.
10. Kenapa kilang Lynas didirikan di Malaysia bukan di Australia?
Lynas tidak datang ke Malaysia untuk mengelak peraturan ketat di
Australia. Keperluan undang-undang di Malaysia adalah setanding dengan atau
lebih ketat daripada undang-undang di Australia. Lynas melabur di Malaysia
kerana:
1. Iklim pelaburan yang kondusif dan berdaya saing.
2. Mempunyai sumber yang optimum, termasuk infrastruktur yang diperlukan
untuk menyokong operasi kilang.
3. Gebeng, khususnya mempunyai kemudahan pelaburan yang diperlukan,
kemudahan sokongan yang boleh dipercayai, pekerja yang kompeten daripada segi
teknikal dan kemudahan utiliti yang berdaya saing.
4. Keperluan undang-undang yang jelas di mana ia amat penting dalam membuat
keputusan untuk melabur.
11. Apakah sumbangan kilang Lynas kepada ekonomi Malaysia?
1. Projek Lynas dijangka membantu pertumbuhan ekonomi negara dan menjana
pelbagai perniagaan dan industri kecil di Malaysia yang membuka peluang
pekerjaan dan perniagaan untuk rakyat negara ini agar rakyat Malaysia dapat
peluang pekerjaan dan perniagaan bagi meningkatkan pendapatan mereka.
2. Projek kilang Lynas dijangka membawa masuk ke Malaysia Pelaburan
langsung asing (FDI) berjumlah RM2
bilion.
3. Kos operasi kilang Lynas adalah RM350 juta setahun.
4. Pelantikan 350 orang tenaga mahir.
5. Industri sokongan akan menjana 2,700 peluang pekerjaan.
6. Memberi kontrak bernilai RM1.2 bilion kepada kontraktor tempatan.
7. Kos berjumlah RM600 juta akan dibelanjakan setiap tahun untuk operasi
kilang.
8. Hasil yang akan dapat dikutip oleh Malaysia daripada projek Lynas adalah
bernilai RM8 bilion.
0 Comments